Sunday, December 12, 2010

Harajuku Sarimah


INILAH fesyen terbaru Sarimah yang dilakukan bagi memberi impak kepada 1. 2.. 3... Tukar.


SAAT kelibatnya melangkah berjalan atas permaidani merah, menghadiri deretan majlis hiburan dan bersantai di tempat umum, gaya Sarimah Ibrahim, 32, tidak pernah terlepas daripada tumpuan mata memandang. Fesyen dan Sarimah ibarat penyatuan yang saling melengkap antara satu sama lain.

Terbaru, wanita kelahiran Dublin, Ireland itu nekad untuk menukar penampilannya secara total.

Dengan penampilan sebagai wanita matang yang sudah terbiasa dilihat selama ini, Sarimah kini menyuntik elemen fesyen Harajuku. Fesyen tersebut menterjemah gaya ranggi dan berwarna-warni daripada stail ekstrem remaja Jepun.

"Saya baru pulang dari Jepun minggu lalu. Lawatan ke sana umpama bercuti sambil bekerja.

"Tiga alasan saya berada di Negara Matahari Terbit itu - ingin mempelajari budaya asing, mencari pakaian dan menjalankan pemerhatian terhadap pengaruh fesyen digunakan dalam program televisyen mereka.

"Bayangkan, saya sanggup menukar stail rambut dan cara pemakaian semata-mata hendak tampil dengan fesyen Harajuku.

"Ini semua dilakukan sebab saya mahu nampak lain dalam program terbaru, 1. 2.. 3... Tukar.

"Ia menjadi pengganti kepada Tangkap Muat yang pernah bertemu peminat beberapa bulan lalu.

"Umum tahu, fesyen jenis ini tidak hanya tertumpu di Jepun. Ia sebaliknya mendapat perhatian daripada peminat di seluruh negara lantaran gayanya yang unik.

"Cuma, mungkin bilangan penggemar stail ini tidak ramai kerana mereka masih kekok mengenakan kostum dan berdandan seperti watak dalam komik.

"Biarpun memilih konsep Harajuku, saya tetap menyarungkan pakaian yang bersesuaian dengan cara pemakaian orang Timur," ujar Sarimah teruja dengan penampilan 360 darjahnya.

1. 2.. 3... Tukar menjadi refleksi gaya hidup yang merubah penampilan individu terpilih mencapai impian. Rancangan 14 episod itu terangkum soal kerjaya, percintaan dan masa depan.

Untuk melihat sendiri 'magis' yang direalisasikan oleh Sarimah dengan bantuan penata gaya, jangan lupa menyaksikan 1. 2.. 3... Tukar yang akan menemui audiens setiap Rabu pukul 10 malam mulai 15 Disember ini di Astro Ria (saluran 104).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: