![]() |
| Dayang Nurfaizah bersama Jins Shamsudin (tengah) dan Roy berbesar hati dipilih untuk menjayakan Imbauan 3. |
RAMAI yang mengenali seniman Tan Sri Dr. Jins Shamsudin sebagai hero dalam filem-filem Melayu klasik di era 1950-an.
Daripada berpuluh-puluh filem yang pernah dilakonkannya menerusi terbitan Shaw Brothers dan Cathay Films di Singapura, filem Panca Delima yang dilakonkannya pada tahun 1956 menjadi langkah permulaan bagi anak kelahiran Perak ini untuk bergelar pelakon.
Memiliki seraut wajah yang kacak dan gaya umpama James Bond versi Melayu, Jins diberi kepercayaan oleh Malay Film Production untuk muncul sebagai hero filem Jefri Zain pada tahun 1966.
Sebagai menghargai jasa insan seni itu satu persembahan yang dinamakan Imbauan 3 diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur semalam (28 Februari) dan hari ini.
Jins ketika ditemui melahirkan rasa bangga dan beranggapan persembahan Imbauan 3 itu sebagai satu penghargaan bagi dirinya.
"Saya ingin berterima kasih kepada Kumpulan Seni Persembahan Petronas atau KSPP yang menganjurkan konsert tribute sebagai menghargai apa yang telah saya buat untuk industri perfileman negara.
"Walaupun saya bukan penyanyi atau pun mempunyai suara sehebat P.Ramlee, namun saya juga boleh menyanyi," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar mengumumkan Imbauan 3 yang diadakan pada 18 Februari lalu.
Jins, 76, berkata, lagu Dari Masa Hingga Masa yang dipetik dari filem pertama lakonan beliau, Panca Delima, menjadi lagu pilihan untuk diperdengarkan kepada penonton yang hadir menyaksikan Imbauan 3.
"Saya bukanlah bagus sangat kalau menyanyi, tetapi bolehlah.
"Apabila saya menyanyikan lagu itu, ia mengingatkan saya tentang adegan bawa kereta lembu dalam filem Panca Delima," katanya.
Jins ada karisma tersendiri
Produser yang bertanggungjawab menganjurkan persembahan tersebut, Hartini Abdullah berkata, Imbauan 3 adalah lanjutan dua persembahan lalu, Imbauan 1 pada 2008 yang menampilkan nostalgia Datuk Khadijah Ibrahim.
Pada 2010 pula, Imbauan 2 diadakan dengan menampilkan lagu-lagu nyanyian Allahyarham Normadiah yang dinyanyikan oleh Azlina Aziz, Liza Aziz dan Musly Ramlee.
"Persembahan bersiri ini bertujuan mengimbau kembali nostalgia lama selain mempopularkan kembali lagu-lagu malar segar.
"Lagu-lagu sebegini mempunyai mesej yang cukup kuat yang disampaikan melalui bait-bait liriknya.
"Tambahan pula, dalam persembahan itu, Dayang dan Roy menyanyikan lagu-lagu tersebut yang telah digubah kepada konsep simfoni orkestra.
"Itu adalah daya penarik ekstra terhadap persembahan ini. Saya yakin, penonton akan dibuai dengan nyanyian merdu kedua-dua penyanyi hebat itu di samping alunan muzik orkestra yang mengasyikkan," katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.
Mengulas mengenai pemilihan Jins, Hartini memberitahu, seniman itu menggambarkan kredibiliti lakonannya yang begitu semula jadi.
"Jadi, ini adalah satu penghargaan buat beliau yang telah banyak berjasa untuk persada perfileman tanah air.
"Lagu-lagu yang terdapat dalam filem lakonan dan arahan beliau akan diangkat menjadi lagu yang bakal dinyanyikan Dayang dan juga Roy," katanya.
Hartini menambah, lebih elok sekiranya sesuatu penghargaan itu dilakukan ketika legenda berkenaan masih hidup berbanding yang sudah tiada.
Selain itu, Hartini juga menerangkan, 16 lagu yang dipetik daripada filem lakonan dan arahan Jins dipersembahkan di pentas DFP dengan berlatarbelakangkan layar putih yang menayangkan petikan filem-filem tersebut.
Antara lagu yang bakal didendangkan ialah Menanti Hari Esok, Sungguh Kau Istimewa, Gelombang, Esok Untuk Siapa, Wajah Rahsia Hati, Debu Di Hati, Arti Cinta, Bunga Tanjung dan Si Paku Lanang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: