Noharuddin NordinMENGEMBARA ke beberapa negara memberikan banyak pengalaman kepada penulis tentang kepelbagaian dan keunikan budaya dan masyarakat dunia.
Tanpa menumpukan tempat-tempat menarik yang wajib dikunjungi semata-mata, penulis yang berkunjung ke Eropah baru-baru ini turut merasai makanan popular seperti piza dan pasta di Rome, Itali dan paella di Barcelona, Sepanyol.
Selain itu, terdapat banyak restoran Barat lain turut bersaing menjamu selera termasuk restoran yang menghidangkan makanan Asia seperti China, Jepun dan Thailand.
Jujurnya, penulis begitu sukar untuk mencari restoran Malaysia di Rome dan Barcelona terutama di Prague, ibu negara Republik Czech.
Keadaan ini sangat berbeza ketika singgah ke London, United Kingdom yang mempunyai banyak pilihan restoran yang menghidangkan makanan Malaysia.
Penulis berkesempatan menjamu selera di beberapa restoran Malaysia seperti TukDin, Delima, 54 Pinang dan Melati.
Semua restoran tersebut menyertai Program Malaysia Kitchen (MKP) yang diambil alih oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada 2009.
Namun bagaimana dengan hala tuju MKP dalam mempromosikan makanan Malaysia di luar negara terutama selepas memperkenalkan Kempen Dapur Malaysia Global?
Jangka panjang
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Noharuddin Nordin berkata, MKP menggunakan restoran Malaysia sedia ada di luar negara bagi mempromosikan makanan Malaysia dan pada masa yang sama mempromosikan restoran berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif jangka panjang dengan kerjasama restoran Malaysia yang bukan sekadar pameran atau aktiviti promosi makanan tempatan.
“Sehingga 15 Mac lalu, sebanyak 559 restoran Malaysia di 31 negara menyertai MKP,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Noharuddin berkata, jika bukan kesan jangka panjang maka akan wujud masalah dalam menentukan minat atau pembelian makanan Malaysia itu secara berterusan.
“Sebagai contoh, kalau kita buat pesta makanan Malaysia secara besar-besaran di London selama seminggu dan berhenti setakat itu saja, bagaimana pula dengan pengunjung pameran yang berminat untuk mendapatkan makanan tersebut tanpa perlu menunggu lagi acara seumpama itu pada masa akan datang?
“Justeru, setiap aktiviti MKP membabitkan restoran Malaysia di 31 negara seluruh dunia agar pengalaman merasai makanan Malaysia itu berterusan,” katanya.
MKP terbuka kepada semua restoran yang menghidangkan makanan Malaysia sama ada dimiliki oleh rakyat Malaysia, rakyat asing atau usaha sama antara kedua-duanya.
Menurutnya, jika MKP sekadar bergantung kepada restoran milik rakyat Malaysia semata-mata, perkembangannya tidak mungkin berjumlah 559 restoran sehingga kini.
“Kenapa kita tidak gunakan restoran lain yang turut menghidangkan makanan Malaysia. Ini adalah peluang dan jika tidak, rugilah MKP,” katanya.
Strategi pasaran
Sesetengah restoran Malaysia di luar negara turut menghidangkan makanan dari negara lain dan itulah senario yang berlaku demi menarik perhatian pengunjung.
Noharuddin mengakui tentang perkara itu namun jelasnya, menu masakan negara lain itu sebenarnya membantu orang luar untuk mengenali masakan Malaysia.
“Promosi MKP akan membawa rakyat asing ke restoran untuk merasai makanan Malaysia dan diharapkan pengalaman itu berterusan.
“Kalau pelanggan mahu mencari makanan Malaysia, tidak mustahil pengusaha akan menambah menu berikutan permintaan yang menggalakkan,” katanya.
Timbul persoalan mengenai makanan Malaysia tidak popular di negara lain berikutan MKP lebih tertumpu di London dan New York, Amerika Syarikat.
Noharuddin berkata, MKP merupakan satu konsep penjenamaan semula kerana menggunakan restoran sedia ada bagi mempromosikan makanan Malaysia.
“London dan New York merupakan bandar kosmopolitan yang lebih ‘berani’ serta dikenali sebagai pencetus trend yang menjadi ikutan masyarakat dunia.
“Apa yang penting adalah strategi pasaran kerana perusahaan restoran adalah perniagaan. Jika ada permintaan maka wujud pasaran untuk diperluaskan,” katanya.
Menurut beliau, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank) menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pengusaha sehingga 90 peratus daripada kos termasuk pembinaan, pengubahsuaian, pembelian peralatan dan modal kerja.
Pilihan dunia
Daripada 559 restoran Malaysia di bawah MKP, Australia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 191 buah diikuti Amerika Syarikat (79) dan United Kingdom (54).
Noharuddin berkata, sebanyak tiga restoran Malaysia iaitu Laut, Nyonya dan Fatty Crab, masing-masing di New York disenaraikan dalam Michelin Guide, satu siri panduan mengenai makanan dan restoran terbaik dunia.
“Ini membuktikan bahawa restoran Malaysia semakin dikenali oleh masyarakat dunia menerusi makanan dan perkhidmatan yang berkualiti.
“Pasaran London dan New York bagi makanan Malaysia semakin kukuh dan perlu dipertingkatkan lagi manakala yang lain masih dalam peringkat kesedaran,” katanya.
Sehubungan itu katanya, MKP terus memperluaskan promosi utama di Australia dan New Zealand selepas New York dan London.
Tambahnya lagi, satu kajian dilaksanakan bagi mengenal pasti pasaran baru yang berpotensi untuk promosi seterusnya seperti China dan Asia Barat.
“Kajian tersebut berdasarkan bilangan restoran serta potensi pasarannya supaya promosi makanan itu benar-benar mencapai matlamat MKP,” katanya.
“Walapun MKP kini menghimpunkan 559 restoran di seluruh dunia namun dalam konteks pasaran menyeluruh, bilangan tersebut amat kecil.
“Kami tidak menetapkan sasaran bilangan restoran kerana mengusahakannya di luar negara kerana dipengaruhi oleh banyak faktor seperti persaingan dan lokasi,” katanya.
Bagaimanapun Noharuddin berkata, sasaran MKP adalah memastikan agar restoran Malaysia terus menjadi pilihan utama dan terbaik di luar negara serta bilangannya terus meningkat khususnya di bandar-bandar utama dunia.
“Dengan menikmati makanan Malaysia, katanya, rakyat asing dapat mengenali budaya Malaysia seterusnya menjadikan negara sebagai destinasi makanan dunia.
“Secara tidak langsung, ini akan meningkatkan pasaran eksport produk makanan tempatan berikutan pengaruh masakan Malaysia di luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: