Monday, December 13, 2010

Moden segar pilihan kontemporari


TV LCD dan kabinet pasang siap mampu menjimatkan sesebuah ruang.


PADUAN ilham antara pemilik dan pereka dalaman mengubah kediaman teres dua tingkat yang menghiasi ruangan Tata hias minggu ini.

Pasangan suami isteri, Rezal Zain Abdul Rashid dan Raja Anizar Raja Abdullah sudah mendiami kediaman yang terletak di Bangsar itu sejak awal tahun 90-an lagi.

Mereka ingin memberi nafas baru kepada rumah teres dua tingkat itu. Konsep moden kontemporari menjadi pilihan. Berpandukan majalah dekorasi dan juga kunjungan ke rumah contoh selain pameran perabot terkini, sedikit sebanyak ilham untuk kediaman impian diperolehi.

Bagi mendapatkan hasil lebih memuaskan, kedua-duanya sepakat mendapatkan khidmat Saricipta Design Studio, yang dimiliki oleh Raja Saifulrizal Raja Jaafar dan isterinya, Sharifah Intan Al-Jufri.

Hasilnya, rumah teres biasa dengan reka bentuk lama bertukar gaya moden yang menawan walau pun hanya diberi sentuhan sederhana dan minimalis.

Menurut Raja Saifulrizal, selain mengubah rekaan dalaman, pihaknya juga terlibat mencipta landskap luar seperti yang diingini pemilik.

“Soal landskap, kami diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan apa yang sesuai dengan kediaman ini termasuk dari segi pemilihan warna cat,” kata beliau.

Sebuah laman mini dengan tumbuhan herba Inggeris dan tempatan menjadikan kawasan sejuk mata memandang. Terdapat pokok selasih, rosemary, pudina, serai wangi dan sebagainya. Tumbuhan berbunga seperti helicornia dan kesidang turut menjadi pilihan.

Sebuah binaan seakan tiang gol berwarna terung ungu memayungi water feature mencipta kelainan landskap kediaman. Kata beliau, sengaja warna itu dipilih bagi mewujudkan tarikan kepada laman tersebut.

Penghadang

Binaan itu juga katanya bertujuan bertindak sebagai penghadang antara ruang dalam rumah dengan laman yang menghadap jalan utama.

Sebuah kolam mini yang menadah air dari binaan blok kecil seramik berwarna kelabu kehitaman memecah suasana sunyi kediaman. Dibina menghadap ruang tamu, dinding yang memisahkan antara kediaman turut diberi perincian dengan batu-batu seramik dan lampu.

Kata Raja Saifulrizal, suasana malam lebih menyerlah apabila pancaran lampu di dinding dan laman bersatu mencipta landskap yang mempesona.

Pelantar kayu cengal dibina ditepi kolam juga berfungsi sebagai koridor bagi ruang tamu utama. Saat pintu gelongsor dibuka, dua buah kerusi lengan sengaja diletak bagi mereka yang ingin menikmati suasana luar berkonsep terbuka.

Menurut beliau, asalnya ruang tersebut adalah kawasan terbuka. Ia kemudian diilham sedemikian rupa oleh pemilik yang mahukan lebih ruang bagi memudahkan saudaranya berkumpul.

Ruang dalam

. Walaupun ruang agak kecil dan terhad, perancangan yang teliti dapat menghasilkan ruang yang lebih praktikal.

Pengubahsuaian yang dijalankan cuba mewujudkan dua ruang tamu yang berbeza karektor.

Pemilik mahukan ruang yang boleh memuatkan banyak tempat duduk bagi memudahkan tetamu berkumpul.

Pada ruang masuk utama, ilham tuan rumah sendiri mewujudkan satu ruang tempat duduk panjang di tepi dinding dengan meja tolak yang unik. Susunan bingkai gambar berisi hiasan keris daripada pewter menancap mata memandang.

Sengaja warna merah dipilih bagi menimbulkan ruang tersebut yang banyak dilatari warna putih, krim dan natural.

Satu sofa besar diletakkan memisahkan antara ruang tamu dan ruang menonton televisyen.

Ruang makan pula dilindungi dengan tiang-tiang kayu yang ditengahnya terdapat lubang-lubang yang boleh diletakkan pasu bunga atau hiasan ranting kayu.

Menurut Raja Saifulrizal, tiang itu juga bertujuan melindungi ruang utama daripada dapur yang asalnya boleh dilihat terus dari situ.

Lantai berkayu yang dipilih mencipta suasana lebih natural pada kediaman itu. Begitu juga dengan pemilihan warna langsir dan perabot yang lebih semula jadi, menjadikan kediaman itu sebagai sebuah ruang yang benar-benar mendamaikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment