Wednesday, March 9, 2011

Ketagih fesyen

pix_gal0
SELAIN dikenali dengan bakat masing-masing, Alyah dan Mizz Nina turut disifatkan mempunyai terjemahan tersendiri dalam soal bergaya. Itu juga antara sebab B*POP menggandingkan dua bintang berusia 30 tahun ini selain nama mereka turut bolos buat pertama kali dalam senarai pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Alyah dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular selepas lebih sedekad berjuang mengharungi suka duka di atas paksi seni. Mizz Nina yang pernah menganggotai Teh Tarik Crew beberapa tahun dulu pantas mencipta nama sebagai penyanyi solo sejak tahun lalu disenaraikan sebagai Artis Baru Wanita Popular.
Gandingan buat pertama kali ini juga menyingkap memori lama di antara mereka yang pernah sebumbung di bawah syarikat rakaman EMI (kini sudah gulung tikar). Ketika itu Mizz Nina masih bersama Teh Tarik Crew manakala Alyah pula menaungi syarikat itu selepas menjuarai Bintang HMI 2000.Bagaimanapun, ketika itu akui Alyah, mereka tidak pernah bertegur. Alyah hanya memandang dari kejauhan. Hanya selepas lewat kebelakangan ini, mereka kerap bertegur sapa kala bertemu di majlis hiburan. Kata Alyah lagi, Mizz Nina juga seorang yang sangat peramah.

Maka tidak hairan fotografi yang menggunakan persalinan pereka fesyen meningkat naik, Ezuwan Ismail baru-baru ini pantas mencipta keserasian. Kemampuan mereka beraksi di depan kamera tidak perlu dipertikaikan lagi. Mereka hebat dan cukup mementingkan gaya seiring dengan status mereka sebagai figura awam.

Menurut Mizz Nina, dia memang antara pengikut aliran semasa dunia fesyen. Majalah fesyen antara teman akrabnya. Malah akui bakal isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh itu, perubahan gayanya akan tetap berlaku seiring dengan status baru yang bakal dimilikinya nanti.

“Saya memang gemar menonton drama gaya hidup di TV membabitkan selebriti antaranya. Contohnya seperti Keeping Up With The Kardashians dan gaya Kim Kardashian antara yang saya perhatikan. Begitu juga dengan Jennifer Lopez (JLO) dan Victoria Beckham yang mempunyai sentuhan tersendiri dalam berfesyen.
“Melalui bantuan jurusolek kegemaran saya, Khir Khalid, dia juga mencadangkan saya untuk membelek majalah fesyen dari Jepun contohnya untuk meneliti gaya. Fesyen itu juga seperti muzik yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa.

“Jadi sebagai anak seni, muzik dan fesyen itu seakan tidak dapat dipisahkan. Oh ya, dengan fasa perkahwinan yang bakal saya tempuhi beberapa bulan lagi, saya akan lebih berhati-hati dengan apa yang dipakai. Tidak boleh terlalu seksi. Saya perlu membuat pilihan bijak dan tepat dalam bergaya,” kata Mizz Nina sambil memberitahu tunangnya (Noh) tidak mengongkongnya dalam soal bergaya tetapi lebih banyak memberi nasihat untuk tidak keterlaluan bergaya.

Debaran menanti gelaran isteri

Saat ini, Mizz Nina begitu teruja penuh debaran menanti saat bergelar permaisuri hati kepada Noh. Penyanyi lagu What You Waiting For ini dijangka melangsungkan pernikahannya pada 1 Julai ini iaitu pada hari lahirnya yang ke-31.

Bagaimanapun majlis pernikahan dan persandingan (3 Julai) seperti yang dihebahkan sebelum ini tidak akan mengundang rakan media. Ia sebagai mematuhi permintaan dan privasi keluarga. Pihak media hanya akan diraikan bakal mempelai ini pada 6 Julai.

“Harapnya perkahwinan akan menjadi yang pertama dan terakhir buat kami. Ketika ini persiapan memang rancak dilaksanakan. Sesi pra perkahwinan turut dilakukan termasuk mengambil gambar dan video perkahwinan. Pada masa yang sama, kami akan sibuk dengan agenda seni masing-masing.

“Noh seperti yang kita sedia maklum, dia sibuk dengan Mentor musim terbaru di TV3. Manakala saya dengan rencana kembara seni saya di luar negara. Saya bertuah juga kerana keluarga, kawan dan perunding perkahwinan banyak melancarkan persiapan berkahwin.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan bergelar isteri orang. Tipulah kalau cakap tidak tertekan menjelang hari bahagia. Tapi semua itu akan dilalui sebaik mungkin. Untuk majlis perkahwinan saya nanti, saya akan menggunakan pereka tempatan,” kata Mizz Nina yang turut sibuk dengan agenda menghasilkan single dan album terbarunya.

Mahu tembusi pasaran Taiwan

Dalam perkembangan lain, Mizz Nina memberitahu bahawa dia tidak dapat bersama-sama memeriahkan acara kemuncak ABPBH 2010 pada 3 April ini kerana sudah terikat dengan kembara seninya bermula hujung bulan ini. Mizz Nina akan menyertai konvensyen Hip Hop di Rotterdam diikuti ke Perancis untuk majlis sukan Grenoble.

“Kembara ini sudah dirancang lama. Ikutkan saya berbelah bagi untuk melepaskan peluang menghadiri ABPBH 2010 dan pada masa yang sama peluang melebarkan sayap ini juga datang serentak. Konvesyen Hip Hop ini berlangsung selama tiga hari dan mengumpulkan semua label indie di seluruh pelusuk dunia.

“Ia bukan hanya dihadiri penyanyi, sebaliknya apa saja gelaran atas paksi seni. Joe Flizzow dan orang penting syarikatnya, Kartel Records juga dijangka turut serta. Di Perancis (majlis sukan Grenoble), ia juga akan disertai kumpulan Hujan dan Tilu.

“Untuk acara sukan itu, diwujudkan satu malam bagi anak seni Malaysia membuat persembahan. Dalam pada itu, pihak saya juga sedang merencana untuk menembus pasaran Taiwan di tiga bandar besar di sana. Album penuh dan single akan muncul sama ada sebelum atau selepas saya berkahwin,” kata pemenang kategori Flava (Hip Hop/R&B Awards), Anugerah Shout! 2010 itu.

Intai kolaborasi Faizal Tahir

SEPERTI juga Mizz Nina, Alyah kini sibuk melunaskan baki pembikinan album terbarunya. Selepas meledak dengan lagu berhantu, Tak Mungkin Kerna Sayang, Alyah melancarkan single demi single iaitu lagu Ku Pinjam Satu Bintang (duet bersama Riz), Realiti Dewi dan Kau Bisu.

Kini, lagu Kisah Hati ciptaan kumpulan 6ixth Sense dipertaruhkan. Difahamkan klip video lagu terbabit akan dilakukan tidak lama lagi. Kalau jadi seperti yang dirancang, album terbarunya akan meluncur di pasaran pertengahan tahun ini.

“Ikutkan tiga lagu lagi diperlukan untuk mencukupi kuota lagu yang sudah dirakam sekali gus menjadikan jumlah semua lagu menjadi enam. Tapi jika pihak Alyah berasakan ada lagu terbaik yang boleh dimuatkan di kemudian hari, perancangan tambahan lagu akan dilakukan.

“Setakat ini, komposer terbabit ialah Julfekar, Azlan Abu Hassan dan Omar K. Alyah cuba juga merisik untuk mendapat kerjasama penyanyi Faizal Tahir untuk menyumbangkan lagu ciptaannya. Begitu juga dengan Helen Yap dan Yasin,” katanya yang turut menyanyikan lagu tema program kemasyarakatan kebanggaan Harian Metro (HM), Titipan Kasih.

Mengenai ABPBH 2010, Alyah menyifatkannya ia sebagai kejayaan peribadi yang cukup besar buat dirinya. Malah lebih membanggakan Alyah ialah fasa peningkatan dirinya tahun demi tahun terhadap penganjuran acara kebanggaan Berita Harian itu.

“Beberapa tahun lalu, Alyah hanya menonton ABPBH di rumah saja. Hanya dua tahun lalu, baru Alyah berpeluang menontonnya di Genting Highlands. Tahun lalu, Alyah membuat persembahan simbolik bagi segmen Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima Datuk Khatijah Ibrahim.

“Dan alhamdulillah, tahun ini, nama Alyah pula dicalonkan sebagai Top 5 Penyanyi Wanita Popular. Alyah juga melihat isu penarikan diri Datuk Siti Nurhaliza daripada kategori itu selama 13 tahun bukan satu isu. Bagi Alyah kehadiran Datuk Siti memberi semangat kepada penyanyi lain dan jauh sekali dianggap sebagai ancaman.

“Kejayaan Datuk Siti menjadi motivasi terbesar buat Alyah. Saingan untuk kategori ini (Stacy, Yuna, Ana Raffali dan Adira) juga dilihat sebagai sihat. Masing-masing mempunyai kelompok peminat sendiri. Apa yang lebih penting, Alyah sendiri menunggu siapa yang bakal dinobatkan untuk kategori ini,” kata pemenang juara Gah 1 musim ketujuh menerusi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu.

Alyah turut diajak berbicara mengenai kisah peribadinya termasuk hal kahwin. Seperti wanita lain, Alyah juga berdepan kegagalan apabila episod cintanya berakhir di tengah jalan. Akui Alyah, kadang kala timbul juga tekanan kepada dirinya apabila ramai bertanyakan kepadanya soal kahwin.

“Pada suatu saat, Alyah sendiri tak mampu memberi jawapan kepada soalan kahwin itu. Keluarga Alyah terutama ibu ada mengaturkan Alyah dengan beberapa orang lelaki. Tapi semuanya tidak melekat. Dek kesibukan, Alyah sendiri tidak berpeluang bertemu mereka secara berdepan,” katanya yang sambil berseloroh memberitahu sering diajukan hal kahwin terutama ketika pulang ke kampung.

Sebelum melabuhkan bicara, Alyah sempat ditanya mengenai gayanya pada 2011. Selepas diingati dengan gaya ala Rihanna dan Lady Gaga tahun lalu, Alyah menjelaskan dia tidak mahu lagi dibayangi jolokan sedemikian. Malah sebelum rambut pendeknya menjadi panjang, Alyah memilih untuk memakai rambut palsu.

“Untuk tahun ini, Alyah mahu mencuba sesuatu yang baru pula sekali gus menampakkan kematangan diri. Apa yang Alyah lakukan selama ini mencuba pelbagai gaya termasuk dilabel ala Rihanna dan Lady Gaga, semuanya bersebab. Sebabnya orang lebih kenal lagu Tak Mungkin Kerna Sayang daripada Alyah sendiri sebagai penyanyi.

“Hal peminat lebih kenal lagu daripada penyanyi memang membimbangkan Alyah. Lalu, Alyah memilih untuk mencuba gaya pelik itu sebagai alasan untuk menangkap perhatian peminat. Ia ternyata memberi kesan. Lady Gaga sendiri cukup diingati dengan gaya peliknya di samping lagu nyanyiannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: