Wednesday, December 15, 2010

Mualaf tercalon Anugerah Skrin




Meskipun karya terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad, Mualaf, tidak mendapat tempat di Festival Filem Malaysia (FFM23) tempoh hari, namun ia berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 54.

Malah kehebatan Mualaf terus diangkat apabila dicalonkan dalam kategori filem di Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010), yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 24 Disember ini.

Selain Mualaf, Pisau Cukur, Evolusi KL Drift, Adnan Sempit, Kecoh Betul, Papadom, Lagenda Budak Setan, Momok The Movie, Setem dan Belukar turut dicalon dalam kategori filem.

Ternyata penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam filem Mualaf bukan penghalang filem ini bertanding anugerah berprestij di negara sendiri. Dan siapa tahu, Mualaf akan mengungguli kategori filem ASK 2010.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, turut mengumumkan, Anugerah Yasmin Ahmad, dikekalkan dan dipertaruh kategori Anugerah Khas Juri.

“Nama anugerah itu sempena menghargai jasa arwah Yasmin dalam sumbangannya menghasilkan konsep filem berkualiti dan memperkenalkan bakat baru dalam filem terbitannya.

“Justeru itu trofi ini akan dianugerah kepada bakat baru berpotensi pergi lebih jauh dalam industri tanah air,” katanya.

Dengan tema ‘Glam and Classy’, malam gilang-gemilang ASK 2010 bakal memperlihatkan 24 kategori dipertandingkan meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.

Ia membabitkan 10 kategori drama termasuklah Anugerah Videografi Terbaik yang baru diperkenalkan tahun lalu. Manakala, jumlah kategori filem dipertandingkan kekal dengan tujuh kategori dan enam kategori untuk penerbitan dalaman.

Calon layak bertanding pula terdiri terbitan ditayangkan di kaca TV dan pawagam bermula 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010 selain pencalonan drama berdasarkan jumlah penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: