Friday, December 10, 2010

Masak perlu imaginasi


Chef Ismail Ahmad menunjukkan teknik memasak yang betul kepada kumpulan wartawan di bengkel Scott 'Memasak Seperti Chef' di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"MEMASAK juga memerlukan imaginasi malah ia salah satu petua sebelum mula masak.'' Demikian nasihat chef selebriti terkenal, Chef Ismail Ahmad kepada sekumpulan wartawan yang dijemput menghadiri bengkel masakan Scott 'Memasak Seperti Chef' yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Chef Ismail, memasak bukanlah satu tugas yang menyusahkan malah ia akan menjadi satu rutin harian yang menyeronokkan apabila tahu apa yang hendak dilakukan sebelum mula 'masuk dapur'.

Dengan sedikit imaginasi seperti membayangkan apakah warna, tekstur, rasa dan cara masakan yang bakal disediakan, barulah ia boleh diterjemahkan dengan baik.

Hasilnya masakan tersebut mencapai piawai serta memenuhi selera orang yang memakannya.

''Jika hendak dikira, semua orang boleh memasak tetapi tidak ramai yang mencapai piawai dalam masakan masing-masing.

''Ini disebabkan mereka tidak merancang terlebih dahulu apa yang hendak di masak

''Di samping itu, memasak juga memerlukan kita mengetahui cara-cara serta teknik-teknik yang betul agar hasilnya mencapai piawai,'' ujarnya.

Chef Ismail yang berkongsi resipi masakan bersama peserta turut menekankan kepentingan penggunaan bahan masakan bermutu dan segar.

Katanya, bahan memasak juga harus mengikut sukatan dan cara yang betul sebagai langkah penting dalam menghasilkan sajian berkhasiat.

Dalam bengkel tersebut, peserta turut diajar memasak cucur bawang, ayam goreng berempah dan mi goreng istimewa Chef Ismail.

Beliau yang juga merupakan duta tisu dapur Scott berkata, walaupun jenis masakan yang disediakan adalah ringkas dan mudah tetapi jika ia disediakan tanpa bahan yang sesuai dan cara yang betul, hidangan yang dihasilkan pastinya tidak menyelerakan.

Pada masa sama, Chef Ismail turut memberikan beberapa tip seperti hidangan yang disediakan harus mengikut bilangan orang yang hendak makan dan jangan berlebihan kerana ia boleh mengurangkan rasa sebenar masakan.

Selain itu, adunan cucur bawang juga seharusnya tidak terlalu pekat ataupun cair untuk menghasilkan tekstur cucur yang sedap dimakan.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Penjagaan Keluarga, Kimberly-Clark Malaysia dan Singapura, Tammy Loo ketika ditemui turut menyatakan rasa bangganya apabila dapat bersama-sama bekerjasama menjayakan bengkel tersebut.

Menurutnya, tisu dapur Scott merupakan jenama yang dipercayai suri rumah di seluruh dunia dan ia merupakan penyelesaian kepada masalah kekotoran di dapur dan mudah digunakan selain dijamin kebersihannya.

''Jika kita lihat, penggunaan tisu dapur dalam membantu kerja membersihkan kekotoran di dapur adalah lebih berkesan jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kain buruk.

''Penggunaan tisu dapur juga mampu mengelakkan pengumpulan bakteria melalui penggunaan kain secara berulang kali yang boleh mengakibatkan keracunan makanan,'' katanya.

Sementara itu, Scott turut menganjurkan pertandingan 'Memasak Seperti Chef' bagi memberi peluang kepada pengguna-pengguna tuala dapur Scoot menyerlahkan kreativiti masing-masing dalam bidang masakan.

Pertandingan tersebut yang akan tamat pada 31 Disember ini memerlukan peserta menghantar resipi asli untuk diadili.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: