Aseh Che Mat dan Aznil Nawawi menunjukkan setem dan poskad keluaran Pos Malaysia dalam kuantiti terhad. |
Sebulan lalu, pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi mengumumkan bakal mengadakan konsert sulungnya yang dinamakan Konsert Hore Hore pada tanggal 12 Mac ini, pukul 8.45 malam.
Dijadualkan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, konsert anjuran RYE Production dengan kerjasama Astro dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan sempena Hari Wilayah yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun.
Aznil yang juga penyampai di stesen radio Era FM itu semakin sibuk dengan rutin hariannya yang baru demi memastikan konsert julung kalinya itu berjaya memuaskan hati para pengunjungnya.
Baru-baru ini, bertempat di Pejabat Pos Besar Malaysia, Kuala Lumpur, Aznil mengakui bukan mudah baginya untuk menjalani rutin seharian menjelang konsertnya nanti terutamanya dari sudut penjagaan suara.
Jika sebelum ini, kehidupan seharian yang dilaluinya tidak begitu menitik beratkan hal penjagaan suara, kini dia harus patuh dengan pantang larang kerana bidang nyanyian memerlukan kesihatan yang lebih tinggi.
“Saya kini berhati-hati dalam memilih makanan yang bersesuaian supaya saya boleh menyanyi dengan baik pada malam konsert itu nanti.
“Untuk bergerak lincah di atas pentas pula, saya memerlukan stamina yang bagus. Jadi, untuk meningkatkan stamina, saya harus mempunyai masa rehat yang mencukupi selain melakukan beberapa senaman seperti berjoging.
“Itu adalah satu cabaran buat saya dan sukar untuk menghadapinya,” katanya yang hadir sempena siaran luar Riuh Pagi Era bersama rakan setugasnya, Haniff Hamzah atau Haniff dan Shah Reza Mohd. Shah atau Ray.
Dalam masa yang sama, pengacara berusia 48 tahun itu berharap, peminat yang akan hadir pada konsertnya nanti boleh memaafkan sekiranya persembahannya tidak memuaskan.
“Sebagai pengacara saya sedar kemampuan saya. Cuma, apa yang saya janjikan, saya akan kendalikan konsert itu nanti sebaik mungkin dengan lawak jenaka yang berkonsepkan kekeluargaan dan mampu menghiburkan pengunjung yang datang.
“Beberapa siri kejutan bakal ditampilkan menerusi segmen tertentu dan diharap dapat menutup kekurangan vokal saya yang tidak memukau seperti penyanyi-penyanyi lain,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: