AZLAN mengeluarkan dompet yang ditemui dalam peti surat di Taman Maluri, Cheras.
KUALA LUMPUR: Peragut dan penyeluk saku menjadikan peti surat Pos Malaysia di sekitar bandar raya ini sebagai tempat memulangkan semula dompet mangsa selepas mengambil wang mereka.
Perbuatan penjenayah yang masih mempunyai perasaan untuk memulangkan dokumen penting milik mangsa mereka itu, dikesan kebanyakan posmen yang sering menemui pelbagai jenis dompet ketika mengutip surat setiap hari.Sekurang-kurangnya satu dompet ditemui setiap hari daripada 20 peti surat khususnya di kawasan yang disenarai hitam kerana mempunyai kadar jenayah tinggi seperti di Sentul, sekitar Jalan Pahang dan Pudu.
Mohd Sabri menghubungi nombor pejabat yang tertera pada kad panggilan penulis yang ditemui dalam dompet berkenaan untuk memaklumkan mengenainya.
Mohd Sabri berkata, bukan sesuatu yang baru bagi posmen sepertinya menemui dompet di dalam peti surat kerana sejak bertugas dua tahun lalu beliau menemui beratus dompet.
Semua dompet yang ditemui boleh dikatakan tiada lagi wang yang tinggal tetapi hanya dokumen penting seperti kad pengenalan, kad kredit dan kad bank. Mungkin penjenayah tidak mahu menyusahkan mangsanya dengan kehilangan dokumen berkenaan.
Dompet yang ditinggalkan biasanya sudah buruk atau kusam, manakala yang masih cantik diambil kerana boleh dijual semula terutama yang ada jenama terkenal manakala dokumen berkenaan diikat dengan getah atau dibalut dengan kertas surat khabar sebelum ditinggalkan, katanya yang ditemui ketika mengutip surat di Taman Maluri di sini bersama rakan setugas, Azlan Abidin, 37.
Azlan yang bekerja sebagai posmen sejak lapan tahun lalu, berkata posmen yang menemui dompet berkenaan akan cuba menghubungi nombor telefon pemilik sekiranya ada sebarang maklumat di dalamnya kerana memahami betapa sukarnya apabila kehilangan semua dokumen berkenaan.
Jika tiada, kami akan masukkan semula ke dalam karung surat dan hantar kepada pihak bertanggungjawab di Pos Malaysia untuk tindakan seterusnya.
Selain dompet, kami menemui dokumen lain seperti pasport dan surat beranak. Malah, saya pernah menemui kad pengenalan polis milik sepasang suami isteri.
Kebiasaannya, kami banyak menemui dompet dan dokumen penting ini selepas cuti hujung minggu atau pada hari pertama bekerja termasuk pada musim perayaan, katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: