Tuesday, December 14, 2010

Alif bukan ditaja




MEREKA berdua masih muda dan sedang meniti zaman remaja yang mencabar. Ditemukan buat pertama kali pasti menerbitkan pelbagai perasaan dalam jiwa mereka, tambahan pula usia remaja ialah masa untuk mencuba dan jiwa pula gemar memberontak.

Remaja lelaki kelihatan begitu mesra, sentiasa ceria malah pandai mengambil hati orang sekeliling. Remaja perempuan pula masih kelihatan segan, mungkin tidak biasa dengan persekitaran asing jauh dari tanah tumpah, Filipina. Namun, kemesraan yang cuba ditampilkan harus dipuji.

Alif Satar yang mula dikenali umum selepas menyertai program realiti TV, One In A Million musim pertama sudah tidak perlu diperkenal. Popular di kalangan peminat dengan lagu-lagu seperti Jangan Nakal dan Cukup Indah.

Gadis sunti dari Filipina itu pula, namanya, Julia Abueva, baru sahaja menyambut hari lahir ke-15 pada 26 November lalu.

Daripada bahasa tubuhnya, jelas masih kelihatan pemalu terutama ketika sesi temu ramah dijalankan tetapi begitu teruja dengan pertemuan mereka.

"Saya rasa seperti sudah lama mengenali Alif kerana dia begitu mesra. Dia juga sempat mengajar saya bermain drum ketika awal pertemuan kami.

"Sudah tentu saya suka suaranya," ucap Julia yang boleh bertutur beberapa perkataan bahasa Melayu seperti 'sayang', 'kamu' dan 'hebat'.

Bagi Alif pula, Julia disifatkan sebagai seorang gadis yang pemalu tetapi cepat mesra dengan orang sekeliling. Tambahan pula, menurut Alif, Julia seorang gadis yang comel dan sentiasa bersifat terbuka terhadap semua perkara.

Pertemuan mereka bukan untuk bersukaria jauh sekali untuk berpacaran.


JACLYN VICTOR telah mencetuskan minat Alif untuk membeli motosikal Ducati Monster yang sekarang menjadi miliknya.


Mereka disatukan atas tuntutan kerja dan nyala rasa mereka berdua. Mereka bertemu kerana bakat suara yang dikurniakan lengkap dengan pakej personaliti yang menarik.

Alif dan Julia berpadu suara merakamkan single terbaru berjudul, Timeless. Lagu itu pernah dipopularkan pemenang American Idol musim pertama Kelly Clarkson dan Justin Guarini.

"Lagu ini dipilih oleh pihak pengurusan. Malah, pertemuan kami juga dirancang mereka. Jika ingin menembusi pasaran Filipina, lagu perlu berbahasa Inggeris.

"Selain itu, lagu ini diberi nafas baru sesuai dengan konsep kedua album Alif nanti," terang Alif dengan penuh ramah.

Lagu yang mengambil masa rakaman di antara dua hingga empat jam itu dipilih bertujuan bukan sahaja bagi untuk pasaran Filipina tetapi juga sebagai satu senjata untuk Alif dibawa ke peringkat antarabangsa.

"Jika mahu menembusi pasaran Indonesia, terlalu susah. Malah, mereka pula yang banyak memasarkan produk di sini. Jadi, Alif harap dengan rakaman lagu ini yang akan dijual secara digital dan akan dimainkan di Malaysia dan Filipina dapat memperkenalkan Alif di sana.

"Julia juga dapat melebarkan sayapnya di Malaysia. Ini ialah situasi menang-menang," kata Alif ketika ditemui di Studio 101, Petaling Jaya.

Lagu yang bakal membawa misi besar Alif ke Filipina itu diterbitkan oleh Nai Kong merupakan percubaan yang berisiko tinggi yang pernah dia lakukan walaupun menghadapi pelbagai halangan.

"Timeless ialah lagu pertama yang saya rakam dalam bahasa Inggeris. Ia mempunyai rentak R&B, Latin dan irama akan lebih segar. Saya fikir lagu berbahasa Inggeris susah untuk diterima seluruh lapisan masyarakat, tetapi kita perlu mencuba.

Alif juga menambah projek kolaborasi ini sudah tiga bulan dirancang dan sepatutnya rakaman dibuat di Filipina bulan lalu. Tetapi terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia tertangguh.


DUA figura remaja ini bergabung vokal dan bakat untuk lagu, Timeless.


"Sementara klip video pula masih lagi dalam perancangan dan akan melalui proses pengambaran pada tahun hadapan. Saya berharap ia akan berlaku di Filipina," kata Alif yang teruja untuk ke Filipina.

Sementara itu, pasangan duet Alif, Julia bukan calang-calang penyanyi walaupun masih muda. Penyanyi yang mula bernyanyi sejak usia tujuh tahun itu, pernah membuat persembahan dihadapan pemimpin-pemimpin dunia di Persidangan APEC 2009 yang dihadiri Presiden Amerika, Barrack Obama.

Selain itu, suara merdu Julia juga pernah menghiburkan atlet di temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina dan Vientiane, Laos pada tahun 2009.

Julia yang masih lagi menuntut di Singapore America School di Singapura mengakui sukar untuk membahagi masa antara minat dan pelajaran.

"Saya masih lagi belajar di tingkatan atas, dan ia semakin susah untuk seimbang antara masa belajar dan menyanyi.

"Namun, saya perlu sesuaikan diri kerana saya begitu minat dengan dengan dunia nyanyian," kata Julia merakam beberapa buah lagu di Filipina seperti Awake, Endlessly dan beberapa buah lagu berbahasa Tagalog.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: