Wednesday, March 2, 2011

Hakikat diri suami

Tugas seorang suami memimpin rumahtangganya manakala tugas isteri menentukan perkara pendidikan dan perkembangan anak-anak. - Gambar hiasan


TAK kenal maka tak sayang." Itu ungkapan yang sering kita dengar dalam kehidupan manusia terutama ketika meniti alam percintaan yang sepatutnya diakhiri dengan perkahwinan yang berdasarkan iman dan takwa.

Daripada pepatah ini, boleh membuat kesimpulan bahawa untuk mewujudkan kasih sayang sejati, kedua belah pihak harus mengenal hakikat diri pasangannya dengan baik dan betul.

Melalui beberapa siri seminar kepekaan gender dan kecelikkan undang-undang yang saya kendalikan di bawah kelolaan Jabatan Pembangunan Wanita, saya sering bertanya para peserta wanita akan soalan ini: "Siapakah suami anda?"

Persoalan mudah ini sering menjadi satu halangan yang membuat mereka berfikir sejenak untuk memberikan jawapan kepada saya.

Kadang-kala yang lebih menyedihkan, terdapat wanita yang tidak mampu menjawab dan memberi penjelasan akan 'identiti' suami mereka.

Ia akibat kebingungan dan kecelaruan jiwa kesan daripada sikap suami yang tidak menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam rumahtangga.

Lebih menyedihkan, terdapat jawapan negatif tentang seseorang manusia kepada manusia lain yang sepatutnya dikenali dan disayangi tadi.

Suami seorang pemimpin

Adalah jelas melaluifirman Allah SWT yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita" (Surah an-Nisa:34)."

Lelaki, sebagai seorang suami harus memiliki jiwa dan karisma kepimpinan yang tinggi dalam rumahtangga. Namun, ia harus disulami dengan hikmah yang tinggi melalui ilmu dan kemahiran sebagai seorang suami mahupun ayah kepada anak-anak.

Suami haruslah memimpin isteri dengan bijak tanpa elemen menekan, menindas dan memaksa. Terutama dalam memberikan kesedaran yang mendalam terhadap isteri.

Malangnya, terdapat ramai suami yang menyalahgunakan peranan kepimpinan dalam rumah tangga terhadap isteri dan anak-anak mereka apabila amanah untuk memimpin itu diterjemahkan bersama elemen kekerasan, kezaliman dan penindasan yang tidak wajar. Ia seperti berlakunya kes-kes penindasan terhadap wanita yang telah dibincangkan sebelum ini.

Prof. Hamka dalam Tafsir Al-Azharnya (Juzuk 4) telah mengupas konsep kepimpinan suami dalam rumahtangga ini dengan menarik. Beliau menyatakan kepimpinan yang disarankan agama melalui ayat rabbani ini mestilah kepimpinan yang mengambil kira pandangan isteri agar apa yang dipimpin dan disarankan itu boleh diterima dan dijiwai oleh isteri tanpa perasaan tertekan dan tertindas.

Menurut Hamka, fungsi kepemimpinan (qawamah) suami terhadap isteri adalah fungsi kawalan yang bersifat ri'ayah (mengurus). Ia bukan kawalan umpama suatu pemerintahan atau kekuasaan sehinggakan elemen autokratik itu dilaksanakan.

Jiwa kepimpinan seperti ini mampu membentuk kesempurnaan seorang isteri yang diidamkan serta anak keturunan mereka.

Adalah lebih bijak bagi seseorang suami itu memimpin rumahtangganya secara bersama dengan isteri terutama dalam menentukan perkara-perkara yang lebih dijiwai oleh wanita seperti persoalan pendidikan dan perkembangan anak-anak.

Suami perlu melaksanakan kepimpinan yang menglibatkan semua pihak atau participative leadership dalam mentadbir rumahtangga moden yang penuh cabaran.

Sebagai pelindung dan pembimbing

Selain memimpin, seorang suami itu adalah pelindung dan pembimbing kepada isteri mereka. Allah SWT telah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.." (Surah at-Tahrim:6).

Jelas, bahawa seorang suami itu perlu menjadi pelindung dan berusaha untuk memastikan dirinya dan juga ahli keluarganya daripada melakukan kesalahan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Malangnya, apa yang berlaku hari ini, suami itu bukan bertindak sebagai pelindung atau pembimbing, tetapi terdapat banyak kes yang menunjukkan suami yang telah menjerumuskan diri mereka dengan kemurkaan Allah. juga menyebabkan penderitaan yang luar biasa sama ada secara fizikal atau emosi kepada isteri mahupun anak-anak mereka. Perkara inilah yang perlu ditangani dengan bijak bagi memastikan rumahtangga itu tidak disulami dengan kesedihan dan kekerasan atas alasan 'melindung atau membimbing'.

Suami pemberi nafkah

Allah SWT berfirman: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu).." (Surat at-Talaq:7). Ayat ini menunjukkan bahawa nafkah zahir itu adalah hak mutlak seorang isteri yang perlu ditunaikan oleh suami dalam perkahwinan. Walaupun dalam keadaan kesempitan hidup, tanggungjawab ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Sang suami perlulah mencari rezeki yang halal dan kita perlu sedar bahawa sebahagian daripada wang ringgit yang kita dapat itu, terdapat hak isteri yang nyata yang perlu kita tunaikan. Ramai suami menyatakan bahawa nafkah wang ringgit kepada isteri itu adalah hak mereka untuk memberinya berdasarkan budi bicara mereka. Alangkah salahnya pandangan kaum lelaki ini, sedangkan hak nafkah zahir isteri tersebut adalah hak mutlak isteri yang hanya isterilah yang boleh melepaskan tanggungan suami tersebut terhadap diri mereka. Berapa ramai suami yang meminta reda isteri tentang perkara ini? Fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: