Saturday, December 11, 2010

Seruan mendalami punca strok


PENGARAH Urusan Boehringer Ingelheim, Cheong Yee Kok (kanan) bersama Razali dan Hamidon (kiri) sewaktu pelancaran Kempen 1Misi 1juta - Memahami Punca Strok di Kuala Lumpur.


SERAMAI tiga juta orang di seluruh dunia mengalami strok berkaitan pemfibrilan atrium (AF) setiap tahun iaitu bersamaan dengan seorang setiap saat.

Seorang daripada empat orang berusia 40 tahun dan ke atas mengalami AF sepanjang hayat mereka sekali gus menjadikan AF sebagai keabnormalan rentak jantung paling umum.

Peka dengan senario tersebut, salah sebuah syarikat farmaseutikal utama dunia, Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Majlis Strok Malaysia dan Persatuan Neurosains Malaysia melancarkan Kempen 1Misi 1Juta - Mendalami Punca Strok baru-baru ini.

Kempen tersebut bertujuan mencegah strok akibat AF. Ia merupakan sebahagian daripada usaha sedunia bagi mencegah satu juta strok berkaitan AF dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenainya.

"AF menyebabkan jantung berdegup kencang secara tidak sekata dan seringkali terjadi pada denyutan jantung yang terlalu pantas atau terlalu perlahan.

"Penghidap AF berhadapan dengan risiko lima kali ganda menghidap strok daripada mereka yang tidak mengalaminya," kata Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Majlis Strok Malaysia, Dr. Razali Omar.

Tambahnya, strok berkaitan AF adalah lebih serius kerana menyebabkan kehilangan upaya lebih besar berbanding strok bukan disebabkan AF.

Dalam pada itu, Pakar Runding Neurologi dan Presiden Majlis Neurosains Malaysia, Dr. Hamidon Basri memberitahu ramai orang tidak sedar tentang peningkatan risiko strok dan kesannya.

"Dengan komitmen kepada pendidikan dan pembiayaan projek berasaskan masyarakat, 1Misi 1Juta itu mampu melakukan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat bagi mereka yang menghidap AF.

Kempen tersebut disokong organisasi pakar kesihatan utama termasuk Persekutuan Jantung Sedunia, Persatuan Pemfibrilan Atrium, AntiKoagulasi Eropah, Pakatan Strok untuk Eropah yang ditaja oleh Boehringer Ingelheim.

Kempen itu juga menggalakkan lebih banyak projek berkaitan AF dianjurkan oleh profesional dan orang ramai.

Sebanyak 32 projek akan dipilih untuk menerima pembiayaan dana berjumlah lebih RM4 juta.

Profesional penjagaan kesihatan boleh mendaftar di laman web 1Mission 1Million di www.heartofstroke.com untuk mendapatkan bahan pendidikan bagi menyokong usaha projek mereka.

Idea projek boleh dihantar dalam talian sehingga 31 Disember 2010. Permohonan akan dinilai berdasarkan kriteria penyertaan kempen oleh panel pakar yang dianggotai oleh pakar kardiologi dan pemimpin kumpulan pesakit dalam bidang AF.

Projek yang terpilih akan dipaparkan di www.heartofstroke.com dan akan diundi oleh orang ramai.

Pengundian akan ditutup pada Jun 2011. Projek yang menerima undian paling tinggi akan diberi dana untuk melaksanakan projek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: