Sunday, December 12, 2010

Misi serba baru SDAF


TIGA pelakon utama SDAF, Liyana, Ebby Yus dan Johan.


MENJELMA sahaja judul Siti Di Alam Fantasi yang berhias kostum serta kisah pengembaraan imaginasi, khalayak cepat mentafsir, karya itu sebagai karya saduran yang menterjemah kisah Alice In Wonderland ataupun The Wizard of Oz ke dalam ruang lingkup budaya Melayu.

Bukan kali pertama teater Siti Di Alam Fantasi (SDAF) dipentaskan tetapi naskhah itu pernah menemui khalayak pada 1998 dan 2000.

Di bawah teraju pengarah yang sama, Aminah Rhaphor, hujung 2010 bakal menyaksikan teks yang sama itu masuk ke Istana Budaya (IB) mulai 22 hingga 31 Disember ini.

"Memanglah orang kita mudah menyangka SDAF sebagai Alice In Wonderland Malaysia sebab kita tiada bahan rujukan lain yang lebih memberangsangkan.

"Tanpa kita sedar, sebenarnya orang Melayu ada teks hikayat pengembaraan yang besar seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Demang, Hikayat Malim Dewa dan banyak lagi.

"Itu semua hikayat tentang anak raja yang keluar mengembara ketika mereka masih remaja, sebelum menjadi raja.

"Pengembaraan adalah proses wajib dalam hikayat lama.

"Penulis sendiri tidak kisah dengan jolokan itu, idea penghasilan teater ini dahulupun lahir daripada pengamatan saya terhadap animasi di luar negara.

"Sama macam SDAF, ia kisah Siti anak orang bangsawan yang sangat sombong. Dia diperintahkan ayahandanya untuk mencari batu geliga milik keluarganya yang dicuri oleh lembaga hitam.


AMINAH RHAPHOR (tengah) ketika sesi latihan teater SDAF yang giat diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.


"Dalam pengembaraan itu, Siti mengenal erti kasih sayang, persahabatan serta nilai murni.

"Kata kunci teater ini adalah hidup haruslah berkasih sayang," kata Aminah yang giat menjalankan latihan SDAF sejak 20 November lalu.

Berubah mengikut aliran waktu, pemegang watak Siti yang dahulunya dibawa Amy Mastura kini beralih kepada pelakon genit, Liyana Jasmay.

Dahulunya, Siti mengembara bersama dua orang suruhan bapanya.

Kembara kali ini, dia hanya ditemani Mamat lakonan Ebby Yus dan sebatang pokok hidup dan boleh bercakap, lakonan Johan Raja Lawak.

"Saya kira pengembaraan tiga orang kanak-kanak tidak akan jadi menarik, jadi saya buangkan satu watak budak lelaki dan masukkan watak pokok (Johan).

"Saya percaya kanak-kanak akan lebih seronok," tambah Aminah.

Ebby Yus didera Siti

Di kalangan pelakon seperti Liyana Jasmay, Johan, Fizo Omar, Mas Muharnie, Vanidah Imran dan Che Kem, Ebby Yus mendahului senarai berkenaan dari segi usia.

Tanpa peneman sepanjang kembara Siti (Liyana) sebagai watak budak lelaki berusia 13 tahun merupakan satu penderaan fizikal kepada Ebby yang sudah berusia 43 tahun.

"Sepanjang berteater dalam enam atau tujuh produksi di IB, inilah teater yang paling menyakitkan saya. Ada masanya bila di rumah saya akan tertidur kepenatan.

"Apa tidaknya, daripada usia sebenar 43 tahun saya kena bergerak seaktif kanak-kanak 13 tahun. Saya juga seiring dengan stamina Liyana dan Johan," katanya.


SITI DI ALAM FANTASI (SDAF) lakonan Liyana menerima jolokan 'Alice In Wonderland Malaysia'.


Sibuk dengan bisnes minyak wangi Couple Perfume yang baru diusahakan sejak September lalu, Ebby meletakkan keyakinan bahawa SDAF terzahir sebagai sebuah teater kanak-kanak yang mampu menggeletek hati semua penonton.

Johan si pokok hidup

Pertama kali berdepan cabaran serta komitmen sesi latihan teater disifatkan Johan Raja Lawak sebagai ilmu lakonan yang cukup berguna kepadanya.

"Saya jadi pokok. Mulanya saya keliru bagaimana watak pokok hendak diluahkan, mujurlah setelah berbincang, cikgu (Aminah) berikan saya kebebasan.

"Dia mahukan elemen Johan Raja Lawak itu disertakan sepanjang saya menjadi pokok.

"Jangkaan kami, kanak-kanak akan gemarkannya," beritahu Johan semasa ditemui pada sesi latihan SDAF di IB, Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: