(DARI kiri) Muhamad Muda, Hou Kok Chung, Abu Seman Yusop dan Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood memegang album Cipta - Inovasi Karya Seni sewaktu pelancarannya di Istana Budaya, baru-baru ini. |
STIGMA negatif yang dilemparkan kepada bekas banduan cukup sukar dikikis di kalangan masyarakat tempatan mahupun di mata dunia.
Natijahnya, pandangan sebegitu mengakibatkan bekas penghuni penjara kembali melakukan aktiviti jenaya lantaran sukar mendapatkan pekerjaan.
Lantas, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) selaku sebuah institusi penahanan dan pemulihan bertindak mencetuskan idea bernas bagi membendung masalah yang kerap berulang itu.
Baru-baru ini, JPM melancarkan penerbitan album patriotik Festival Cipta Lagu Patriotik (Cipta) - Inovasi Karya Seni sekaligus membuktikan banduan juga memainkan peranan penting dalam menanam semangat kecintaan dan keharmonian di kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop katika melancarkan program itu berkata, penghasilan karya seni muzik yang baik mampu menggerakkan minda pencipta dan pendengar untuk berfikir ke arah pemikiran dan perlakuan yang positif.
"Secara tidak langsung, penghasilan album irama kontemporari itu dapat mengurangkan kadar jenayah dan Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat dicapai seperti disasarkan.
"JPM sentiasa terbuka dalam mempelbagaikan kaedah pemulihan termasuklah membuka pintu penjara kepada masyarakat dan organisasi untuk turut sama membantu mereka," katanya ketika berucap di majlis pelancaran album Cipta di Istana Budaya, baru-baru ini.
Turut hadir,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Penjara Malaysia, Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Dr. Muhamad Muda.
Menurut Abu Seman, adalah menjadi tanggungjawab sosial bagi penerbit album di negara ini untuk mengkomersialkan karya yang mempunyai nilai patriotisme.
Selain itu, Abu Seman juga menjelaskan, album itu terhasil melalui kerjasama antara JPM, Kementerian Pengajian Tinggi dan USIM dan beliau mengucapkan syabas kerana melaksanakan satu tindakan khidmat sosial.
Sementara itu, Kok Chung berkata, kolaborasi antara mahasiswa dan penghuni penjara dalam menghasilkan album itu amat dibanggakan dan wajar mendapat perhatian umum.
Kata beliau, program sebegitu selaras dengan misi kementerian untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi di kalangan mahasiswa.
Sebanyak enam lagu terbaik ciptaan mahasiswa dan penghuni penjara daripada pertandingan Cipta 2008 hingga 2010 telah disatukan di bawah album Cipta - Inovasi Karya Seni.yang dijual pada harga RM16.90.
Album tersebut boleh dibeli di pameran yang diadakan USIM dan Jabatan Penjara Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: