Tuesday, March 15, 2011

Aznil Cabar Diri Demi Peminat

Meriah dan cukup membanggakan! itulah ungkapan yang sesuai untuk diberikan kepada penghibur nombor satu negara, Aznil Hj Nawawi.

Pengacara versatil Aznil membuktikan dia bukan sahaja menghiburkan penonton dengan keletahnya dalam bidang pengacaraan tetapi juga dalam nyanyian.

Mencabar dirinya untuk menyanyi, Aznil berjaya menghiburkan lebih lapan ribu penonton di perkarangan Taman Tasik Titiwangsa pada 12 Mac yang lalu.

Konsert yang diberi nama Konsert Hore! Hore! Aznil ini mula dibanjiri peminatnya seawal 6petang lagi, dan turut diserikan oleh kehadiran beberapa artis jemputan seperti Lan The Typewriter, Ana Raffali dan Zahid AF2.

Aznil sebak melihat sokongan peminatnya

Menyanyikan hampir 20 buah lagu, konsert berdurasi dua jam setengah ini turut di meriahkan dengan segmen bersama penonton, malah keakraban jelas kelihatan antara Aznil dan peminatnya apabila mereka begitu terbuka menerima gurauan yang dilakukan oleh Aznil.

Bersyukur dengan segala yang berlangsung pada malam itu, Aznil tidak menahan sebak sewaktu ditemui selepas konsert selesai. Malah, sokongan peminat yang sanggup menunggu sehingga tamat konsert biarpun hujan mulai turun sangat menyentuh hati pengacara hebat ini.

"Saya cabar diri saya untuk berdiri di atas pentas ini untuk saya menghargai peminat saya biarpun saya bukanlah seorang penyanyi.

"Saya mahu tinggalkan kenangan tersendiri setelah 21 tahun saya terlibat dalam dunia seni ini, sesungguhnya saya tidak menyangka ramai peminat yang datang dan mereka sanggup menunggu sehingga konsert tamat biarpun saya lihat hujan sudah mula turun di penghujung konsert.

"Saya sedar banyak kekurangan yang mengganggu kelancaran konsert ini, lebih-lebih lagi dari segi teknikal, tapi Alhamdulillah, saya dapat rasakan peminat saya terhibur.

"Sangat terharu apabila ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, walaupun mereka tahu saya bukanlah penyanyi tetapi mereka tetap membeli tiket. Melihat kesungguhan mereka, saya cabar diri saya untuk lakukan yang terbaik dan tidak mahu konsert ini kelihatan seperti syok sendiri,"jelas Aznil.

Takut Gagal

Bukan mudah untuk menjayakan sesebuah konsert yang besar, malah Aznil sendiri berjanji sekiranya konsertnya kali ini tidak berjaya, dia tidak akan mengulanginya lagi.

"Sebelum ia bermula saya sudah pasang niat, sekiranya konsert ini gagal maka ini kali pertama dan terakhir saya melakukan konsert.

"Tetapi setelah tamat konsert dan melihat hasilnya, saya serahkan pada peminat untuk menilainya. Jika mereka merasakan perlu ada lagi konsert sebegini, saya sudha bersedia," luah Aznil.

Perkenalkan Keluarga

Sukar untuk melihat Aznil Hj Nawawi ini memperkenalkan keluarganya kepada umum, biarpun sudah hampir 21tahun di dalam industri, tetapi di malam konsert itu, buat pertama kalinya Aznil membawa seluruh ahli keluarga terdekatnya ke atas pentas untuk diperkenalkan kepada umum.

"Ramai yang tanya pasal keluarga, tetapi saya jarang sekali memperkenalkan mereka kepada umum, dan sekarang saya rasa konsert ini adalah yang terbaik untuk saya memperkenalkan orang yang selama ini sanggup bersusah payah di belakang saya.

"Saya sebenarnya kasihan dengan mereka, selama ini mereka sanggup membenarkan saya menjadi kontroversi di muka hadapan, walaupun saya di kutuk mereka tetap kuat menyokong saya," jelas Aznil lagi.

Aznil membawakan beberapa buah lagu idolanya, Sudirman Haji Arshad

Pada malam itu juga, Aznil bersama kumpulan Hero Malaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30,000 kepada seorang kanak- kanak yang menghidapi penyakit jantung berlubang.

Selain itu, pelbagai hadiah diberikan kepada pengunjung yang bertuah seperti barangan Habib Jewel bernilai RM 50,000, pakej Umrah bernilai RM5 ribu dan sebuah kereta Myvi.

Konsert yang dianjurkan oleh RYE Production dengan kerjasama pihak Astro dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkonsepkan kekeluargaan dan ia diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: