![]() |
| SAHOL Hamid Abu Bakar (kanan) menyampaikan Anugerah Kualiti Pengurusan kepada Faizol Mohamad sambil diperhatikan oleh Jamil Hamali di Samarahan, Sarawak, baru-baru ini. |
SAMARAHAN 1 Mac - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sarawak berjaya meningkatkan projek inovasi daripada 21 projek pada tahun 2009 kepada 58 projek sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu
Pengarah UiTM Kampus Sarawak, Prof. Dr. Jamil Hamali berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan 100 peratus berbanding tahun sebelumnya malah bilangan penyertaan kakitangan dalam projek inovasi turut meningkat kepada 248 orang berbanding 164 orang sahaja.
Katanya, lebih membanggakan terdapat produk-produk berimpak yang dihasilkan menerusi projek berkenaan digunakan oleh agensi kerajaan negeri dan sistem UiTM sama ada di peringkat nasional mahupun Kampus Sarawak.
"Bukan sahaja sekadar jaguh kampus, penyertaan produk-produk inovasi kita di peringkat antarabangsa juga tidak mengecewakan.
"Kumpulan Sawit misalnya telah mempertaruhkan produk EZ-Wrap hingga berjaya memenangi pingat emas di International Convention On Quality Concept Circle 2010 di Hyderabad, India," katanya ketika berucap pada majlis Hari Inovasi 2010 anjuran Unit Pengurusan Kualiti, Kekita dan Pewani, di sini, minggu lalu.
Hadir sama Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada warga UiTM Kampus Sarawak bagi menghargai komitmen mereka sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, Sahol Hamid berkata, inovasi pada beliau adalah kemampuan seseorang untuk membuat perubahan atau memperkenalkan sesuatu yang baru selain mencari kaedah untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik.
Katanya, kreativiti kakitangan diukur melalui kemampuan seseorang untuk melahirkan idea-idea baru bagi menyelesaikan sesuatu masalah dihadapi.
"Kita perlu tahu, faham serta menghayati dan di sinilah akan timbul perasaan ingin tahu serta sentiasa mencari pembaharuan.
"Selain itu, kreativiti juga boleh dimaksudkan dengan menambahkan nilai kepada sesuatu dan ini akan menjadikan sesuatu alat atau pekerjaan itu menjadi lebih menarik dan mudah," katanya.
Dalam pada itu, Sahol Hamid memberitahu, sistem inovasi kini semakin dibahas terutama dalam dua dekad terakhir ini malah banyak bukti menunjukkan bahawa perusahaan atau negara yang berhasil di bidang sosio-ekonomi ternyata didukung oleh sistem inovasi yang berkembang dan kuat.
Menurut beliau, inovasi merupakan sistem yang menghimpun institusi-institusi berbeza yang menyumbang secara bersama mahupun individu dalam pengembangan dan difusi teknologi-teknologi baru serta menyediakan kerangka kerja.
Tambahnya, sistem inovasi juga merupakan sistem yang saling berkaitan untuk mencipta, menyimpan dan mengalihkan pengetahuan, keterampilan serta artifak yang menentukan teknologi baru.
"Inovasi juga boleh dalam bentuk apa sahaja yang memperkenalkan penciptaan produk baru iaitu dapat mengubah suasana pasaran atau mencipta pasaran baru.
"Malah, sesetengah inovasi ini menggantikan inovasi semasa untuk menjadi produk atau proses yang menjadi pilihan ramai," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: