KEJAYAAN penganjuran tahun lalu menjadi azimat buat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le Tour de Langkawi (LTdL) Mohamed Salleh untuk memberi persembahan lebih baik pada siri perlumbaan edisi ke-16, perlumbaan berbasikal terulung di Asia ini yang akan membuka tirai pada 23 Januari hingga 1 Februari tahun depan.
Menurut Mohamed, dia berasa sangat gembira dan teruja bukan sahaja kerana perlantikannya sebagai CEO untuk kali kedua berturut-turut, tetapi lebih penting ialah perlumbaan ini akan dimulakan di Langkawi selepas mengambil pandangan Tun Dr.
Mahathir Mohamad untuk mengembalikan nostalgia perlumbaan itu kembali ke pulau legenda Mahsuri itu.
“Pada tahun pertama saya mengambil alih jawatan ini, ramai yang tidak percaya bahawa saya boleh melakukan kerja ini.
Namun dengan sokongan serta kerjasama semua pihak, saya berjaya menghadapinya dengan baik. Mungkin ada kelemahan-kelemahan yang timbul pada tahun pertama semasa memegang jawatan ini, namun dengan sokongan pasukan saya, kami berganding bahu membaiki dan akan melakukan yang lebih baik tahun depan.
Mohamed menunjukkan laluan perlumbaan LTdL 2011 yang bakal bermula 23 Januari depan.“Pada edisi 2010, saya sangat bersyukur kerana perlumbaan itu bukan sahaja berjaya melihat pelumba tempatan menjadi pelumba terbaik peringkat Asia (Anuar Manan), malah pihak penganjur turut mendapat sijil pengiktirafan daripada Kejohanan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Inilah pertama kali negara kita mendapat pengiktirafan sepanjang perlumbaan dimulakan pada tahun 1996,” katanya kepada Mingguan mStar.
Sementara itu, Mohamed yang pernah bertugas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebagai Setiausaha Bahagian Industri Sukan berkata, penglibatannya dalam sukan berbasikal ini bukanlah baru, malah sebelum ini dia turut mengikut perkembangan sukan ini dari jauh.
“Sebelum memegang jawatan ini saya memang mengikut perkembangan sukan berbasikal kerana ia merupakan salah satu acara sukan kegemaran saya. Malah setiap minggu saya menghabiskan masa riadah saya dengan berbasikal bersama kawan-kawan.
“Bagi saya LTdL ini bukanlah fokus kepada perlumbaan semata-mata kerana pada dasarnya ia adalah satu acara yang boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memandangkan ia melibatkan pelancongan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan tahun 2011 sebagai Tahun Industri Sukan Negara amatlah bertepatan dengan LTdL.
“Oleh itu, LTdL tidak harus dilihat sebagai satu sukan perlumbaan basikal sahaja, kita perlu menerima hakikat bahawa ia satu industri sukan yang memberi faedah bersama,” katanya.
Ketika ditanya mengenai rahsia kecemerlangan kerja sepanjang memegang jawatan ini, Mohamed berkata, dia adalah seorang yang tegas dan akan cuba melakukan sesuatu tugas dengan sempurna.
“Ilmu ketenteraan yang pernah saya belajar ketika berada di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1971-72 turut membantu saya dalam mengendalikan sesuatu tugas besar. Saya tahu untuk menjadi sempurna, bukan mudah, tetapi yakin sesuatu itu akan berjaya sekiranya kita bekerja dengan ikhlas.
“Selain itu, untuk menjadi terbaik kita perlukan hubungan baik dengan semua pihak, dan paling penting jangan cepat melatah. Bagi saya mudah sahaja, jika saya ada buat silap, tegur dan ajar saya. Namun sehingga kini, saya gembira kerana dikelilingi orang-orang yang selalu membantu dan menyokong saya,” katanya.
Mengenai persiapan perlumbaan, pemegang Sarjana Sastera Sains Politik ini berkata, sehingga ini persiapan berjalan lancar menjelang perlumbaan lebih kurang sebulan lagi.
“Saya gembira semuanya berjalan lancar dan berterima kasih kepada negeri-negeri yang terlibat sepanjang perlumbaan ini. Kerjasama SUK setiap negeri dengan pihak sekretariat amat baik. Saya percaya negeri-negeri yang terlibat ini mempunyai kelebihan masing-masing.
“Selain melihat setiap pasukan merentasi negeri-negeri yang terpilih, dalam masa sama ia mampu mempromosikan tempat itu sendiri sekali gus mampu menarik pelancong untuk datang ke negeri itu. Contoh terdekat Perak akan menganjurkan Tahun Melawat Perak 2012, dan inilah masanya kita turut membantu mempromosikan negeri itu. Di sinilah kita dapat lihat kerjasama erat dengan semua pihak,” katanya.
Selain itu Mohamed berkata, perlumbaan tahun depan bakal menyaksikan banyak pasukan hebat dunia yang dijangka hadir menyahut cabaran dan pastinya saingan semakin sengit kerana perlumbaan telah ditambah kepada 10 peringkat berbanding tujuh sebelum ini.
“Saya yakin dengan kehadiran pasukan-pasukan terbaik dunia, perlumbaan ini akan lebih menarik, dalam masa sama ia mampu memberi ujian sengit kepada pelumba kita. Saya harap pelumba-pelumba kita mampu berada dalam kelompok terbaik kedudukan pelumba.
“Dengan sokongan penuh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga saya bertambah yakin pelumba-pelumba negara akan mempamerkan aksi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: