Perjalanan empunya nama Nur Hidayah Mohd Rafali, 25, yang mula menyerlah bersama lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur sekitar awal tahun dilihat selesa apabila sebuah lagi dendangannya, Tolong Ingatkan Aku berjaya melangkahkan kaki ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25.Sebagai orang baru, menakluk pentas program kelolaan TV3 yang dominan hampir tiga dekad lalu bersama 13 calon lain menyerlahkan portfolionya sebagai komposer muda merangkap penyanyi yang dijangka mampu melangkah lebih jauh. Siapa yang tidak teruja dapat beraksi di pentas gah itu dengan lagu ciptaan sendiri, sedangkan ketika zaman kecil dulu, saya hanya menonton program Muzik Muzik di kaca televisyen?
Bersama pengalaman yang tidak seberapa, peminat memberi kepercayaan kepada dua lagu saya untuk bertanding dan sudah pasti saya mahu membalas keyakinan mereka dengan memberi persembahan terbaik, katanya,
Tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi, bimbang rasa kecewa mencengkam diri, berada dalam senarai finalis sudah dianggap sebagai kejayaan cukup bermakna malah bagi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, 2010 mencatat 1001 kemanisan dalam kerjaya seninya.
Manakan tidak, selain AJL namanya turut disenaraikan sebagai calon awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular sekali gus menandakan gerbang 2011 bakal menjadi tahun gemilang
buat si manis itu.
Usai berkongsi rasa mengenai Muzik Muzik 25 dan ABPBH 24, senyumannya terus mekar apabila persoalan menyentuh populariti lagu dendangan bersama Sohaimi Mior Hassan diiringi Altimet, Kalau Berpacaran, yang kini kerap berkumandang di corong radio.
Katanya, lagu yang dihasilkan bersama penyanyi berpengalaman itu dalam sebuah bengkel seni mempunyai keistimewaan bukan hanya pada melodi, malah lirik yang kena dengan situasi semasa mengenai hubungan anak muda.
Apabila ditanya soal hubungan cintanya sendiri, gadis peramah ini tampak malu-malu, seterusnya membiarkan persoalan berlalu tanpa sebarang kepastian.
Sebagai gadis yang baru mengenal hidup selain masih merangkak mencari ruang di arena muzik, bagi saya soal hati biarlah diletak ke tepi dulu bagi mengelakkan masyarakat bosan hanya diulit cerita cinta.
Cinta tidak perlu dicari kerana ia datang sendiri dan jika suatu masa nanti sampai jodoh, tentu saya tidak akan teragak-agak berkongsi khabar gembira ini dengan semua, ungkapnya penuh bermakna.
Pernah dikaitkan dengan seorang lagi penyanyi baru, bagi Ana, mentornya, Aidit Alfian selalu mengingatkan tidak perlu gelabah mendengar gosip diri malah anggap ia sebagai usikan manja.
Bijak, berwawasan
MENYINGKAP pembabitannya dalam muzik, Ana mendedahkan betapa dia bermula di pentas gig dan memuat turun rakaman persembahan di dalam laman sesawang YouTube kira-kira dua tahun lalu.
Tanpa disedari, antara yang mengikuti paparan itu ialah Aidit, yang terus menghubunginya dan menyatakan hasrat membawa dirinya ke arus muzik perdana yang dimulakan menerusi single pertama, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.
Selepas memantapkan tapak bersama dua single, akhirnya album sulung direalisasikan dengan enam lagu iaitu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.
Misi gadis berjiwa besar ini juga cukup meluas malah menerusi syarikat penerbitan sendiri, Ana Raffali Enterprise, dia memiliki hak terhadap penerbitan lagu ciptaan sendiri, sesuatu yang kebiasaannya jarang difikirkan bakat baru lain.
Impian beraksi di pentas antarabangsa, Istana Budaya juga bakal direalisasikan pada 19 Disember ini bersama teman seperjuangan Monoloque, dua bakat muda itu sedang rancak mengatur perancangan supaya kemunculan mereka nanti dalam sebuah konsert akustik tidak menghampakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: