CERIA... Kamsiah yang bersanding tanpa suami bergambar kenangan bersama ibu bapanya.
MASJID TANAH: Biarpun bersanding sendirian di atas pelamin berikutan suaminya masih terlantar di Wad Orthopedik Hospital Melaka akibat patah kedua-dua kaki dalam kemalangan Isnin lalu, pengantin baru, Kamsiah Abd Majid, 21, tetap ceria.
Baginya, biarpun terasa sedikit kekok, majlis persandingan diadakan di rumahnya di Kampung Tanjung Bidara, dekat sini, diteruskan sebagai memenuhi hasrat ibu bapanya dan ahli keluarga yang ingin meraikan perkahwinannya.
“Semalam dan hari ini (semalam) adalah hari yang membahagiakan saya apabila disatukan dengan suami tercinta (Asmani Aziz, 32).
“Biarpun majlis pernikahan kami terpaksa diadakan di wad, yang penting semua urusan berjalan lancar dan kami seolah-olah pasangan pengantin popular apabila mendapat liputan meluas media.“Mulanya, tadi saya rasa janggal juga apabila bersanding seorang diri di atas pelamin. Mungkin jika ada suami bersama di sisi pasti suasana lebih indah, namun saya bersyukur kerana mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
“Umum juga mengetahui suami saya kemalangan di Simpang Taman Seri Jeram, Isnin lalu, biarpun ada yang bertanya kerana berasa pelik melihat pengantin lelaki tiada,” katanya ketika ditemui.
Kamsiah berkata, perasaannya bercampur gembira dan terharu sepanjang majlis itu sambil melayan kerenah ahli keluarga dan kenalan yang mahu merakam gambar kenangan.
“Saya tak terkata, sedih, terharu, gembira bercampur baur tapi saya bersyukur impian saya untuk membina mahligai bersama suami sudah terlaksana, cuma bezanya suami saya tiada di sisi buat sementara waktu dan saya berharap dia segera sembuh.
“Tadi, suami hubungi saya mengatakan dia terharu dengan sambutan diberi sempena majlis persandingan ini tapi dia bersedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan saya, tetapi yang penting kami sah menjadi suami isteri.
“Selepas ini, saya akan jaga suami di wad sehingga sembuh dan dibenarkan keluar, tetapi tarikhnya belum tahu. Kami tak merancang apa-apa untuk berbulan madu memandangkan keadaan kesihatan suami.
“Kepada pihak media saya rakamkan berbanyak terima kasih kerana memberi ruang kepada kami menerangkan kedudukan sebenar, terutama saudara mara dan rakan yang datang dari jauh,” katanya.
Sementara itu ibu saudaranya, Asiah Mohamad, 41, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, pada mulanya dia terkejut selepas mengetahui anak saudaranya bersanding sendirian, namun menerimanya selepas dimaklumkan perkara sebenar.
Dia yang tiba bersama suami dan empat anaknya kira-kira jam 3 pagi semalam berkata, dia tidak menyangka anak saudaranya terpaksa bersanding sendirian.
“Sampai saja di sini saya terperanjat apabila diberitahu kakak ipar saya (ibu Kamsiah) bahawa anak saudara saya bersanding seorang kerana suami terlantar di dalam wad akibat kemalangan seminggu sebelum majlis pernikahan.
“Saya harap Kamsiah bersabar dengan dugaan ini kerana ini masih di peringkat awal, sedangkan perjalanan mengharungi alam perkahwinan masih panjang dan perlu ditempuh pasangan suami isteri tanpa berbelah bagi.
“Apa boleh buat, tapi saya bersyukur anak saudara saya masih bersuami dan bukan tidak bersuami, cuma hari ini (semalam) dianggap sejarah yang tidak mungkin dapat kami lupakan selama-lamanya,” katanya semalam.
Sementara itu, ibu Kamsiah, Saadiah Katap, 49, dan suaminya, Abd Majid Ali, 55, bersyukur majlis kenduri itu dan persandingan tetap meriah dan lancar.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, cuma terasa kurang bila pihak lelaki datang tanpa menantu saya yang masih ditahan di wad akibat kecederaan dialami, namun saya terharu dengan penerimaan mereka yang hadir.
“Tetamu yang datang ada yang tahu, ada yang tak tahu kedudukan sebenar tapi setelah juruacara menerangkan keadaan sebenar baru mereka faham apa yang berlaku sebenarnya,” katanya ketika ditemui petang semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: