Wednesday, December 8, 2010

Rumah haram di tapak sampah

KOTOR...penempatan haram warga asing di kawasan pelupusan sampah Wira Damai, Batu Caves.
KOTOR...penempatan haram warga asing di kawasan pelupusan sampah Wira Damai, Batu Caves.
DEGIL...lori yang mengangkut sampah di kawasan pelupusan terbabit.
DEGIL...lori yang mengangkut sampah di kawasan pelupusan terbabit.

SELAYANG: Rumah haram bertapak di pelupusan sampah haram. Perkataan itu sesuai untuk menggambarkan kegiatan satu sindiket didalangi warga tempatan dipercayai menggaji pendatang asing tanpa izin untuk bekerja di tapak pembuangan sampah haram di Wira Damai, Batu Caves, di sini, selain menjadikan kawasan itu sebagai tempat tinggal warga asing terbabit.

Sindiket yang dikenali sebagai Geng Mat Juta bersama tiga rakannya dikesan beroperasi di kawasan pembuangan sampah berkenaan sejak dua tahun lalu, licik memperdaya pihak berkuasa dengan menjadikan tempat terlindung itu sebagai penempatan haram untuk pekerja terbabit.


Menurut sumber, terdapat kira-kira 40 pendatang tanpa izin tinggal di situ dengan dikawal pihak tertentu dipercayai pekerja sindiket terbabit yang memantau pergerakan lori serta kenderaan keluar dan masuk ke kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Katanya, semua pendatang yang bekerja di situ tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan bekerja di situ atas arahan ketua sindiket yang mengawal laluan masuk ke kawasan terbabit bagi mengelak diserbu pihak berkuasa. Difahamkan, kawasan pembuangan sampah haram itu sudah ditutup Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan tinjauan Harian Metro mendapati terdapat notis larangan pembuangan sampah di laluan masuk kawasan berkenaan.


Bagaimanapun, terdapat beberapa lori yang keluar dan masuk ke tapak pelupusan berkenaan untuk membuang sampah dan tidak mempedulikan larangan MPS.


Sumber berkata, tempat tinggal itu juga dijadikan sarang maksiat kerana ‘pemilik’ tapak berkenaan sering membawa teman wanita yang juga warga asing ke situ sehingga ada yang mengandung dan melahirkan anak.“Selain mengurus sampah, sindiket terbabit mengupah pekerja asing untuk memelihara lembu di kandang yang dibina bersebelahan kawasan itu. Mereka menjadikan kawasan itu seperti tanah mereka dengan bertindak sesuka hati tanpa bimbang tindakan undang-undang kerana dilindungi pihak tertentu,” katanya.


Menurutnya, penduduk di kawasan itu tidak berani mengadu kepada pihak berkuasa kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Penguatkuasa Imigresen Selangor, Johari Supardi, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kehadiran pendatang asing di kawasan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: