![]() |
| Lampu mengundur terletak dibawah bamper. |
MENGERTI sepenuhnya permintaan pasaran, Edaran Tan Chong Motors sebagai pemegang francais kereta Nissan, memperkenalkan versi pacuan dua roda untuk model Nissan X-Trail yang diimport sepenuhnya (CBU).
SUV bersaiz sederhana ini menawarkan inovasi praktikal yang mendahului kelasnya bersama penambahbaikan serta penjimatan minyak yang mengagumkan.
X-Trail serba baru mengekalkan imej “rugged” dengan gaya fungsional dan diperkemaskan dengan penampilan yang lebih besar. Kenderaan ini lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding model sebelumnya dan setiap panel tubuhnya yang baru diserlahkan menerusi elemen-elemen yang menggambarkan perwatakan “X”.
Ia boleh dilihat pada jeriji yang diletakkan pada kedudukan baru, reka bentuk tiang D dan penekan pintu belakang. Bentuk hudnya pula membolehkan pandangan yang jelas ke bahagian sisi kenderaan.
Lampu belakang yang berkedudukan menegak memiliki reka bentuk lampu tiga dimensi yang menarik perhatian. Rim aloi lima jejari bersaiz 16 inci dengan tayar 215/65 R16 menyempurnakan lagi penampilan estetiknya.
X-Trail serba baru ini diperkasakan oleh enjin aluminium sepenuhnya empat silinder MR20DE 2.0-liter (102kW/139ps @ 5200rpm; 198Nm @ 4400rpm), dipadankan bersama transmisi generasi terkini Nissan, XTRONIC CVT (Continuously Variable Transmission) dan mod penukaran gear secara manual enam kelajuan.
Enjin yang menggerakkan roda hadapan ini menawarkan prestasi responsif dan lancar selain mengekalkan penjimatan bahan api yang menakjubkan (pada kadar 14km/l menggunakan mod 10-15 di Jepun).
Ruang dalaman X-Trail menawarkan kualiti buatan lebih tinggi bersama fungsi yang dipertingkatkan. Lapisan lembut pada papan pemuka, konsol rehat tangan di bahagian pintu dan panel, serta konsol tengah memberikan pengalaman selesa dan mewah.
X-Trail juga hadir dengan ciri-ciri kenderaan mewah seperti tempat duduk hadapan berkuasa (boleh laras 6 cara bagi tempat duduk pemandu, 4 cara untuk penumpang hadapan), corong pendingin hawa di bahagian hadapan dan belakang, pemegang botol air dengan fungsi penyejuk bagi memastikan setiap penumpang selesa sepanjang perjalanan.
Paparan Informasi Pelbagai (MID) yang baru kini memaparkan anggaran penggunaan bahan api, anggaran jarak berdasarkan kepada tahap petrol, waktu di atas jalan, dua meter perjalanan dan maklumat suhu.
X-Trail serba baru mengekalkan ruang kargo belakang dengan papan bagasi boleh dialih dan dibersihkan, yang selama ini diterima baik oleh pemilik X-Trail sedia ada.
Di bawahnya pula terletak satu laci meletak barang bersama bilah-bilah boleh laras bagi membolehkan barang-barang kecil dapat disimpan dengan kemas. Malah, kapasiti ruang bagasi boleh ditambah daripada 479 liter (VDA) dalam mod dua tingkat kepada 603 liter (VDA) dalam mod setingkat apabila laci dan bekas di bahagian bawah dikeluarkan. Manakala kerusi belakang 40/60 boleh dilipat rata bagi menambah lebih ruang bagasi.
Nissan X-Trail yang dilancarkan pada Julai lalu, ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans RM149,500. Tempoh jaminannya untuk ialah selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 km (yang mana dulu).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: