Tuesday, March 22, 2011

Dekorasi Olahan Dari Budaya Cuba

Kotak curut turut dijadikan sebagai aksesori hiasan dalama restoran.

LAMBAKAN restoran berkonsepkan bistro kebelakangan ini menjadi satu trend di negara ini terutamanya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur sehingga adakalanya sukar untuk pengunjung membuat pilihan.

Kerana itu juga, setiap pemilik restoran berusaha menampilkan pelbagai konsep berbeza bagi menarik perhatian pengunjung singgah ke tempat mereka.

Penggunaan warna merah dan hijau pada dinding menaikkan seri pada dekorasi di bahagian luar restoran

Selain hidangan makanan enak dan lazat yang menjadi faktor utama untuk menarik perhatian umum, para pengusaha restoran kini turut menumpukan perhatian teliti terhadap hiasan dalaman serta persembahan makanan yang turut memainkan peranan penting untuk menarik pelanggan singgah menikmati hidangan.

Kunjungan ke Castro Bistro di Axis Atrium, Ampang baru-baru ini adalah salah satu contoh restoran yang menampilkan keunikan dan kelainan dalam aspek dekorasinya.

Jelas kesederhanaan dalam menghias kadang kala memberikan impak yang lebih menarik kepada penataan ruang dan reka bentuk sesebuah restoran atau pun kediaman.

Sebagaimana yang cuba ditonjolkan di Castro Bistro, fokus jelas dalam menghias menggambarkan idea dan olahan pemilik mengikut konsep sederhana yang digemari ramai tanpa hiasan sarat.

Konsep ini ternyata berjaya dipersembahkan dengan baik melalui interpretasi hiasan dalaman yang banyak dipengaruhi unsur budaya Cuba, sebuah republik yang pernah dipimpin oleh Fidel Castro selama berpuluh tahun.

Dekorasi yang ringkas di bahagian dalam restoran memberikan keselesaan.

Pemilihan tema warna hijau dan merah melengkapkan intipati hiasan dalaman yang membangkitkan suasana kelainan bistro ini.

Warna-warna ini sengaja diketengahkan kerana ia sinonim dengan Castro.

Menurut Pengurus Castro Bistro, Nor Ashikin Ab Rahman, konsep yang ditonjolkan adalah berbeza dengan kebanyakan restoran lain dan idea asal adalah daripada pemiliknya, Azrudin Badaruddin.

“Konsep ini tercetus apabila pemilik berkunjung ke Cuba dan mendapati konsep ini menarik dan belum pernah digunakan oleh mana-mana pemilik restoran di Malaysia.

“Semua aksesori seperti gambar dan beberapa peralatan lain adalah koleksi peribadi pemilik sendiri yang telah mengumnpulnya sejak sekian lama ketika berkunjung ke Cuba dan ada yang dibeli di dalam negara,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Dibahagikan kepada dua bahagian, kawasan dalam adalah lebih untuk tetamu yang inginkan privasi manakala bagi mereka yang mahukan suasana lebih santai boleh memilih untuk menikmati hidangan sambil berbual-bual dengan rakan-rakan di kawasan luar.

Penggunaan perabot kayu dari rona gelap memberi keseragaman dengan idea asal hiasan dalaman yang banyak bermain dengan warna gelap.

Satu lagi keistimewaan menarik yang terdapat di bistro ini ialah ruang dapurnya yang terbuka, bertujuan memudahkan interaksi pelanggan dengan pekerja restoran.

Menghidangakan pelbagai sajian menarik termasuk masakan Barat dan tempatan kepada pelanggan restoran itu dibuka dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: