
FESYEN rambut merupakan satu trend yang sudah berkembang sejak ribuan tahun dahulu. Memang tidak dinafikan dalam fesyen mahkota kepala, ia biasanya dijuarai oleh kaum wanita. Bagaimanapun, dalam arus kemodenan hari ini nampaknya sang jejaka juga sudah semakin sensitif dengan fesyen rambut.
Sama ada stail rambut digayakan mengikut aliran muzik yang diminati atau mahu tampil kemas kerana membawa gelaran lelaki metroseksual, apa yang pasti fesyen rambut lelaki semakin meluas.
Di sekeliling anda hari ini, anda boleh melihat ada lelaki yang tampil dengan stail rambut cacak (spike), afro, dreadlock, rebonding, mohawk malah di Malaysia semakin ramai jejaka memilih menggayakan rambut ala selebriti jejaka Jepun dan Korea.
Mengenali potongan rambut popular lelaki, secara ringkasnya rambut afro iaitu potongan rambut yang berbentuk bulat dan keriting pernah menjadi kegilaan masyarakat kulit hitam pada pertengahan era 60-an.
Sementara itu, bagi stail rambut dreadlocks pula ia cukup sinonim dengan kumpulan pemuzik reggae.
Meskipun stail rambut berkenaan berasal dari Afrika Selatan, tetapi pada hari ini ia sudah menular di serata dunia termasuklah di Amerika Syarikat, Eropah dan India.
Minggu ini, Stailo cuba mencungkil cerita mengenai gaya rambut cornrows. Dua selebriti iaitu penyanyi Reshmonu dan jurusolek Epie Temerloh berkongsi kisah bagaimana mereka menjaga rambut cornrows.
Fesyen rambut tersebut telah diperkenalkan pada tahun 1963 berasal dari benua Afrika. Pada mulanya cornrows hanya digayakan oleh bangsa Habsyah.
Gaya rambut seperti pintalan seakan barisan jagung itu mula popular setelah muzik hip-hop meletus pada tahun tahun 90-an. Sejak itu gaya itu diterima ramai termasuklah golongan selebriti.
Bagi Reshmonu dan Epie Temerloh pemilihan gaya rambut itu adalah demi kepuasan diri mereka yang inginkan konsep gaya rambut tersendiri.
Reshmonu atau nama sebenarnya, Hiresh Haridas sudah enam tahun menggayakan rambut jenis cornrows yang merupakan jalinan rambut yang ditocang halus.
Kos tinggi
Pernah tampil dengan album studio berbahasa Inggeris berjudul Monumental dan Superfine, selain album repackaged Monumental: The Journey Continues, Reshmonu merupakan penyanyi yang berjaya memperkenalkan diri dalam kalangan peminat muzik menerusi gaya rambut dan fesyen yang unik.
Katanya yang kini berusia 34 tahun, dia masih menggunakan gaya itu sehingga kini kerana fesyen itu telah menjadi signatur untuk dirinya.
“Cuma kini rambut ini pendek sedikit berbanding dahulu. Bila pendek lagi senang nak jaga. Masa nak tidur pun boleh terus tidur, tanpa perlu membuat sanggul atau dibalut dengan tuala.

“Barangkali orang sekeliling memikirkan stail rambut sebegini membebankan. Tetapi saya suka dan selesa. Lagipun secara tidak langsung individu dapat mengenali Reshmonu yang berimej seperti ini atau lebih tepat ia membezakan saya dengan artis lain di Malaysia,” kata Reshmonu ketika ditemui Stailo di Vanity Mansion Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Reshmonu yang pernah memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004, penampilan terbaru dengan cornrows yang lebih pendek memudahkannya menguruskan rambut setiap hari.
“Dari aspek penjagaan, setiap hari saya mencuci rambut menggunakan air saja, manakala dua minggu sekali saya akan menjalani proses mencuci dan merapi,” jelasnya yang bakal melancarkan album pertama kumpulannya tahun hadapan.
Tidak seperti potongan rambut pendek atau cacak, stail rambut cornrows memerlukan kos penjagaan yang tinggi. Setiap kali mendapatkan khidmat dandanan rambut, Reshmonu akan membelanjakan sebanyak RM400.
Menyambung bicara, bapa kepada Maureece Nikhail dan Tyreece Nikhail itu menjelaskan dalam sebulan dia melakukan di antara tiga atau empat kali dandanan bagi memastikan pintalan rambut sentiasa nampak kemas.
Siapkan rambut 10 jam
Sementara itu, bagi Epie Temerloh, 23, kerana memiliki rambut cornrows yang agak panjang dia perlu mengutamakan kebersihan dan penjagaan rapi.
Pemilik nama sebenar, Ahmad Firdaus Abdul Aziz itu mula terdetik menggayakan fesyen tersebut ketika berdampingan bersama Julia Ziegler di karpet merah pada satu majlis berbentuk hiburan tahun lalu.
Kata Epie yang pernah merias wajah selebriti Bienda, Shiela Rusly dan Wan Sharmila, sejak memilih fesyen rambut cornrows, orang ramai mula mengenai Epie yang sinonim dengan rambut pintal.
“Tidak dinafikan ramai yang kurang mengecam wajah saya tetapi apabila menyebut jurusolek rambut pintal, barulah mereka mengangguk kenal (ketawa).
“Membuat rambut seperti ini memerlukan disiplin yang tinggi kerana memerlukan penjagaan yang rapi agar kelihatan bersih dan kemas,” katanya yang kadangkala terpaksa menunggu di antara tujuh hingga 10 jam untuk membolehkan pendandan rambut berbangsa Afrika menyiapkan rambutnya.
Tambah anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, dia akan menghabiskan masa sehingga satu jam sebelum tidur dan selepas bangun untuk merapi rambut.
“Sebelum tidur saya akan cuci dan balut dengan tuala serta dengan kemas agar rambut itu sihat dan tidak tercemar.
“Ketika bangun pula saya perlu mencuci dan melakukan beberapa rawatan rambut,” cerita Epie yang mula berkecimpung dalam bidang solekan seawal usia 15 tahun.
Ujar Epie, dia memang sanggup.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: