Monday, December 27, 2010

Barbie rona hitam


KOLEKSI busana Barbie Loves dihasilkan untuk disarungkan pada patung Barbie selain menjadi dres yang dijual di butik Salabianca.


JIKA sebelum ini rona merah jambu dan gaun kembang merupakan signatur utama pakaian Barbie tetapi kini koleksi busana Barbie jenama Salabianca menampilkan kelainan secara total.

Jenama Salabianca yang sememangnya popular dengan konsep rekaan dres pendek, santai dan chic, melakukan perubahan dengan menghasilkan pakaian Barbie Loves nuansa hitam.

Ya, hampir kesemua koleksi tersebut berwarna gelap dan polos tanpa hiasan perincian yang sarat.

Namun enggan lari daripada konsep asal boneka Barbie yang gemar tampil comel dan elegan, Salabianca mengambil inisiatif mereka busana dalam potongan dres pendek separa paha dan terdedah di bahagian dada.

Semuanya dapat disaksikan pada pertunjukan fesyen Barbie Loves di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rata-rata pencinta fesyen yang hadir pada hari itu menyifatkan busana Barbie kini bukan lagi hak mutlak kanak-kanak dan remaja. Sebaliknya, boneka yang mencetuskan fenomena dalam industri permainan sejak tahun 1959 itu, sudah membuka peluang untuk kelompok wanita dewasa bergaya bak Barbie.

Ini kerana koleksi Barbie Loves tersebut tampak ideal membaluti tubuh wanita yang mencintai fesyen anggun dan sofistikated. Himpunan pakaian itu bukan sahaja sesuai dipakai tatkala menghadiri majlis minum petang, malah kelihatan menawan digayakan pada majlis formal mahupun ke pejabat.

Apa yang penting anda perlu bijak mempraktikkan konsep suai dan padan dengan item fesyen yang bersesuaian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Salabianca Sdn. Bhd., Allan Chan, ia merupakan suatu penghargaan apabila pihak Mattel Inc. memberi kepercayaan kepada Salabianca menghasilkan pakaian Barbie.

“Tugas kami bukan sekadar menghasilkan pakaian Barbie Loves untuk disarungkan di badan wanita malah, semakin mencabar apabila pakaian-pakaian Barbie Loves ini juga perlu membaluti boneka Barbie.

“Menjahit pakaian untuk boneka bukan mudah kerana jahitan manik ataupun lipatan fabrik pada dres semuanya dalam saiz yang paling kecil,” jelas Alan mengenai projek Barbie Loves yang mengambil masa selama lapan bulan untuk disempurnakan.

Tambah Allan, memandangkan kali ini koleksi Barbie didatangkan dalam warna hitam, maka disarankan kepada si pemakai supaya bijak menyerlahkan penampilan mengikut stail tersendiri.

Bagi mereka yang ingin menerapkan nuansa merah jambu, padankan saja aksesori ataupun beg tangan warna terang itu bersama koleksi pakaian Barbie Loves.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: