Friday, December 3, 2010

Saman RM1 juta, Ning harap penyelesaian baik

“Saya harap perkara ini tidak sampai ke mahkamah dan biarlah ia berakhir segera,” ujar Ning Baizura berhubung kes saman RM1 juta oleh penerbit album dan pengurus warga Itali, Luigi Bajona.

Luigi yang pernah menguruskan beberapa persembahan Ning di Itali, termasuk menyanyi di hadapan Prince Albert di Paris, mendakwa penyanyi itu memfitnahnya pada 24 Januari 2009 melalui laman sosial Facebook.

Difahamkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 12 Oktober lalu untuk pengurusan kes saman terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Ning, sehingga hari ini, kes itu belum mencapai sebarang keputusan untuk tindakan seterusnya.

“Kes ini masih diteruskan, tapi belum ada tarikh perbicaraan kerana menurut peguam saya, kes ini tidak relevan, dan tak tahu dia (Luigi) nak saman atas dasar apa. Kalau dia kata saya fitnah dia menerusi Facebook, itu tidak benar kerana tak ada bukti pun saya mengata dia. Malah saya tak pernah tulis nama dia pun.

“Sebenarnya, dia nak saman malu ke atas saya kerana album East to the West (2007) yang diterbitkannya itu tak berjaya dan dia menyalahkan saya atas semua ini. Pada dia, saya telah banyak merugikannya.

“Tetapi berdasarkan kontrak, itu adalah tanggunjawabnya sebagai penerbit untuk menguruskan karier seni saya. Dan tidak ada lagi undang-undang yang boleh menyalahkan artis sekiranya mereka rugi,” cerita Ning tanpa berselindung.

Jelas Ning, dia ada cuba berbincang dengan Luigi untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah, namun terpaksa dilupakan setelah Luigi memintanya memohon maaf secara terbuka.

“Dia suruh saya minta maaf dan siarkan pada media dan juga Facebook saya, tetapi saya rasa itu melampau kerana saya tidak bersalah. Sekiranya saya memohon maaf, itu jelas menunjukkan saya bersalah.

“Apa yang saya tahu, dia sebenarnya dah lama nak saman saya. Sebelum ini, dia pernah nak saman saya bersama syarikat Ning Associates, tetapi setelah berbincang dengan peguam saya, dia tak jadi nak saman. Sekarang, dia nak saman saya secara personal pula,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu 'Teguh' dan 'Ke Sayup Bintang'.

Isteri kepada jejaka Inggeris, Omar Sharif Christopher Layton Dalton ini juga tidak menafikan turut merasai kesan dari saman itu dan berasa khuatir sekiranya ia akan menjejaskan periuk nasinya sebagai artis.

“Buat masa ini, karier saya masih berjalan dengan baik. Tetapi saya rasa risau juga sekiranya nanti ia akan mempengaruhi orang lain untuk tidak bekerjasama dengan saya. Tapi saya percaya, masyarakat pandai menilainya,” kata Ning yang ditemui ketika pelancaran album sulung anak didiknya, Nubhan, di sebuah kelab di ibu kota, kelmarin.



Sayangkan Nubhan

Menyentuh tentang Nubhan, Ning berkata, dia tetap akan menyokong dan membantu Nubhan walaupun pihak pengurusan Artisted United Record (AUR) sudah bertukar tangan.

“Saya sayangkan Nubhan dan saya anggap dia seperti adik sendiri. Sejak awal kemunculannya dulu, saya percaya dengan bakat dia. Saya percaya, Nubhan boleh berjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: