TAMADUN Melayu yang sudah sekian lama bertapak di peta dunia banyak meninggalkan khazanah warisan tidak ternilai untuk diwarisi generasi masa hadapan.
Antara warisan luar biasa ditinggalkan generasi terdahulu termasuk bahasa Melayu yang menjadi kebanggaan terutamanya di negara-negara rumpun nusantara.
Keindahan dan kelembutan lenggok bahasa Melayu secara perlahan-lahan telah merentasi sempadan dalam bidang pelajaran, perdagangan serta banyak lagi.
Walaupun jika dilihat di Malaysia hari ini, bahasa Melayu sedang terhimpit apabila semakin ramai generasi muda mengutamakan bahasa Inggeris bahkan masih ramai yang tergagap apabila berbahasa Melayu, situasi berbeza berlaku di luar negara.
Keindahan dan signifikan bahasa Melayu menyebabkan semakin banyak universiti luar negara membuka pusat pengajian bahasa dan budaya Melayu.
Lantaran itulah, apabila Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama beberapa kementerian lain menganjurkan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) jumlah penyertaan bukanlah boleh dibilang dengan jari.
Memasuki edisi kelima tahun ini, PABM 2011 menyaksikan penyertaan 59 peserta dari 56 buah negara di seluruh dunia untuk merebut Piala Perdana Menteri.
Lebih mengagumkan daripada 59 peserta itu, wakil dari lima buah negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS), Rusia, Perancis, China dan Britain juga tidak ketinggalan tampil berpidato dalam bahasa Melayu.
Peserta yang berasal dari Moscow, Rusia, Daria Kamyshnikova, 19, memberitahu, dia sangat tertarik dengan keindahan bahasa Melayu sehingga menyuntik semangat untuk mempelajari bahasa tersebut.
“Pada mulanya, saya gemar membaca pelbagai buku dan laman web mengenai Asia. Lama-kelamaan saya mula tertarik dengan bahasa dan budaya Melayu.
“Gaya pertuturan bahasa Melayu yang indah dan mempunyai makna tersendiri telah membuka hati saya untuk mempelajari bahasa ini,” ceritanya ketika ditemui Kosmo!
Sekali mendengar pertuturan penuntut Pengajian Sejarah, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Nusantara Universiti Moscow itu sudah cukup menggambarkan bahawa dia mencintai bahasa Melayu.
Susun atur tutur kata gadis kecil itu begitu fasih sehingga jika tidak dipandang akan merasakan kita sedang berbicara bersama orang Melayu.
Gadis yang lebih dikenali sebagai Dasha itu menambah dia mempelajari bahasa Melayu untuk mendekati budaya Melayu di Asia Tenggara terutamanya Malaysia.
Katanya, bagi mempelajari sesuatu bahasa atau budaya asing, seseorang perlu mempelajari bahasa tersebut daripada penuturnya.
“Saya telah mempelajari bahasa Melayu selama hampir empat tahun dan mendapati ia tidak begitu sukar untuk dipelajari.
“Di Rusia pula, terdapat banyak bahan rujukan seperti buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memudahkan lagi proses pembelajaran bahasa Melayu,” katanya.
Bagi Kimberly Twarog, 26, pula, dia sangat tertarik dengan kelompok pelbagai etnik yang terdapat di negara-negara nusantara.
“Negara-negara nusantara mempunyai kekayaan daripada segi budaya, muzik, teater, hikayat dan bermacam-macam lagi yang ingin saya fahami serta terokai.
“Ciri-ciri tersebut yang membuatkan saya ingin mempelajari dan mendekati bahasa Melayu,” katanya yang gemar menikmati nasi goreng dan karipap.
Peserta dari Universiti California Los Angeles, AS itu menjelaskan, dengan pemahaman lebih mendalam terhadap sesuatu bahasa ia dapat membantu memahami kebudayaan sesuatu bangsa.
Kimberly yang ingin menjadi profesor ataupun penyelidik mengenai negara-negara nusantara memberitahu, dia tidak berdepan masalah sepanjang empat tahun mempelajari bahasa Melayu.
“Selain daripada bahasa Melayu saya juga menggemari tarian tradisional yang terdapat di negara-negara nusantara.
“Saya sangat tertarik kepada tarian zapin dan gamelan Jawa. Jika mempunyai kesempatan saya ingin mempelajari tarian-tarian ini,” katanya.
Sambil berseloka peserta negara Perancis, Florian Sarboni, 21, dari Universiti De La Rochelle berkata: “Tidak mahu diwawancara.”
Florian yang sudah dua tahun mempelajari bahasa Indonesia menyifatkan bahasa Melayu sangat indah dari segi tatabahasa dan struktur penyusunan ayatnya.
“Walaupun terdapat perbezaan di dalam bahasa Indonesia dan Malaysia, saya masih boleh memahaminya kerana ia adalah serumpun.
“Kalau membicarakan tentang kesukaran mempelajari bahasa ia terpulang kepada individu tersebut sama ada rajin ataupun sebaliknya,” katanya yang mempunyai telo bahasa Indonesia.
Lelaki yang meminati sukan renang itu menambah, dia sering kali berbicara dan membuat ulang kaji untuk memperbaiki bahasa dipelajarinya.
Katanya, dia berharap dengan mempelajari bahasa Indonesia dan bahasa Melayu akan membuka peluang pekerjaan baginya di negara Asia Tenggara.
Dengan perwatakan agak pemalu, peserta China, Guo Zi Tong, 20, berkata apabila terbaca artikel mengenai keindahan pantai di Pulau Langkawi dan Pulau Redang telah membuatkan dia bersungguh-sungguh mendalami bahasa Melayu.
Penuntut Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing itu memberitahu, dia gemar bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan menyimpan cita-cita melanjutkan pelajaran di Malaysia.
“Saya turut mempunyai rakan Melayu yang melanjutkan pelajaran di China yang membantu saya memperbaiki dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu saya.
“Selain daripada itu, saya juga menggemari lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan lagu kegemaran saya ialah Bukan Cinta Biasa yang dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.
“Apa khabar?” sapa Jennifer Mary Mccalum, 26, sambil memberitahu itu perkataan bahasa Melayu pertama dipelajarinya.
Peserta Britain yang lebih mesra dengan panggilan Jenny itu berkata, dia banyak menyaksikan persembahan gamelan Indonesia di universitinya membuatkan dia mempelajari bahasa Melayu.
“Selain daripada tarian tradisional saya juga menggemari sajak, pantun dan puisi kerana lenggok bahasanya berirama dan menusuk di jiwa apatah apabila dapat memahami maknanya.
“Disebabkan saya mempelajari bahasa Indonesia, saya menggemari penulisan Andrei Hirata terutamanya buku Laskar Pelangi,” katanya.
Selain buku dan bahan bacaan Internet, penuntut Universiti London itu berkata, dia juga mempunyai ramai kenalan dari Malaysia dan Indonesia melalui laman sosial untuk memantapkan bahasa Melayu.
Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup mudah dan indah dipelajari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: