YEONPYEONG, merupakan antara gugusan pulau-pulau kecil yang berada di wilayah Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning.
Ia dihuni sekitar 1,600 penduduk yang rata-ratanya menjalankan aktiviti menangkap ikan dan bertani. Di samping itu, ia turut menjadi pangkalan tentera yang menempatkan 1,000 tentera Korea Selatan.
Dari sudut geografi, pulau itu hanya seluas lapan kilometer persegi. Ia terletak kira-kira 80 kilometer dari barat Incheon, Korea Selatan dan 12 kilometer dari selatan pantai wilayah Hwanghae, Korea Utara.
Namun, apa yang membuatkan Yeonpyeong begitu istimewa adalah kedudukannya yang terletak hanya dua kilometer dari Nothern Line Limit (Sempadan Had Utara), sebuah zon bebas ketenteraan yang memisahkan perairan di antara kedua-dua negara.
Pemisahan garisan sempadan merupakan antara syarat gencatan senjata yang dimeterai bagi menamatkan konflik hampir empat tahun di Semenanjung Korea pada tahun 1950 hingga 1953.
Biarpun sudah hampir enam dekad, Seoul dan Pyongyang masih belum mencapai persetujuan mengenai sempadan perairan bersama. Bagaimanapun, akibat dendam dan prasangka yang terus membara menyebabkan Korea Utara dilihat lebih agresif mewujudkan provokasi.
Konflik berterusan
Tentera laut kedua-dua negara pernah bertempur di perairan sama pada 1999 dan 2002.
Pada Mac lalu, ketegangan sekali lagi memuncak di rantau berkenaan selepas pasukan penyiasat antarabangsa diketuai tentera Korea Selatan menuduh tentera rejim komunis itu melepaskan torpedo ke arah kapal perang Korea Selatan, Cheonan sehingga karam.
Tragedi yang berlaku berhampiran sempadan Laut Kuning itu mengorbankan 46 anak kapal. Bagaimanapun, Pyongyang menafikan dakwaan itu, lebih-lebih lagi tiada bukti kukuh mengaitkan kehadiran kapal selamnya.
Bagaimanapun, serangan terbaru pada 23 November lalu membuktikan rejim itu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk melancarkan perang ke atas Korea Selatan.
Ratusan bedilan meriam dan roket disasarkan ke Yeonpyeong, mengakibatkan empat mangsa termasuk dua anggota marin dan dua orang awam terbunuh selain mencederakan puluhan yang lain.
Ia turut memusnahkan puluhan bangunan, rumah, kemudahan tentera dan memaksa lebih 700 penduduk yang trauma dipindahkan.
Sumber Korea Utara mendakwa, serangan itu dilancarkan selepas Korea Selatan tidak menghiraukan amaran supaya ia menghentikan latihan ketenteraan di lokasi berkenaan.
Seorang penduduk, Kwan Young-hee's memberitahu semasa serangan itu dia sempat mencapai telefon bimbit dan berlari menyelamatkan diri.
“Letupan bom begitu membingitkan. Rumah saya bergegar manakala semua tingkap pecah,” katanya yang bersembunyi di sebuah kubu bawah tanah.
Keesokannya, dia bersama ratusan penduduk yang lain dihantar ke kawasan penempatan sementara di Incheon dengan menaiki kapal peronda pantai.
“Perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, ia merupakan tempat yang tenang dan mendamaikan,” tambah wanita berusia 47 tahun itu. “Saya tidak akan kembali semula ke sana.”
Serangan yang dilakukan dilihat sebagai tindakan paling agresif ke atas orang awam selepas pengeboman pesawat Korean Air pada tahun 1987, dipercayai didalangi oleh rejim itu.
Ia juga mencatatkan sejarah sebagai bedilan terbuka pertama ke atas Korea Selatan selepas berakhirnya Perang Korea pada 1953.
“Kami tidak menyangka mereka akan menyerang orang awam,” cerita Hong Kwang-sun ketika dia dan pelarian lain sedang menikmati minuman di pelabuhan berhampiran Incheon.
“Tentera mereka tidak kebuluran kerana mendapat bantuan rakyat di negara ini, sekarang mereka membalasnya dengan menembak ke arah kami. Pada masa akan datang, kami sepatutnya menembak mereka.”
Tentera Korea Selatan membalas serangan itu dengan 80 bedilan meriam. Bagaimanapun tindakan itu dikritik media tempatan dan pemimpin politik kerana dilihat tidak cukup agresif.
Perutusan khas dari Jepun dijangka tiba ke China untuk memberi petanda ke arah usaha diplomasi yang dirangka.
|
|
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada kunjungan Pengerusi Perhimpunan Agung Rakyat Korea Utara, Choe Thae Bok ke Beijing pada minggu ini dapat mencari penyelesaian yang diharapkan.
Reaktor nuklear Korea Utara
Apatah lagi, Korea Utara sudah semakin berani menunjukkan kepada dunia tentang program nuklearnya.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pyongyang mendakwa mempunyai reaktor pengayaan uranium moden.
Beberapa hari sebelum serangan di Yeonpyeong, rejim itu mendedahkan program nuklearnya, apabila membenarkan lawatan saintis nuklear AS, Siegfried Hecker ke Yongbyon.
Tujuannya untuk menghebahkan kepada dunia bahawa teknologi itu digunakan untuk menjana tenaga elektrik dalam negara dan bukan semata-mata untuk tujuan ketenteraan.
Bagaimanapun, kewujudan reaktor itu memberikan Pyongyang asas kukuh untuk menjalankan program pengayaan uranium sebagai tambahan kepada program berasaskan plutonium. Apa yang pasti, kedua-dua bahan radio aktif itu merupakan bahan utama dalam pembuatan bom atom.
Korea Utara mendesak untuk menyambung semula rundingan antarabangsa yang membolehkannya menerima lebih banyak bantuan sebagai balasan terhadap komitmen mendedahkan program nuklearnya.
Serangan terhadap Korea Selatan baru-baru ini dikatakan sebagai petunjuk kepada kekecewaannya terhadap proses rundingan yang terhenti.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak berikrar akan memastikan Korea Utara ‘menerima akibat’ daripada perbuatan mereka, malah menyifatkan serangan negara komunis itu ke atas kawasan awam baru-baru ini sebagai ‘jenayah kemanusiaan.’
“Jika (Korea) Utara melancarkan provokasi tambahan ke atas (Korea) Selatan, kami akan memastikan mereka menerima balasan setimpal,” kata Myung-bak.
Siapa lebih hebat?
Apa yang pasti, konflik yang berlaku di Semenanjung Korea tidak sekadar melibatkan kedua-dua blok Utara dan Selatan, sebaliknya turut dilihat sebagai medan persaingan peribadi AS dan China.
Selepas kejatuhan Soviet, AS sudah tidak menghadapi sebarang cabaran dari Eropah.
Kini, China dianggap sebagai pencabar utama dengan kemampuannya menghasilkan senjata nuklear dan pertumbuhan pesat ekonominya.
Beijing melihat Pyonyang sebagai aset dalam perimeter pertahanan masa depan ketika berdepan dengan perkembangan teknologi persenjataan AS dalam usaha meluaskan pengaruhnya di Asia Timur.
Sementara itu, AS pula mahu menyekat penguasaan China di samping memastikan kestabilan di rantau itu yang juga melibatkan keselamatan kuasa besar ekonomi dunia dan sekutunya, iaitu Korea Selatan dan Jepun.
Seorang penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, selain mendapat restu Beijing yang memainkan peranan di belakang tabir, tindakan berani Pyongyang juga dikaitkan dengan pertukaran tampuk pemerintahan di negara itu.
“Sebelum ini banyak pihak meragui kemampuan Kim Jong Un selepas dilantik bagi menggantikan bapanya Kim Jong Il.
“Serangan itu mungkin merupakan satu isyarat Jong Un kepada AS dan sekutu-sekutunya bahawa dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras, sama seperti bapanya,” ulas Muhammad Fuad.
Beliau menambah sebagai negara dengan kekuatan tentera keempat terbesar di dunia, Korea Utara memiliki lebih satu juta tentera yang bersiap sedia untuk bertempur di medan perang.
“Pyonyang juga mempunyai sistem persenjataan dan artileri yang ampuh diwarisi daripada teknologi China dan Soviet.
“Misalnya, teknologi peluru berpandu (permukaan ke permukaan) yang dimiliki seperti Taepodong-2 bukan sahaja mampu memusnahkan Seoul, malah boleh disasarkan sehingga ke perairan Jepun,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, walaupun belum terbukti namun bukanlah sesuatu yang mengejutkan teknologi nuklear Pyongyang mampu meletakkan negara itu sebaris dengan kuasa-kuasa nuklear seperti China, Rusia, Perancis, AS, Pakistan dan India. Malah dengan teknologi yang masih dirahsiakan itu, Korea Utara berkemampuan untuk menangkis ancaman senjata pemusnah besar-besaran.
Katanya, bagaimanapun dunia tidak seharusnya memandang sebelah mata terhadap sistem persenjataan Korea Selatan yang tidak kurang hebatnya. Ini kerana ia menggunakan sepenuhnya teknologi daripada AS.
“Bahkan, Seoul juga merupakan pengeluar sistem pertahanan di Asia Pasifik selepas China. Ia menghasilkan pelbagai kelengkapan ketenteraan seperti kereta kebal, artileri, kapal perang, kapal selam, kapal logistik, raifal dan sebagainya.
“Boleh dikatakan sebahagian besar negara-negara di rantau ini memiliki teknologi ketenteraan dari Korea Selatan, termasuk Malaysia seperti kereta perisai K200 (MIFV) dan kapal logistik yang digunakan di dalam Angkatan Tentera Malaysia,” ujarnya.
Di samping itu, Seoul juga sering menjalankan latihan ketenteraan bersama dengan AS setiap tahun bertujuan untuk mempersiapkan angkatan tentera di samping menerbitkan kegerunan terhadap Pyongyang.
“Pada masa yang sama AS juga menempatkan kira-kira 28,000 tenteranya di negara itu yang sedia digerakkan bagi berhadapan dengan sebarang ancaman.
“AS turut menempatkan sejumlah peluru berpandu di negara itu bagi menghalang serangan roket dari udara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: