Pilihan sofa dari rona merah dan kelabu berjaya menimbulkan kelainan kepada ruang tamu pemilik. GOLONGAN lelaki sering kali dikaitkan dengan tidak pandai menguruskan diri dan sentiasa mengambil sikap lepas tangan apatah lagi dalam bab-bab menghias rumah.
Bagaimanapun, perkembangan dunia hari ini telah banyak merubah pandangan skeptikal masyarakat mengenai perkara itu dan rata-rata lelaki pada hari ini telah mula menitikberatkan dekorasi rumah terutama bagi golongan bujang.
Ini terbukti apabila kunjungan Mingguan mStar ke rumah bekas atlet olahraga kebangsaaan, Mohd Zafril Mohd Zuslaini baru-baru ini memadamkan pemikiran skeptikal masyarakat itu.
Manakan tidak, melangkah masuk ke apartmen milik jejaka berusia 25 tahun ini ternyata berjaya memukau penulis dengan kekemasan dan dekorasi kediamannya.
Rak dapur dari rona cokelat menaikkan seri ruang dapur selain menimbulkan suasana antik.“Pada dasarnya, rumah ini mendapat sentuhan arwah ibu saya dan banyak memori bersamanya di rumah ini.
"Sedaya upaya saya cuba mengekalkan dekorasi yang telah dilakukan supaya nostalgia bersamanya kekal bersama saya,” katanya memulakan perbualan.
Rona hijau gelap sebagai warna dinding dan pilihan perabot kayu menyerlahkan suasana suram yang dimahukan.Mohd Zafril berkata, tiada sebarang konsep khusus mengenai rumahnya tetapi dia lebih menekankan keselesaan dan elemen peribadi dalam hiasan rumahnya.
“Rumah adalah ruang peribadi saya, di sini adalah tempat untuk saya ‘bersembunyi’ dan mencari ketenangan,” katanya yang turut mengundang rakan-rakan ke rumahnya pada waktu lapang.
Menyusuri kediaman tiga bilik yang terletak di Taman Tun Dr Ismail itu, Mohd Zafril nyata memberikan tumpuan kepada dekorasi ruang tamu rumahnya memandangkan kegemarannya menonton televisyen.
“Saya boleh duduk di ruang tamu berjam-jam lamanya untuk menonton televisyen sebab itu saya memberikan penekanan pada hiasan di ruang ini,” katanya.
Di sudut itu juga turut diletakkan sebuah rak bagi menempatkan semua pingat yang pernah dimenanginya semasa aktif sebagai ahli sukan dan paling istimewa gambar arwah ibunya sebagai tanda cinta dan ingatan.
Mohd Zafril bersama pingat yang pernah dimenanginya semasa aktif sebagai atlet sukan.Tambah menarik apabila sebuah bilik kecil bercermin yang pada asalnya sebuah balkoni dijadikan tempat untuknya mengulang kaji pelajaran dan menghabiskan masa ketika bosan.
“Bilik ini antara kegemaran saya kerana selain mengulangkaji pelajaran saya banyak menghabiskan masa di sini untuk bermain gitar dan membaca buku kegemaran saya,” katanya yang masih menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Komunikasi Korporat.
Sementara itu, ketika meninjau kamar tidur miliknya, Mohd Zafril memberitahu dia sukakan suasana suram di dalam biliknya dan mengekalkan konsep ringkas pada dekorasinya.
Memilih rona hijau gelap sebagai warna dinding dan pilihan perabot kayu menyerlahkan suasana suram yang dimahukan.
Namun, bagi mengimbangi konsep tersebut, Mohd Zafril memilih langsir daripada warna krim dengan corak berbunga-bunga sedondon dengan cadar katilnya dari rona sama.
Sejujurnya, bagi rumah seorang lelaki bujang dekorasi yang dipamerkan cukup mengagumkan dan menyerlahkan personaliti jejaka berasal daripada Kemaman, Terengganu ini.
“Apa yang saya perlukan kini adalah seorang suri rumah,” katanya berjenaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: