Wednesday, March 16, 2011

Melda buat konsert bersama artis popular


Pemain bass kumpulan Hujan, Izat (kiri) bersama Melda dan Ella bakal berkongsi pentas.


TIDAK pernah terfikir oleh Nur Imelda Ahmad, 20, dipilih sebagai pelakon utama program realiti televisyen, Gadis Semasa Sunsilk (GSS) sebanyak 13 episod terbitan Red Communications Sdn. Bhd.

Tuah gadis itu bermula apabila pihak Unilever (Malaysia) Sdn. Bhd., yang ketika itu sedang mencari bakat baru untuk menjayakan kempen terbaru Sunsilk, jenama penjagaan rambut.

Kempen tersebut bertujuan untuk membantu mana-mana individu mencapai kehidupan yang lebih menarik dan penuh keyakinan selaras dengan jenama Sunsilk.

Berdasarkan persembahan Nur Imelda atau Melda menerusi lagu Putus ciptaan dan dendangannya yang dimuatkan di YouTube, akhirnya dia dipilih untuk muncul dalam GSS.

Melda yang ditemui baru-baru ini mengaku sebelum berlakon dalam program realiti GSS, dia seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan dengan kebolehannya.

"Saat mula ditawarkan menyertai program ini, saya menolak sebab sedang mengikuti diploma dalam bidang muzik, pengkhususan vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Tetapi saya berubah fikiran setelah berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan. Lagipun peluang keemasan ini datang sekali dalam seumur hidup," katanya membuka bicara.

Tanpa pengalaman berlakon dan penuh dengan sifat pemalu, Melda akui dia sukar untuk berlakon walaupun melakonkan watak sendiri.

Katanya, paling sukar apabila terpaksa melakonkan adegan percintaan di mana memerlukan dirinya untuk meluahkan perasaannya.

"Memanglah program itu berkisar tentang diri saya, tapi bab percintaan itu tambahan saja. Itulah sukar sikit nak buat. Apa pun saya gembira diberi peluang melakukan perkara yang tidak pernah saya impikan selama ini.

"Menerusi GSS, saya berpeluang mengasah bakat mencipta lagu dengan bimbingan Ajai. Begitu juga dengan tunjuk ajar daripada Wardina Safiyyah, pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI)dan pakar dandanan diri, Bambang Soteto, saya lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya jujur.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, pengalaman yang ditimba dalam GSS amat bernilai dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Katanya, program itu bukan sahaja memberinya inspirasi malah turut menanam sifat berani dalam kehidupan dan mengekspresikan diri dengan yakin serta membakar minatnya terhadap muzik.

Setelah diuji dengan lakonan dan kolaborasi bersama Ajai dalam bidang muzik, Melda turut diberi kesempatan mengadakan konsert yang jarang-jarang sekali diberi kepada bakat baru.

Melda yang masih mentah dalam bidang seni suara, bakal mengadakan persembahan bersama dengan diva rock, Ella, kumpulan Hujan, One Nation Emcess dan Yuna.

Melda akan mengadakan persembahan dengan artis tersebut di Konsert Gadis Semasa Sunsilk yang bakal berlangsung di Orange Club, Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam, 16 April ini.

"Memang mendebarkan, sebab kali pertama saya akan menyanyi di hadapan orang ramai secara live. Lainlah kalau di YouTube, mereka menonton persembahan secara rakaman.

"Bagaimanapun, saya menganggap konsert ini sebagai satu platform untuk mengenengahkan bakat saya dalam bidang seni," katanya yang bakal mendendangkan lagu Putus, Kimia dan lagu baru ciptaan Ajai, Aku Adalah Aku.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam lebih itu bukan sekadar memberi ruang pada Melda untuk tonjolkan bakat malah konsert itu juga merupakan adegan kemuncak GSS.

Melda capai impian

Pengurus Jenama Sunsilk Malaysia, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Emily Chong berkata, dengan bantuan inisiatif kempen Gadis Semasa Sunsilk, diharap Melda dapat melangkah menjadi seorang yang lebih yakin dalam mengejar impian.

Menurutnya, kempen GSS adalah berkisar tentang transformasi kehidupan seorang gadis pemalu kepada individu yang lebih berkeyakinan.

Katanya, peminat-peminat yang ingin melihat Melda membuat persembahan boleh mendapatkan tiket di roadshow GSS di seluruh negara.

"Melda bersama pelakon-pelakon lain GSS akan mengedarkan tiket-tiket berkenaan di Pantai Timur Hyper, Kota Bahru (18 dan 19 Mac, 10.30 pagi hingga 10 petang).

"Setiap pembelian mana-mana produk Sunsilk bernilai lebih RM15, pelanggan berpeluang untuk memenangi syampu dan perapi Sunsilk, cakera padat, tiket konsert dan pek percutian eksklusif Sunsilk," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: