Tuesday, March 22, 2011

Hasrat salur RM5 bilion



Bank Simpanan Nasional (BSN) berhasrat menyalurkan RM5 bilion pembiayaan peribadi tahun ini dengan RM1.8 bilion daripada jumlah itu dikhaskan untuk pengeluaran pembiayaan peribadi kempen ‘BSN Happy Cash’ yang dijalankan selama empat bulan.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Perbankan Konsumernya, Akhsan Zaini berkata, jumlah permohonan itu kini mencecah 50 peratus dan semakin menghampiri sasaran.

“Pengeluaran pembiayaan peribadi bagi kempen tahun ini adalah lebih banyak berbanding RM1.2 bilion jumlah yang dikeluarkan tahun lalu,” katanya pada taklimat media berkenaan produk itu di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, pembiayaan itu ditawarkan menerusi perbankan Islam dan konvensional dengan kadar keuntungan serendah 3.15 peratus setahun dan disasarkan kepada kakitangan kerajaan dan badan berkanun terpilih dengan pembiayaan serendah RM150,000 hingga RM200,000 dengan tempoh pembiayaan selama 20 tahun.

Beliau berkata, kempen itu dilancarkan bermula Januari lalu dan berakhir 30 April ini. Kejayaan kempen itu mewakili 36 peratus daripada jumlah keseluruhan sasaran pengeluaran pembiayaan peribadi BSN tahun ini.

“Melihat sambutan yang baik sepanjang penganjuran tahun lalu, kami cuba menambah bilangan hadiah daripada 65 kepada 701 tahun ini agar lebih ramai pelanggan berminat dengan pembiayaan ini,” katanya.

Katanya, BSN membelanjakan lebih RM1 juta untuk menyediakan hadiah dalam kempen itu yang dikenal pasti sebagai medium berkesan mempromosikan pakej pembiayaan apabila menyediakan sebuah kereta mewah Audi A4 sebagai hadiah utama, selain 100 i-pad dan 500 netbook menerusi cabutan bertuah.

Akhsan berkata, kempen itu juga secara tidak langsung meningkatkan jumlah pelanggan baru pembiayaan itu yang kini mencecah 100,000 berbanding 60,000 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: