Tuesday, December 14, 2010

Buat peminat Surya


PENGARAH filem Rathtaa Charithram, Ram Gopal Varma.


‘MEMBALAS dendam adalah emosi paling suci', petikan kata-kata epik unggul Mahabaratha menghiasi poster dan iklan filem paling dinantikan peminat aktor Surya yang bertajuk Raththaa Charithram arahan sutradara, Ram Gopal Varma. Buat julung-julung kalinya, Ram yang merupakan pengarah tersohor India yang pernah memecah panggung melalui filem-filem blockbuster seperti Satya, Gaayam, Money, Company, Bhoot dan Jungle bereksperimen dengan lakonan Surya.

Ujar Ram, pemilihan Surya sebagai tunjang filemnya adalah atas faktor kejayaan pelakon tersebut melalui beberapa filem dan kemampuannya beraksi dalam pelbagai karakter protagonis.

Surya yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kariernya akan hanya tertumpu berlakon dalam filem Kollywood atau Tamil tidak dapat mengelak tawaran emas Ram Gopal Varma.

Berbeza daripada genre komersial Bollywood mahu pun Kollywood yang banyak memaparkan permasalahan atau gabungan drama, komedi, keganasan serta hiburan, Ram bukan sahaja memperjudikan bakat Surya malah pelakon tampan Bollywood, Vivek Oberoi turut dijadikan gandingan Surya.

Gandingan kedua-dua aktor tersebut digunakan secara bijak oleh Antenna Entertaiments selaku pengedar tunggal filem Raththaa Charithram untuk tayangan di semua pawagam terpilih di Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Ashraff Reza Anand: “Saya percaya peminat Surya tidak akan menghampakan saya.”

“Ini bukan filem komersial biasa. Saya tahu ia bukan seperti yang dikehendaki penonton biasa, namun saya percaya kelainan ini akan berhasil lebih-lebih lagi apabila Surya di jadikan pelakon utama,” kata Anand.


AKTOR hebat, Surya.


Tambah beliau lagi, filem tersebut didatangkan dalam dua bahagian. Bahagian pertama hanya berbahasa Hindi dan dibintangi sepenuhnya oleh Vivek Oberoi manakala bahagian kedua pula ditayangkan dalam tiga bahasa iaitu Hindi, Tamil dan Telegu dengan tambahan karakter Surya. Filem ini berkisarkan sebuah kisah benar yang berlaku di selatan India dan Ram menggambarkan filem tersebut sebagai filem paling ganas pernah diarahkan di India.

“Ini adalah projek impian yang memberikan impak mendalam buat saya. Saya percaya hanya Surya yang menepati kehendak karakter filem ini dan dia berjaya membawa wataknya dengan baik sekali. Penonton akan melihat Surya yang baru dalam filem ini,” ujar Ram.

Namun sedikit menghampakan para media apabila kelibat Surya yang dijanjikan untuk tayangan sulung Raththaa Charithram, tidak kelihatan.

“Saya memohon maaf kerana Surya terpaksa membatalkan penerbangan ke Malaysia berikutan kemalangan kecil yang menimpanya semasa penggambaran filem terbaru. Beliau dinasihatkan untuk berehat,” kata Anand yang mengaturkan satu sidang media melalui persidangan video.

“Ram pernah ‘meletupkan’ panggung dengan filem-filem yang jauh lebih hebat. Faktor utama saya menerima tawarannya adalah kerana filem tersebut ditayangkan dalam bahasa Tamil. Tiada ruang untuk saya menolak, malah ia satu peluang keemasan buat saya ” kata Surya dalam sidang video tersebut dan menyatakan filem ini mampu membawa perspektif baru dalam industri Kollywood.

Walau pun mempunyai unsur keganasan namun realiti yang dipaparkan dalam setiap plot filem tersebut perlu dipuji. Berpotensi membawa Ram mengenggam anugerah, Raththaa Charithram tidak seharusnya dilepaskan. Malah ia memaparkan sebuah pembalasan dendam sebagai satu-satunya pengisian utama filem tersebut. Lebih unik lagi, filem ini tidak diselitkan dengan sebarang lagu, tarian mahu pun adegan mewah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: