![]() |
| AZMI daripada kumpulan Ketampi bersama salah seorang peserta sedang menyiapkan tugasan yang diberikan penganjur. |
DI bahu penyanyi muda, Nas Adilla yang digandingkan dengan Tauke, Raja Lawak, tergalas satu tanggungjawab sebagai pengacara program televisyen Agrochallenge MAHA 2010. Rancangan ini akan mula bersiaran pada 27 Mac ini pukul 6 petang di Astro Prima (Saluran 105. Astro).
Program yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) diterbitkan sebanyak 13 episod oleh Betarax Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kelab Usahawan Tani Malaysia (Kuat).
Menurut penerbit program itu, Mukmin Aminuddin, program berbentuk realiti mengenai ini bertujuan menarik perhatian penonton supaya mengenali bidang agrikultur.
Katanya, dalam rancangan selama setengah jam itu, penonton akan didedahkan cara mngendalikan bidang pertanian dan perladangan.
“Bagi mereka yang mahu menerokai bidang tersebut, maklumat itu boleh diperolehi menerusi rancangan ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi menambah ‘rencah’ tarikan penonton, pihaknya turut mengundang beberapa artis sebagai peserta bagi memeriahkan rancangan berkonsepkan pertandingan itu.
Antara selebriti yang terlibat ialah bekas peserta Raja Lawak musim kedua, Ketampi dan Arin, bekas peserta Akademi Fantasia, Rubisa, Ekin dan Yazid.
Turut diundang, Fiera, protege kepada Lah Ahmad menerusi program realiti Mentor musim keempat.
“Pada 26 November lalu, para peserta dilepaskan sendiri oleh Timbalan Menteri, Datuk Johari Baharom.
“Manakala, majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Menteri, Datuk Seri Noh Omar,” jelas Mukmin.
Menurut Mukmin, kira-kira 50 peserta termasuk artis mengikuti pertandingan kembara ini dan mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk merebut hadiah utama bernilai RM3,000.
Ketampi bangga jutawan kampung
Menceritakan pengalaman bergelar petani dan peladang selama 10 hari, ahli kumpulan Ketampi, Amm atau nama sebenarnya, Mohd. Amran Mat Isa, ia adalah satu pengalaman yang paling menarik pernah dialaminya.
“Menjadi peladang atau petani juga mampu memberi pulangan lumayan jika kita gigih berusaha .
“Siapa sangka, seorang petani yang hanya memakai kain pelikat dengan sehelai baju-T lusuh merupakan seorang jutawan.
“Nampak macam selekeh tetapi itulah hakikatnya. Hidup dia begitu sempurna,” kongsi Amm mengenai pengalamannya berkenalan dengan seorang usahawan ternakan kambing ketika Agrochallenge MAHA 2010 berlangsung.
Selain itu, rakannya, Badrul Hisham Samad atau lebih dikenali dengan panggilan Bard pula berkata, pengalaman bergelumang dengan ternakan-ternakan ketika menjayakan program itu mengingatkannya kembali pada zaman kecilnya.
Ujar Bard, sewaktu kecil, dia dan kawan-kawannya sering mengejar ayam dan itik di kampung.
“Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila pengalaman itu datang semula setelah meningkat dewasa.
“Tambahan pula kali ini, saya bukan sahaja bermain dengan binatang ternakan, malahan turut bermain lumpur ketika menyiapkan salah satu tugasan di bendang.
“Nostalgia zaman kanak-kanak memang menarik untuk dikenang kembali,” cerita Bard yang ternyata teruja menyertai pertandingan kembara tersebut yang berakhir 5 Disember.
Turut berkongsi pengalaman sama ialah pengacara program berkenaan yang juga bekas peserta AF7, Nas Adilla.
Jelasnya, pengalaman mengendalikan Agrochallenge MAHA 2010 memberikan banyak pengetahuan buatnya.
“Apabila mengendalikan program ini barulah saya baru tahu terdapat banyak jenis tebu yang ditanam di negara kita.
“Sebelum ini, saya hanya tahu tebu untuk dibuat gula berwarna perang gelap. Sementara tebu untuk dibuat air minuman ialah yang berwarna kuning.
“Tetapi sebenarnya, terdapat beberapa lagi jenis tebu yang boleh digunakan untuk menghasilkan kedua-dua produk tersebut, ujar Nas Adilla.
Menurut Nas Adilla, program berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara artis dengan peminat, malah apa yang lebih penting ia dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: