Monday, December 13, 2010

Kelah dipunggah, penguatkuasa tidur?


JUMLAH yang didaratkan ini jika dibiarkan mampu menyebabkan kelah pupus dalam tempoh beberapa tahun lagi.


KETIKA ini mungkin peminat aktiviti luar sedang tertanya-tanya mengenai keadaan Tasik Kenyir di Terengganu ekoran berita yang mengatakan airnya dicemari bakteria e-coli.

Namun Rabu lalu, Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di tasik buatan manusia yang lebih besar dari Singapura itu.

Malah kata Faizah, air di tasik itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

“Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan ahli sains UMT dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar,” katanya.

Jadi selamatlah para pengunjung yang mahu ke Tasik Kenyir, lebih-lebih lagi musim bah ni yang memang ditunggu-tunggu oleh kaki pancing untuk mencari sebarau, kelah dan juga toman yang berhabitat dalam tasik itu.

Tasik Kenyir sudah selamat. Namun baru-baru ini Bidai menerima satu e-mel daripada seorang rakan di selatan tanah air yang gelisah dengan beberapa gambar yang dimuat naik ke laman Facebook.

Bukan gambar lucah atau sebagainya, namun gambar-gambar yang menunjukkan ikan kelah (Tor tambroides) ‘dipunggah’ dalam bilangan yang banyak - yang amat banyak.

Bidai terkejut juga melihat gambar yang dimuat naik di laman Facebook seseorang yang menggelarkan dirinya Rimba Land yang boleh diakses di http://www.facebook.com/album.php?aid=12245&id=100001533461551.

Pada mulanya Bidai agak tidak percaya dengan jumlah ikan yang ditunjukkan dalam beberapa gambar. Namun selepas diamati dan membaca keterangan beberapa gambar, memang ia menunjukkan spesies kelah dipunggah dengan jumlah yang tidak masuk akal.

Setahu Bidai, spesies kelah merupakan haiwan terancam di Malaysia dan merupakan spesies dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta76).

Mengikut pengetahuan cetek Bidai, hanya Orang Asli yang boleh memancing atau mengambil ikan kelah dan ia hanya bertujuan untuk makan semata-mata.

Namun gambar yang Bidai lihat di laman Facebook itu tidaklah menunjukkan mereka ini Orang Asli. Jumlah yang diambil pula begitu banyak sehinggakan ada keterangan gambar yang mengatakan selain dimakan, ia juga dijual kepada sesiapa yang berminat.

Bidai terdiam seketika melihat gambar-gambar itu.

Ikan kelah ini dilindungi akibat semakin pupus. Jumlahnya semakin sedikit ekoran sukar membiak.

Sudahlah habitat ikan kelah ini semakin hari semakin berkurangan, aktiviti ‘memunggah’ ikan-iklan itu bakal menyebabkan ia pupus.

Malaysia mempunyai satu spesies kelah yang tidak terdapat di mana-mana, dan aktiviti sebegini kalau dibiarkan mampu menyebabkan anak cucu kelah ini pupus.

Menurut kata Rimba Land, mereka memunggah ikan itu di Ulu Dungun, juga di Terengganu.

Tanpa segan silu, dia turut mengajak beberapa kenalan untuk ke sana bagi ‘memunggah’ kelah-kelah berkenaan.

Ada juga gambar yang menunjukkan mereka memegang kelah yang menurut mereka mempunyai seberat 18 kilogram.

Jika Raja Sebarau Tasik Kenyir, Latiff Ahmad mendapatkan kelah bersaiz mega dengan memancing, kelah yang dikatakan 18 kilogram itu Bidai rasakan ditembak.

Mudah, sebab orang yang memegang ikan kelah itu mempunyai topeng muka di dahinya dan itu menunjukkan dia menyelam untuk menembak ikan. Ini merupakan satu kesalahan lagi.

Tak kiralah gambar itu dirakamkan bila. Hakikatnya mereka melakukan dua kesalahan berat iaitu mengambil kelah dan menembak ikan.

Jadi siapa yang nak dipersalahkan di sini?

Adakah penguatkuasa atau renjer hutan tidak tahu apa yang berlaku di kawasan mereka.

Ini berikutan jika hendak ke Ulu Dungun, mereka perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dan sepatutnya pihak berkuasa kena memeriksa kenderaan mereka apabila keluar daripada kawasan hutan di situ.

Tak tahulah apa yang berlaku. Nak kata penguatkuasa tidur, mungkin mereka tidak perasan atau mungkin mereka saja buat-buat tak tahu.

Atau mungkin Rimba Land penguatkuasa di situ?

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: