|
|
SEAWAL pukul 7.30 pagi, sudah menjadi rutin harian ibu muda ini mengayuh basikal kesayangan bersama anak lelakinya yang diletak di tempat duduk belakang, menuju ke Pusat Wanita Yakult yang terletak di Shin-torigoe Centre, Tokyo.
Perjalanan dari rumahnya menuju ke pusat tersebut mengambil masa 40 minit. Biarpun agak jauh tetapi ibu muda ini, Kuniko Aoyama, 33, selesa dengan tugas harian sebagai Wanita Yakult.
Dalam perjalanan, dia akan singgah di pusat jagaan Yakult dan meninggalkan anak lelakinya yang berusia empat tahun itu di pusat jagaan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan.
Setiba di Pusat Wanita Yakult, dia bersama rakan-rakan yang lain mendapatkan beg khas yang telah disediakan yang mengandungi produk jualan yang akan dibawa dengan kereta sorong.
Sambil meletakkan ketulan ais di dalam plastik, dia akan memastikan pesanan yang diminta oleh pelanggan mencukupi.
Tepat jam 8.30 pagi, selesai taklimat ringkas dia memulakan tugas dengan menemui pelanggan setia yang sedang menanti kehadirannya bersama produk minuman yang ditempah.
Dengan berpakaian seragam Yakult, Aoyama menolak kereta sorongnya mengelilingi kawasan yang telah ditetapkan.
Begitulah rutin hidup wanita ini setiap hari sejak empat tahun lalu selepas bergelar Wanita Yakult dengan meraih pendapatan kira-kira 110,000 Yen atau kira-kira RM3,800 sebulan.
''Biarpun banyak berjalan tetapi saya sukakan kerja ini kerana setiap hari ia memberikan pengalaman yang berbeza,'' ujar ibu tunggal ini yang pernah berkhidmat sebagai jurujual di sebuah pasar raya sebelum ini.
Katanya lagi, setiap hari dia boleh berjumpa dengan bermacam-macam ragam manusia.
"Itu semua memberikan keseronokan dan ketenangan pada diri saya,'' ujarnya ikhlas.
Malah setiap hari ibu muda ini akan mengelilingi kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan termasuklah di rumah-rumah dan pejabat.
Ceritanya, sejak kecil lagi dia didedahkan dengan Yakult dan pernah bercita-cita untuk menjadi Wanita Yakult kerana pakaian seragam yang sangat menarik.
''Sejak kecil saya sering melihat Wanita Yakult berpakaian uniform mengunjungi dari rumah ke rumah. Malah, saya juga pelanggan setia minuman tersebut yang bukan sahaja bagus untuk kesihatan tetapi juga berkhasiat,'' ceritanya sambil ketawa.
Melihat kerajinan dan ketekunan yang ada di dalam diri ibu muda ini membuatkan penulis terpegun.
Malah terfikir di benak, adakah rakyat Malaysia juga mampu membuat kerja yang sama seperti ibu muda ini yang sanggup berjalan kaki sambil membawa kereta sorong mengelilingi kawasan demi mencari rezeki berbekalkan senyuman manis, dia tekun melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Penulis yang berkesempatan mengikuti tugas tersebut agak kepenatan kerana terpaksa berjalan jauh, namun bagi Aoyama, itu adalah tugas hakiki dirinya demi mencari sesuap nasi untuk diri serta anak tunggalnya.
Dia yang sudah hampir lima tahun berkhidmat sebagai Wanita Yakult memberitahu, setiap hari hampir 45 hingga 60 buah premis harus dilawati bagi menghabiskan jualan hariannya.
''Setiap hari kita mempunyai jadual yang tertentu untuk menjaja minuman ini ke premis-premis seperti pejabat dan juga rumah persendirian,'' terangnya.
Namun mereka juga mempunyai pelanggan yang tetap untuk dikunjungi.
Bagaimanapun, ada juga premis yang tidak membeli produk minuman itu, tetapi itu semua sudah menjadi adat dalam proses menjual beli.
''Biasanya menjelang jam 2 petang, semua jualan akan habis dan saya akan kembali ke pusat jualan untuk membuat persiapan jadual esok dan juga memastikan stok barangan mencukupi,'' ujarnya yang tamat kerja pada pukul 3 petang setiap hari.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Bahagian Jualan, cawangan Tokyo, Mase pula memberitahu, bukan mudah menjadi Wanita Yakult kerana harus berdepan dengan pembeli yang mempunyai pelbagai kerenah.
Namun dengan latihan dan tunjuk ajar yang diberikan mereka mampu menjalankan tanggung jawab yang diberikan.
Tegasnya, setiap hari kesemua wanita Yakult akan memulakan tugas seawal pukul 8.30 pagi hingga 3 petang.
Biasanya mereka akan selesai bertemu pelanggan sekitar pukul 2 petang dan akan balik ke pusat bagi membuat persiapan tempahan serta jualan untuk keesokan harinya.
''Selesai kerja, mereka akan mengira wang jualan sebelum diserah kepada pusat dan pulang ke rumah masing-masing ,'' ujarnya lagi.
Terang beliau, hampir semua Wanita Yakult di Pusat tersebut adalah suri rumah yang berusia antara 21 hingga 75 tahun.
Kesemua mereka diambil di kalangan komuniti sekitar bandar itu dengan tujuan membantu mereka menambah pendapat keluarga.
Sebelum memulakan kerja mereka akan diberikan kursus tentang kaedah penjualan serta cara menjalankan tugas dengan baik.
Bagaimanapun katanya, kesemua mereka adalah pengedar bebas yang memperoleh pendapatan melalui komisen kira-kira 110,000 Yen sebulan.
Wanita Yakult adalah antara penggerak kejayaan Yakult Honsha Co. Ltd., syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik terkemuka dunia.
Ia mula diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota yang merupakan seorang doktor perubatan yang menemui sejenis bakteria asid laktik iaitu 'lactobacillus casei' yang boleh memberikan kebaikan kepada kesihatan manusia.
Mengikut sejarah, sistem Wanita Yakult mula diperkenal pada tahun 1963 dengan tujuan membantu golongan suri rumah dalam menambah pendapatan keluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: