![]() |
| BARISAN ensemble yang mempersembahkan sedutan lagu dari Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
JIKA tiada aral melintang dan seperti mana yang dirancang, pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) akan membuka tirainya bermula malam ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Bakal dipentaskan sehingga 3 April ini, LKBSM pastinya akan memberikan satu dimensi baru untuk pementasan teater muzikal di negara ini yang dilihat semakin berkembang pesat.
Malah, LKBSM juga telah mencipta sejarah apabila kos keseluruhan penerbitannya menelan belanja lebih RM3 juta sekali gus meletakkan teater muzikal arahan Harith Iskander dan Hans Isaac itu sebagai teater muzikal paling mahal pernah diterbitkan.
Biarpun enggan mendedahkan jumlah sebenar LKBSM, namun, Hans yang juga bertindak sebagai penerbit teater muzikal itu walau bagaimanapun tidak menafikan teater berkenaan telah menelan belanja yang cukup besar.
Dengan menampilkan 23 set dan barisan orkestra yang akan mengiringi pementasan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu, maka tidak hairanlah LKBSM menjadi teater muzikal paling mahal setakat ini.
Sedangkan, Puteri Gunung Ledang the Musical yang dipentaskan pada tahun 2006 dikatakan memakan belanja hanya sekitar RM2.5 juta sahaja.
“Saya mahu menjadikan LKBSM sebagai sebuah pementasan yang dapat diingati oleh semua rakyat Malaysia kerana ia adalah kisah tentang seorang ikon negara yang cukup unggul di mata kita semua.
“Jadi, untuk mementaskan riwayat kisah hidup seorang figura yang masih hidup memang bukan mudah.
“Kerana itu, saya mahu memastikan LKBSM berada di tahap yang tertinggi setanding dengan individu yang kita raikan.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana apa yang dirancang selama ini semuanya berjalan dengan lancar dan saya kagum serta bangga dengan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan produksi ini mengecapi kejayaan yang sewajarnya,” ujar Hans pada sidang akhbar di IB, baru-baru ini.
LKBSM merupakan pementasan yang diterbitkan oleh syarikat milik Hans, Tall Order Productions dengan kerjasama Institut Terjemahan Malaysia (ITNM).
Turut hadir ialah Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.
Tidak ketinggalan pemeran watak Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat iaitu Awie dan Atilia yang memegang watak sebagai isteri Lat, Faezah serta Douglas Lim (Frankie), Sandra Sodhy (Mrs. Hiew) dan Pushpa Narayan (Miss Thambi).
Menyambung perbualan, Hans memberitahu sejak tiga bulan kebelakangan ini, hampir keseluruhan masanya dicurahkan untuk LKBSM sehinggakan dirinya sendiri tidak berpeluang menikmati waktu tidur yang cukup.
Apatah lagi, dia perlu memikul dua tugas besar sebagai pengarah dan penerbit membuatkan Hans perlu lebih menumpukan perhatian kepada teater muzikal kedua terbitan syarikatnya itu.
“Bukan tugas yang mudah untuk saya sebagai pengarah dan penerbit kerana saya perlu mengimbangkan kedua-duanya. Ada kalanya memang sukar buat saya untuk membuat keputusan.
“Sebagai pengarah, kita harus menjadi kreatif dan memikirkan elemen yang mampu menjadikan pementasan itu lebih menarik. Dalam masa yang sama, sebagai penerbit, saya juga perlu memikirkan tentang kos agar ia tidak melebihi daripada apa yang telah ditetapkan.
“Nampaknya, ia memang tidak dapat dielakkan (ketawa). Tetapi, saya tidak kisah kerana saya mahu LKBSM akan meninggalkan kesan luar biasa buat penonton dan pencinta teater muzikal secara amnya,” ujarnya yang pernah menerbitkan Cuci the Musical selama dua musim dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
Dalam sidang akhbar itu juga, Hans sempat mempertontonkan sedutan lagu-lagu yang akan menjadi nadi kepada perjalanan LKBSM kelak.
Walaupun hanya seketika, ia tidak perlu menunggu lama untuk menangkap halwa telinga yang rata-rata berpendapat muzik untuk pementasan ini cukup segar dan menghiburkan.
Ternyata, percaturan Hans menggunakan khidmat penerbit dan komposer terkenal, Michael Veerapan sebagai pengarah muzik LKBSM merupakan langkah yang cukup tepat dan bijak.
Dalam kegembiraannya itu, Hans juga tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila Datuk Rahim Razali yang sepatutnya memegang watak sebagai Tan Sri Samad Ismail terpaksa menarik diri atas alasan terikat dengan komitmen seni lain.
Untuk itu, watak tersebut telah diambil alih oleh Omar Abdullah dan Hans sendiri memuji komitmen Omar yang berjaya membawakan watak Samad Ismail atau lebih dikenali ramai sebagai Pak Samad itu.
Jelas Hans, pemilihan Omar adalah daripada cadangan Lat sendiri dan tanpa perlu menunggu lama, Hans menghubungi Omar dengan memintanya hadir untuk ke sesi uji bakat.
“Seperti mana yang saya katakan tadi, tidak kira watak utama atau kecil, saya akan menjalankan uji bakat dan Omar juga tidak terkecuali. Apabila dia membaca skrip dan membawakan watak Pak Samad, saya melihat karisma itu ada pada dirinya.
“Walaupun pada saat-saat akhir, namun, Omar berjaya menyakinkan saya untuk watak berkenaan dan selepas menjalani latihan insentif, dia sudah sebati dengan watak itu.
“Saya juga harus akui bahawa Lat memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran teater muzikal ini. Beliau akan hadir pada sesi latihan dalam seminggu sekali untuk melihat proses penceritaannya.
“Jika ada yang dirasakan perlu diubah atau tidak kena, beliau akan memberikan komen tetapi selalunya, perubahan yang kami lakukan pun tidaklah banyak mana. Setakat ini, beliau memang cukup berpuas hati dan tidak sabar untuk menontonnya di pentas yang besar,” kata Hans yang mula dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1995 ini lagi.
Dalam masa yang sama, Hans juga gembira dengan penjualan tiket yang kini sudah mencecah 50 peratus walaupun Hans mengakui ia bergerak sedikit perlahan.
Katanya, sudah menjadi budaya rakyat Malaysia yang gemar membeli tiket di saat akhir dan dia mengharapkan ia akan terus meningkat lebih-lebih lagi dengan musim cuti sekolah ketika ini.
“Kalau semua tiket terjual setakat 70 hingga 80 peratus sekali pun, ia sudah memadai buat saya. Apa-apa pun, saya gembira dan mengucapkan terima kasih kerana LKBSM tetap mendapat perhatian syarikat korporat dan swasta yang sudi menjadi penaja untuk pementasan ini,” ucapnya dalam nada syukur.
Sebanyak tiga syarikat korporat iaitu Kumpulan CIMB, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Sapura telah menjadi penaja utama untuk KLBSM manakala Kerajaan Negeri Perak, Kontena Nasional Berhad dan Khazanah Nasional Berhad pula merupakan penaja bersama pementasan mega ini.
Bagi mereka yang masih belum mendapatkan tiket bagi menyaksikan LKBSM, pastikan anda berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan kekecewaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: