Wednesday, March 2, 2011

Kilauan RTM digilap semula

Ibrahim Yahya (tengah) merasmikan Program Kem Bintang-Bintang 2011 sambil diperhatikan Md. Shahri (kiri) dan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bermula pada tahun 1973, stesen televisyen (TV) Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah banyak melahirkan bintang seni yang mewarnai persada hiburan tanah air terutamanya dalam bidang nyanyian.

Menerusi Bintang RTM yang kini menjadi program realiti TV, RTM semakin membuka cabangnya apabila pelbagai produk lain turut dihasilkan oleh RTM seperti Bintang Klasik Nasional, Bintang Ai-Minnal dan Juara Asyik.

Namun entah di mana silapnya, sejak sedekad lalu bintang ciptaan RTM gagal menyaingi artis-artis yang lahir daripada program realiti TV daripada stesen TV berbayar dan swasta lain.

Maka itulah, RTM perlu melakukan sesuatu supaya kilauan yang pernah dicipta oleh stesen TV tersebut dapat bersinar semula.

Lantas bagi memperbaiki senario tersebut, RTM mengatur langkah dengan menganjurkan program Kem Bintang-Bintang 2011 yang menyatukan kembali bintang–bintang kelahiran RTM.

Para peserta yang bergelar juara dan finalis menerusi beberapa rancangan pertandingan bakat dan nyanyian terbitan RTM seperti Bintang Klasik Nasional, Bintang Ai-Minnal dan Juara Asyik layak disatukan dalam kem tersebut yang bertujuan untuk menyerlahkan lagi bakat mereka.

Berkonsepkan 1Malaysia, kem yang bermula 16 Januari hingga 30 Januari lalu itu menampilkan sembilan peserta yang terdiri daripada pelbagai bangsa selain mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

Mereka ialah Fitri Hakim, Adley, Zareen Zarina, Fatin Shazley, Ray Syadi, Juan, Farazatul, Sridewi dan Emily

Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Md. Shahri Saripan memberitahu, program realiti yang diterbitkan oleh stesen TV lain banyak melahirkan artis-artis yang berkualiti sekaligus memberi saingan terhadap produk RTM untuk menonjol.

“Justeru, idea ini dicetuskan bersama untuk menggilap semula bakat mereka selain memperkukuhkan kemahiran peserta dalam bidang nyanyian dan persembahan.

“Selain itu, ia turut memberi lebih keyakinan dan persediaan kepada mereka untuk meneruskan karier seni mereka.

“Dalam kem ini juga, peserta akan didedahkan dengan beberapa kemahiran menerusi lima kelas yang disediakan iaitu kelas vokal, tarian, lakonan, penampilan diri dan pengucapan awam,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kem tersebut di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya.

Sementara itu, penerbit program 13 episod ini, Rashidah Ali berkata, semua aktiviti peserta yang mengikuti kem berkenaan akan dirakamkan dan bakal bersiaran Mac ini.

“Segala aktiviti dan gelagat peserta akan dipaparkan untuk tontonan umum di RTM serta saluran Muzik Aktif (Saluran 180, Astro).

“Saya berharap program ini mampu menyumbang kepada perkembangan industri hiburan tempatan serta menjadikan RTM sebagai satu-satunya stesen yang benar-benar melahirkan artis yang berbakat dan bukannya atas faktor populariti semata-mata,” ujar Rashidah.

Tiga tenaga pengajar melibatkan pensyarah berpengalaman, Dia Fadila (vokal), Kamarudin Taib (seni persembahan dan lakonan) dan Sazlan (tarian) diberi tanggungjawab melatih dan mendidik peserta.

Beberapa personaliti RTM dan selebriti turut terlibat dalam membimbing mereka.

Selain menghadiri kelas yang disediakan, mereka turut mengikuti beberapa siri showcase yang diaturkan seperti Roadshow Rentas Kampung, Gegar RTM, Rentas Kampus / Sekolah dan promosi 50 Tahun Orkestra RTM serta persembahan pentas dan rancangan televisyen lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: