Friday, December 24, 2010

Aksi fantasi Narnia ceriakan kanak-kanak


KESEMPATAN berseronok membolehkan kanak-kanak ini berkenalan dan berinteraksi dengan teman-teman baru.


SERAMAI 100 kanak-kanak bertuah dari Rumah Titian Kasih dan Rumah Kanak-kanak Precious menjadi kumpulan terpilih yang pertama di Malaysia menonton filem The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader.

Tayangan tersebut diadakan bersempena tajaan filem terbaru dalam siri Narnia oleh Kumpulan EON Bank. Tajaan menerusi kad kredit GSC-EON Bank yang juga dikenali sebagai Kad Filem Terunggul itu telah melangsungkan malam tayangan perdana seminggu sebelum penayangan umum.

Para pemenang kempen tajaan, pelanggan, rakan kongsi dan kakitangan yang menikmati filem itu turut diraikan dalam sebuah parti di MegaKidz, pusat beli-belah Mid Valley Megamall.

Dalam parti tersebut, kanak-kanak kecil seronok bermain di taman permainan sambil dihiburkan dengan pertunjukan silap mata dan seni membentuk belon. Kanak-kanak yang lebih besar pula amat teruja berkejar-kejaran dalam permainan tembak-menembak laser di Galactic Laser Zone yang baru dibuka.

Tanggungjawab sosial

"Apabila kita melancarkan program Tanggungjawab Sosial Korporat kami yang bertema: Membangunkan Belia Kami Hari Ini, Untuk Masa Depan beberapa bulan lalu, kami bertekad untuk membela golongan muda.

"Oleh itu, kami mahu memastikan kanak-kanak Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat sentiasa berpeluang untuk berseronok, tidak kira siapa mereka.

"Kami berharap dapat menganjurkan aktiviti seperti ini dengan lebih banyak pada masa hadapan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EON Bank, Datuk Michael Lor.

Pengasas Rumah Titian Kasih, Sharifah Adlan, amat berterima kasih kepada EON Bank kerana menganjurkan aktiviti tersebut.

Murah hati

"Saya terharu dengan sifat rakyat Malaysia yang bermurah hati seperti yang ditunjukkan syarikat korporat EON Bank dalam acara kali ini. Mereka sentiasa mengingati nasib kanak-kanak di rumah kebajikan kami.

"Kanak-kanak Titian Kasih cukup seronok minggu lalu dan masih berbual-bual mengenai aktiviti berkenaan pada hari yang berikutnya," kata Sharifah.

Pentadbir Rumah Kanak-Kanak Precious, Evelyn Robert, turut bersetuju dengan pendapat tersebut.

"Walaupun ramai orang menganggap kanak-kanak kami kurang bernasib baik atau malang, saya kerap kali merasakan bahawa mereka bertuah kerana berkongsi tanah air ini dengan begitu ramai orang dan syarikat-syarikat yang berhati mulia," ujarnya.


KANAK-KANAK bergaya sakan dengan pakaian watak kegemaran mereka ketika siri jelajah EON Bank Group's Smart Junior Narnia Mania di pusat beli-belah The Mines.


Menurut Michael, keistimewaan berkongsi kegembiraan sederhana menonton wayang dengan kanak-kanak tersebut hanyalah sebahagian kecil strategi keseluruhan EON Bank.

"Kami sedang meninjau pembangunan belia secara jangka panjang dan pada dasar menyeluruh. Justeru, kami akan memberitahu lebih banyak khabar mengenai pembangunan inisiatif jangka panjang yang bertitik-tolak daropada kejayaan kami hari ini.

"Antara program yang kami rangka adalah pembangunan kemahiran analitikal perniagaan dalam kalangan pelajar pengajian tinggi dan terus memberi ganjaran untuk pencapaian akademik menerusi Anugerah Kecemerlangan Akademik Smart Junior.

"Kami juga menggalakkan sifat celik kewangan dengan bekerja rapat dengan Bank Negara Malaysia sebagai sokongan kepada Program Sekolah Angkat mereka," kata Michael.

Parti eksklusif

Kumpulan perbankan juga telah menganjurkan pratonton filem popular berkenaan di Pulau Pinang dan Johor serta tayangan tambahan untuk para pelanggan deposit, termasuk satu parti eksklusif di MegaKidz untuk para pemegang akaun Smart Junior pada 8 Disember lalu.

Aktiviti-aktiviti Kumpulan EON Bank yang sedang dilaksanakan untuk The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader termasuklah Peraduan Dalam Talian Smart Junior di www.eonbanksmartjunior.com and Pameran Bergerak Smart Junior Narnia Mania di pusat beli-belah The Mines serta cawangan-cawangan Kumpulan EON Bank di seluruh negara.

Maklumat terperinci mengenai aktiviti promosi GSC-EON Bank VISA boleh didapati di www.gsc-eonbankcard.com manakala maklumat lanjut tentang Akaun Smart Junior dan peraduan berkaitan boleh didapati menerusi www.eonbanksmartjunior.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: