Monday, December 13, 2010

Masakan Kelantan dan Thai Laris




SEBUT mengenai menu masakan Kelantan, pasti terbayang nasi kerabu, nasi dagang, laksam dan ayam percik. Tidak ketinggalan juga pelbagai jenis kuih-muih yang manis dan berwarna-warni.

Semuanya melengkapkan ciri hidangan masakan negeri Cik Siti Wan Kembang yang mempunyai ramai peminat tidak kira bangsa itu.

Menambahkan lagi lokasi menjamu selera buat peminat kuisin jenis itu, Laris Cafe yang terletak di Solaris Dutamas menyediakan pilihan masakan kegemaran anda pada harga berpatutan walaupun terletak di kawasan perniagaan elit.

Menurut pemiliknya, Normahiran Yusoff, pembukaan kafe tersebut sejak tiga bulan lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

“Ini berikutan hidangan yang kita sediakan betul-betul mengikut cita rasa asli Kelantan dan juga dihidang ketika masih panas,” kata beliau yang berkongsi perniagaan bersama dua lagi kakaknya, Umi Khaltom dan Asiah.

Selain daripada menu yang disebutkan di atas, Laris turut menyediakan nasi lemak kukus ayam dara dan burung puyuh, nasi air (bubur), ikan percik, mihun sup daging, sup tulang dan pelbagai lagi jenis lauk pauk untuk nasi campur.

Bermula dari pukul 3 petang, pesanan masakan Thai ala carte mula dibuka dengan variasi yang tak kurang menyelerakan.

Pelbagai jenis hidangan Thai seperti tomyam, kerabu, masakan goreng dan berkuah disediakan. Antara yang menarik Pat Ka Pau iaitu isi daging atau ayam yang dicincang halus dan kemudian digoreng dengan rempah khas bersama daun Pat Ka Pau.

Kuih-muih dan pencuci mulut Kelantan yang enak turut disediakan seperti pulut inti, pulut kaya, keropok lekor, pulut mangga, ais krim tapai dan murtabak raja.

Normahiran berkata, bermula Januari pihaknya merancang untuk menyediakan menu steamboat yang merangkumi pelbagai jenis hidangan.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menjadi rakan niaga dalam mengembangkan perniagaan.

Laris turut menyediakan khidmat katering bagi majlis kecil hingga sederhana merangkumi semua jenis masakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: