![]() |
| Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Taunku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama pemenang-pemenang dalam Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia (MURoC) 2011 di Kangar baru-baru ini. |
KANGAR 1 Mac - Dewan Wawasan 2020, di sini bagaikan ditawan robot.
Seluruh pelosok kawasannya dipenuhi robot pelbagai bentuk serta mempunyai kepantasan luar biasa, seolah-olah menepati gambaran dalam filem-filem barat yang ditonton selama ini.
Itulah yang dapat dilihat pada Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia (MURoC) 2011 yang berlangsung selama dua hari di dewan berkenaan baru-baru ini.
Apa yang membanggakan, robot-robot tersebut direka oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kesemuanya terdiri daripada anak tempatan yang rata-ratanya golongan muda berwawasan tinggi.
Dengan berbekalkan kreativiti dan inovatif serta sedikit tunjuk ajar pegawai universiti, pelajar berkenaan berjaya menghasilkan robot yang menjadi daya tarikan pengunjung ke pertandingan itu untuk melihat kemampuan ciptaan mereka bertanding pelbagai kategori.
Bukan senang untuk melihat robot mengambil alih tugas manusia namun di pertandingan tersebut pelajar berkenaan berjaya membuktikan bahawa ciptaan mereka mampu 'beraksi' apabila menyertai kategori memanjat tali (rope climbing), memadam api (fire fighting) dan paintball.
Kehebatan robot itu beraksi menarik minat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berangkat menyaksikan pertandingan tersebut.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
UniMAP merupakan tuan rumah pertandingan tersebut yang ditaja Microchip Technology Incoporated.
Ia melibatkan penyertaan UniMAP, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Politeknik Sultanah Bahiyah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), UiTM Shah Alam, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Turut serta Politeknik Sultan Ahmad Shah, Politeknik Port Dickson, Politeknik Ungku Omar, Institut Jerman Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Politeknik Kuching sarawak.
Dalam pertandingan tersebut, UPM menunjukkan penguasaannya apabila mengungguli lima kategori pertandingan.
Di samping menerima Anugerah Khas penaja, Microchip untuk membawa pulang hadiah RM500, bagi pertandingan robot, UPM A menjuarai kategori memanjat tali manakala UPM menguasai memadam api yang melayakkan pasukan tersebut masing-masing meraih hadiah RM1,500 beserta piala iringan.
Kategori memanjat tali menyaksikan UPM A menewaskan UPM B yang membawa pulang hadiah RM1,250 bagi tempat kedua dan tuan rumah, UniMAP A di tempat ketiga memperoleh RM1,000 manakala bagi kategori memadam api, UPM mengatasi UiTM yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua untuk menerima RM1,250 dan UniMAP A sekadar di tempat ketiga dengan hadiah RMRM1,000.
Kategori paintball pula membawa tuah kepada UTHM yang muncul juara untuk memperoleh hadiah RM1,500 serta piala iringan, tempat kedua UniMAP A mendapat RMRM1,250 manakala PSDC meraih hadiah RM1,000 di tempat ketiga.
UPM turut menguasai pembentangan reka bentuk terbaik menerusi kategori memanjat tali dan memadam api untuk menerima hadiah RM500 bagi setiap kategori manakala kategori paintball dimenangi UiTM yang juga menerima RM500.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Raja Muda Perlis dalam pertandingan yang melibatkan seramai 275 peserta itu.
Sementara itu, jurucakap UPM yang juga seorang pensyarah Kanan universiti itu, Dr. Wan Zuha Wan Hasan memberitahu, secara keseluruhan, seramai 36 pegawai dan pelajar terlibat dalam projek menghasilkan robot yang mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum pertandingan.
Menurut beliau, gabungan idea antara pegawai dan pelajar itu berjaya menghasilkan robot yang lebih menarik termasuk pergerakannya yang lebih pantas.
"Jika pada masa lalu, robot ciptaan kami (UPM) hanya mencapai 14 saat untuk jarak satu meter, kali ini ia cuma mengambil masa 4 saat, inilah kelebihannya," tambah beliau.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: