APABILA Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Teknologi Hijau sebagai antara pemacu baru untuk ekonomi negara, Cyberjaya diberi penghormatan sebagai perintis bandar raya hijau.
Ir. Hafidz Hashim, Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd. yang juga pemilik tanah dan pemaju bandar raya siber perdana di Malaysia berkata, selaras dengan status baru itu siri seminar bulanan iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) diperkenal oleh syarikat tersebut.
"IGREET merupakan platform unggul bagi mereka yang berkepentingan untuk berkongsi idea mengenai bagaimana untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur hijau dan ekosistem holistik yang dapat ditawarkan oleh ekosistem Cyberjaya. iGREET juga merupakan peluang yang baik bagi para hadirin menjana peluang perniagaan dalam kalangan pemaju dan penyewa sedia ada di Cyberjaya," katanya.
Seminar-seminar itu yang diadakan di Rumah Kelab Tasik Cyberjaya bertujuan memperkenal pelbagai kemungkinan teknologi hijau kepada para pemaju dan pemegang kepentingan di Cyberjaya.
"Siri iGREET diperkenal bukan sahaja kerana status baru kami sebagai bandar raya hijau perintis seperti yang disampaikan oleh kerajaan, tetapi juga sebagai inisiatif tersendiri untuk memperjuang tanggungjawab ekologi bandar raya siber terkemuka di Malaysia dan hab koridor raya multimedia Malaysia," tambah Hafidz.
Penjimatan tenaga
Seminar iGREET ketiga yang diadakan baru-baru ini, mendedahkan bahawa pihak berkuasa tempatan boleh menjimatkan sehingga RM2.5 juta setiap tahun dalam bil utiliti untuk setiap 300 lampu jalan menggunakan penyelesaian bersepadu pemantauan penggunaan tenaga.
Seorang penceramah jemputan Sumit Goel dari KLG Systel Ltd, rakan teknologi Lucid Energy Sdn. Bhd., menunjukkan bahawa sistem pengurusan pintar tenaga ConnectGaia yang digunakan untuk mengawal lampu jalan di Mumbai, India, telah membantu mengoptimum penggunaan tenaga.
"Pengurusan aktif bekalan tenaga boleh dilakukan dari jauh dan boleh menambah baik dengan signifikan kos infrastruktur kediaman, komersial dan metropolitan. Sebagai contoh, menghidupkan berselang lampu jalan di luar waktu puncak trafik mengurangkan penggunaan tenaga sehingga separuh," kata Goel.
Siri iGREET sebelum itu mendalami topik seperti mengumpulkan air bukan kumbahan dan rawatan serta penggunaannya semula. Selain itu, ia juga menyentuh penyelesaian pencahayaan LED yang cekap dari segi tenaga serta pengurusan bahan buangan organik bagi penyelesaian penjanaan tenaga dan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Sesi ketiga itu juga menampilkan K.C. Low, Naib Presiden Perniagaan IT Schneider Electric bagi Malaysia dan Thailand yang mengadakan demonstrasi sistem pengurusan kecekapan tenaga dan penyejukan di pusat-pusat data.
Beliau menunjukkan pembaziran hingga 50 peratus tenaga di pusat data konvensional dalam menyediakan tenaga dan penyejukan.
Penyelesaian-penyelesaian kini dilaksanakan di Basis Bay, sebuah pembekal khidmat penyumberan luar IT terkemuka dan pusat data di Cyberjaya yang memberi khidmat kepada lebih 300 pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Manfaat jangka panjang
Sementara itu, Augustine Koh dari Green Purchasing Network Malaysia memberi gambaran mengenai Sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand yang inovatif dan sangat berjaya. Ia satu model berpotensi bagi Cyberjaya sebagai bandar raya hijau perintis.
Yuso Yamada dari Yasui Architects and Engineers juga menunjukkan beberapa kemungkinan mengubah suai pelbagai bangunan sedia ada di Cyberjaya untuk mencapai sekurang-kurangnya status Perak GBI.
Para peserta juga melawat tapak Pusat Khidmat Shell, bangunan ulung di Cyberjaya yang menerima sijil Emas Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka bentuk Alam Sekitar (LEED). Satu penyampaian akan reka bentuk dan pembinaan mesra alam disampaikan oleh Jeffery Ling, pengarah firma arkitek - Architects61.
Siri seminar itu menyaksikan minat yang baik daripada kalangan pemegang kepentingan, pemaju dan penyewa di Cyberjaya. Katanya sebagai bandar raya siber yang canggih dari segi inovasi dan teknologi, Cyberjaya dijangka menjadi tuan rumah pembangunan komersial, kediaman, perniagaan dan institusi menggunakan teknologi-teknologi lestari yang boleh memperkukuh sentimen pelabur dan penyewa ke arah empat tonggak Cyberview - menjadi tempat untuk hidup, belajar, bekerja dan bergembira.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: