PERIKSA...Shamsuddin (kanan) bersama pegawainya memeriksa bas yang disita, semalam.
KUALA LUMPUR: Enam bas milik sebuah syarikat pengangkutan popular di Lembah Klang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi khas di sekitar ibu kota kerana tiada permit, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shamsuddin Sulaiman, berkata tindakan sita terhadap bas terbabit kali pertama dibuat tahun ini.
“Dengan 22 anggota, kami (JPJ) memberikan tumpuan kepada pemandu dan pengusaha bas terbabit sahaja berdasarkan banyak aduan awam berkaitan operasi dan perjalanan bas itu yang gagal mematuhi arahan.
“Kami juga melakukan risikan selama beberapa hari sebelum operasi ini diadakan,” katanya ketika ditemui.
Harian Metro difahamkan JPJ menyasarkan beberapa lokasi termasuk Jalan Tun Tan Cheng Lock, Pasar Seni dan Jalan Petaling yang dikesan menjadi laluan utama bas terbabit.
Shamsuddin berkata, dalam operasi bermula kira-kira jam 10 pagi itu, sebanyak 45 bas milik syarikat terbabit diperiksa.“Enam bas disita berikutan gagal mempamerkan permit manakala 25 saman lagi dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan termasuk lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen konduktor, halangan lalu lintas dan beberapa kesalahan lain,” katanya.
Operasi khas yang menyasarkan bas antara bandar atau henti-henti itu disertai agensi lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: