SAKIT...suspek ditemui terbaring ketika ditahan. Gambar kecil, pergelangan tangan yang ditemui di lokasi kejadian.
JERTIH: Seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pengkalan Gaduh, dekat sini, mungkin tidak sedar dia tertinggal pergelangan tangan kirinya selepas ditetak pemilik rumah berkenaan sebaik menyedari kediamannya diceroboh, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku selepas pemilik rumah yang juga penternak ikan dalam sangkar itu berang sebaik melihat seorang lelaki sedang mengumpil tingkap rumahnya sejurus terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi pelik.
Menceritakan kejadian berkenaan, penternak yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia tidur bersama enam ahli keluarga lain sebelum terjaga kira-kira jam 3 pagi.
“Kerana mengesyaki sesuatu, saya terus mengambil parang dan keluar melalui pintu utama sebelum melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu rumah dan saya terus melibaskan parang.“Dia yang menyedari kehadiran saya memusingkan badan ke arah saya menyebabkan libasan itu terkena pergelangan tangan kiri dan ketika terkena libasan, lelaki berkenaan langsung tidak menjerit sebaliknya terus melarikan diri,” katanya.
Katanya, dia melihat pergelangan tangan mangsa jatuh di halaman rumah dan mengesyaki lelaki itu tidak menyedarinya kerana panik dengan kehadirannya.
“Dia mungkin panik untuk menyedari pergelangan tangannya putus,” kata pemilik rumah itu yang membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi di Balai Polis Kampung Raja, di sini.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan memeriksa kawasan sekitar serta menemui pergelangan tangan suspek lalu dihantar ke Hospital Besut (HB) pada jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Che Zakaria berkata, gerakan mengesan suspek dilakukan berdasarkan bukti dan gambaran diperoleh dari mangsa sebelum serbuan dilakukan di sebuah chalet berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi.
“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota polis menyerbu kawasan terbabit sebelum mereka terdengar tangisan seorang wanita di chalet itu dan menemui suspek terbaring dengan tangannya ditutup dengan bantal,” katanya.
“Selepas diperiksa, kami mendapati lelaki berusia 29 tahun dari Kampung Bintang, Permaisuri, Setiu itu tidak mempunyai pergelangan tangan menyebabkan kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Wanita yang ditahan bersama suspek berusia 15 tahun dan berasal dari Kampung Cerang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, mendakwa dirinya isteri suspek berkenaan.
Selepas ditahan, suspek yang mengalami pendarahan teruk akibat terkena tetakan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangan untuk penyambungan semula.
Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati suspek bersama teman wanitanya baru menyewa di chalet itu dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini dan siasatan lanjut akan dijalankan sejurus dia selesai menjalani rawatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: