JENAMA minuman berkarbonat, Coca-Cola bukanlah asing di lebih 200 buah negara di seluruh dunia. Bukan sekadar menyegarkan tekak, jenama Coca-Cola turut bergiat aktif dalam industri muzik melalui penganjuran konsert di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, pemberian alat pemain muzik, tajaan dan pelbagai lagi.
Kini, Coca-Cola mengorak langkah dalam industri muzik tempatan dengan menganjurkan sebuah rancangan realiti mencari penyanyi iaitu Kawanku Bintang Coca-Cola.
Coca-Cola memberi peluang kepada mereka yang berbakat menonjolkan kehebatan mereka dengan bantuan barisan tenaga pengajar yang hebat.
Disiarkan setiap hari Ahad mulai 28 November, pada pukul 10 malam di TV9, Kawanku Bintang Coca-Cola bukanlah seperti rancangan realiti lain kerana ia tiada penyingkiran sehingga pertandingan akhir.
Ujar Ketua Operasi Komersial Coca-Cola Malaysia, Agustinus Gunadharma, program lima episod itu bakal memperlihatkan tiga orang peserta solo, satu kumpulan duet serta tiga buah kumpulan pemuzik bertanding bagi bergelar juara sulung.
“Muzik amat penting dalam hidup bagi sebahagian pemuda-pemudi di Malaysia dan ia adalah landasan konstruktif untuk menyalurkan ekspresi diri, kreativiti dan kesungguhan masing-masing.
“Coca-Cola berasa bangga untuk menghasilkan sebuah rancangan realiti yang boleh memberi pengalaman positif kepada peserta, sambil menghiburkan para penonton.
“Kami akan menyediakan Coca-Cola Dream Team yang terdiri daripada orang-orang yang hebat di dalam industri muzik untuk membimbing mereka bergelar bintang yang sebenar.
“Tiada penyingkiran, setiap minggu, dua orang peserta akan berpeluang untuk dididik oleh Coca-Cola Dream Team dalam aspek vokal, koreografi, penggayaan dan penampilan di atas pentas.
“Setelah mengikuti sesi latihan tersebut, barulah semua peserta akan bertarung di episod akhir rancangan bersiri ini dan akan dinilai oleh barisan juri yang dilantik,” ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Kawanku Bintang Coca-Cola di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Peserta rancangan ini terdiri daripada empat orang penyanyi solo, iaitu Mohd. Amir Iqram (Bo), Nur Asnida Azhar (Shida), Fatimah Nazirah M. Ashari (Fatimah) dan Nini Arzieana (Nini).
Turut menyertai ialah satu kumpulan duet bernama Wanted Symphony dan tiga kumpulan pemuzik iaitu Ask Me Again, Brownees dan Statik.
Menurut Agustinus, Coca-Cola Dream Team terdiri daripada penerbit dan komposer, Helen Yap; perunding penampilan, Peter Lum; dan penyanyi terkenal Juwita Suwito.
Pada konsert akhir, para peserta akan menunjukkan kebolehan mereka di depan juri yang terdiri daripada Yuna, Noh Hujan serta penerbit dan komposer, Aubrey Suwito.
Juara Kawanku Bintang Coca-Cola akan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta dua tiket VIP bagi menghadiri konsert di mana-mana tempat di dunia serta mengikuti lawatan ke studio rakaman muzik di luar negara.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM5,000.
Ujar Yuna selaku salah seorang juri, dia teruja dapat terlibat dalam penilaian bakat baru menerusi program ini kerana format rancangan Kawanku Bintang Coca-Cola lain daripada rancangan realiati yang sedia ada.
“Menarik tentang rancangan realiti ini, ia memperlihat penyertaan pelbagai jenis peserta iaitu mereka terdiri daripada solo, duet malah berkumpulan serta mereka membawa genre muzik yang berbeza-beza.
“Kawanku Bintang Coca-Cola unik kerana kesemua peserta sudah mempunyai identiti dan kelompok peminat tersendiri, mereka cuma perlu diberikan bantuan yang betul untuk lebih menyerlah,” ujar Yuna.
Bersependapat dengan Yuna, bagi Noh, dia teruja untuk menyaksikan bakat lapan peserta yang terpilih dari sesi uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Noh berharap komennya, Yuna dan Aubrey Suwito akan membentuk mereka menjadi pemuzik handalan dan menyinar di persada muzik tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: