![]() |
| UJIAN simulasi pemanduan dilakukan untuk menetapkan kesesuaian bagi setiap kenderaan mengikut negara ia dipasarkan. |
PENARIKAN semula berjuta-juta kenderaan Toyota di seluruh dunia berikutan masalah pedal minyak yang menyebabkan pecutan secara mengejut pada awal tahun ini memberi tamparan hebat kepada Toyota.
Meskipun arahan penarikan balik turut membabitkan beberapa model keluaran jenama lain (tidak lama selepas itu), imej Toyota sebagai pengeluar kenderaan nombor satu di dunia turut tercalar.
Namun apa yang berlaku selepas itu agak mengejutkan. Kepantasan dan kecekapan tindak balas Toyota dalam menguruskan konflik dan melakukan pembaikan semula mula dilihat sebagai satu rahmat dan bukannya kesilapan semata-mata.
Sekurang-kurangnya apa yang berlaku turut memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan di seluruh dunia terhadap pentingnya sebuah kenderaan yang selamat. Bagi Toyota, kepercayaan yang diberikan oleh pengguna adalah sesuatu yang tidak boleh disia-siakan.
Itulah rumusan yang bermain di fikiran penulis semasa mengikuti lawatan ke Toyota City yang turut disertai media dari Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan Vietnam. Lawatan atas jemputan konglomerat terbesar Jepun itu adalah untuk memberi peluang kepada kami menilai piawaian keselamatan dalam penghasilan setiap jentera yang dihasilkan.
Pengarah Besar Bahagian Kualiti Toyota Motor Corporation, Shinji Miyamoto yang ditemui pada lawatan itu dengan ringkas menyimpulkan apa yang dilihat kami (piawaian keselamatan) seperti roti sandwich.
“Ia seperti membandingkan sandwich yang dibeli di kedai dengan yang dibuat oleh ibu sendiri. Pastinya lebih selamat untuk memakan sandwich ibu berbanding yang dibeli di kedai.
“Kepercayaan dan perasaan selamat seperti itulah yang menjadi sasaran Toyota untuk diberikan kepada setiap pelanggan,” ujarnya.
Beliau berkata, untuk mendapatkan tahap kepercayaan itu pelbagai peringkat saringan perlu dilepasi dalam penghasilan setiap unit seperti penyelidikan, ujian dan pemantauan terhadap prosedur yang ditetapkan.
pelbagai peringkat ujian
Sebahagian daripada ujian yang disaksikan di Ibu Pejabat Toyota di Nagoya, baru-baru ini adalah ujian kelepasan banjir yang dilakukan dengan menggunakan kereta Majesta (model Jepun) dan sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV).
Bagi memastikan kenderaan boleh dipandu dan kekal dalam selamat walaupun ditenggelami paras air yang tinggi, kenderaan Toyota kini memanfaatkan teknologi sedutan udara di bahagian atas dan snorkel di bahagian sisi.
Menurut salah seorang juruteknik di situ, ujian yang melalui beberapa paras kedalaman juga membuktikan betapa berguna teknologi yang digunapakai oleh Toyota untuk kegunaan kenderaan di negara-negara Asia Tenggara yang sering mengalami masalah banjir.
Ujian seterusnya adalah ujian kesesuaian gelombang elektromagnet (EMC) yang merupakan perkara penting perlu dilepasi setiap model bagi memenuhi pelbagai jenis piawaian antarabangsa seperti CISPR, SAE, ICNIRP, ISO dan tidak ketinggalan adalah piawaian Toyota sendiri.
Di dalam lapan buah dewan ujian EMC yang dibangunkan sejak 1979 dan terbaru dibina pada tahun lalu, ujian dijalankan dengan tujuan memastikan kenderaan berfungsi dengan baik di bawah medan elektromagnet dan tidak mengeluarkan gangguan elektromagnet kepada alam sekitar.
Selain keprihatinan pada alam semula jadi, setiap daripada model turut diuji bagi memastikan segala pemasangan komponen dan penyelarasannya sesuai di negara ia dipasarkan.
Dengan menggunakan kelengkapan simulasi ketahanan, pemanduan di negara tertentu dinilai dan dikaji sepenuhnya menggunakan data yang diperoleh dari negara berkenaan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi itu, keperluan pada kenderaan akan ditentukan semula bagi menjamin ketahanan dan keselesaan pemanduan. Misalnya dua penyelarasan sistem suspensi yang berbeza diperlukan untuk negara yang nyata berbeza seperti Amerika Syarikat dan Asia Barat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: