Friday, April 30, 2010

Belum sedia jadi isteri orang

BAGAIKAN dirancang, kehadiran penyanyi berbakat, Misha Omar pada sidang media konsert Ramli Sarip Tafsiran Alam: Wisdom of Nature yang diadakan di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini pantas menarik perhatian pihak media dan pengunjung di situ.

pix_middle



Masakan tidak, Misha tampil anggun mengenakan baju kurung warna biru firus menyerlah keayuan umpama gadis Melayu terakhir. Menariknya, dia turut jadi bahan usikan kerana warna itu sama dengan warna tema restoran berkenaan.


Misha yang meminta maaf atas kelewatan hadir pada majlis itu sempat menguntumkan senyuman dan bergurau dengan usikan itu. Ketika itu, Misha menyatakan dia baru saja selesai rakaman program bual bicara, Sehati Sejiwa di Angkasapuri.


Penyanyi popular menerusi lagu Cinta Adam Dan Hawa yang menjadi lagu tema drama Julia Juli, berkata dia masih sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sejak kebelakangan ini.


"Tidak sangka sudah hampir setahun saya menimba pengalaman dalam program ini sejak dimulakan Jun tahun lalu. Tentunya, pengalaman yang diraih cukup menyeronokkan.


"Banyak perkara yang saya belajar dan program ini sebenarnya turut menjadi panduan kepada mereka yang belum berumah tangga seperti saya agar memahami kehidupan suami isteri.


"Berbeza dengan pasangan bercinta, semuanya manis belaka, tetapi apabila berkahwin, pelbagai pengalaman pahit dan manis dilalui bersama. Daripada aspek peribadi, saya berasakan kemahiran komunikasi makin meningkat.


"Saya masih ingat pada awal mengacara program ini dulu, saya tercari-cari rentak hingga menggelabah kerana tidak biasa menjadi pengacara. Bayangkan di telinga kanan mempunyai mikrofon yang disambungkan pada produser.


"Lalu, ketika bersiaran saya perlu dengar arahan sambil fokus pada topik perbincangan dan menunjukkan perasaan mesra dengan tetamu di studio," katanya.

Misha berkata, dalam menguasai bidang pengacaraan dengan baik dia turut melakukan kajian sendiri sebelum ke udara. Selepas sebulan mendapat 'rentak', dia lebih selesa menokok tambah secara spontan.


"Saya sendiri sebenarnya tidak suka terlalu mengikut skrip apabila mengacara. Malah, produksi program itu juga beri kelonggaran kepada saya untuk menceriakan suasana.


"Saya melihat program ini memberi peluang kepada saya untuk mengorek rahsia rumah tangga selebriti termasuk artis. Sejak mengendalikan program ini, saya turut mendapat tawaran mengacara program berkonsepkan kembara," katanya.


Di sebalik kesibukan mengacara, Misha akui dia masih menerima jemputan mengadakan persembahan pentas. Katanya, paling kurang dia mendapat dua persembahan dalam sebulan.Mengenai persediaan konsert bersama Ramli Sarip yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur selama dua malam bermula 10 Mei nanti, Misha menyatakan dia kini banyak berlatih sendiri menerusi lagu sendiri termasuk lagu Ramli bersama Sweet Charity.


"Dalam pada itu, saya bersiap sedia untuk pementasan teater Uda & Dara arahan Datuk Rahim Razali yang akan memulakan latihan bulan depan. Mengikut kisah yang pernah kita dengar, Uda & Dara adalah kisah legenda seperti Romeo dan Juliet versi Melayu.


"Apa yang terlintas di fikiran, saya yang diberi peluang melakonkan watak utama sebagai Dara pastinya membawa cabaran yang berat apatah lagi perlu menampilkan ciri-ciri gadis Melayu.


"Saya sebenarnya bukanlah gadis yang lemah lembut kerana perwatakan saya di luar lebih kasar. Namun, sebelum ini Abang Rahim pernah berkata pada saya, dia akan berusaha 'menggali' karakter Dara dari dalam diri saya.


"Saya percaya watak ini memerlukan ilmu dan latihan yang cukup dan bimbingan Abang Rahim akan banyak membantu saya menghayati lakonan kali ini.


"Ini juga adalah pengalaman teater kedua saya pada tahun ini selepas Gamat 2. Sememangnya ia menjadi impian saya sebagai anak seni yang mahu mencuba pelbagai bidang.


"Jika sebelum ini, saya pernah menyanyi, berlakon dan mengacara, mungkin nanti saya mahu jadi komposer. Saya tidak takut dikecam peminat atas komitmen ini kerana saya melihat ramai artis lain mampu galas cabaran sebegini.


"Bagaimanapun, saya tidak akan lupakan terus bidang nyanyian yang banyak menaikkan nama saya," katanya.


Sambung Misha, dia masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman Sony BMG Music Entertainment untuk penerbitan album baru. Katanya, dia berharap menghasilkan single pada September nanti dan menyifatkan album keempat kali ini lebih matang daripada aspek vokal dan pemilihan lagu.


"Di samping menyanyi, mungkin ramai yang tidak tahu kebelakangan ini saya banyak terima tawaran berlakon drama. Selepas Julia Juli diikuti Lela Latah dan Tiada Lagi, saya turut terbabit berlakon Cinta Si Sukun bersama Faizal Yusof.


"Saya bersama Yusof memainkan watak utama dan karakter sebagai gadis penoreh getah. Penggambaran drama ini sudah dijalankan sebelum Aidiladha tahun lalu, tetapi ia masih belum ditayangkan," katanya.


>PROFIL
NAMA: Samihah @ Aisah Omar
NAMA KOMERSIAL: Misha Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
UMUR: 28 tahun
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengacara
STATUS: Bujang
ANAK ANGKAT: Muhammad Adam Emir, 4
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008)
FILEM: Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta
DRAMA: Jo-Om Balik Raya I dan II
PROGRAM TV: Skrin Video dan Sehati Sejiwa
PENCAPAIAN: Finalis Bintang RTM (2001), Anugerah Artis Baru Pilihan (Anugerah Era, 2003), Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (2003), Anugerah Vokal Terbaik dan Juara (Anugerah Juara Lagu, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan dan Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003), Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era, 2004), Juara Balada dan Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu, 2004), Juara Hitz 1 (2004 & 2006), Persembahan Terbaik Hitz 1 (2006 & 2007).

Kepala digilis motor peragut

KUALA LUMPUR: Hanya topi keledar yang menyelamatkan seorang wanita daripada maut apabila dia dan rakannya terjatuh sebelum kepalanya digilis tayar motosikal penjenayah selepas mereka menjadi mangsa ragut di Taman Seri Andaman, Seksyen 1, Wangsa Maju di sini, Selasa lalu.

NYARIS MAUT... mangsa menunjukkan kesan seretan di topi keledar  akibat dilanggar motosikal peragut.
NYARIS MAUT... mangsa menunjukkan kesan seretan di topi keledar akibat dilanggar motosikal peragut.
Aksi kejam penjenayah terbabit berlaku apabila mangsa cuba mempertahankan beg tangannya daripada ditarik peragut yang menunggang dua motosikal secara berasingan.


Kejadian itu menyebabkan Khairun Husna Mohd Yusop dan Zaimah Omar, kedua-duanya berusia 23 tahun, kini trauma selain cedera di kaki selepas motosikal ditunggangi mereka terjatuh menyebabkan kedua-duanya terseret.


Menurut Khairun Husna, kejadian berlaku jam 8.20 malam ketika dia bersama Zaimah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dia sama sekali tidak menyangka kedua-dua lelaki yang mengekori dengan menunggang dua motosikal berasingan sanggup bertindak demikian.


“Saya baru dua hari bekerja dan menumpang Zaimah yang juga jiran saya untuk ke tempat kerja di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini.


“Kejadian ini benar-benar membuatkan saya trauma, namun tetap bersyukur kerana kami berdua selamat dan hanya mengalami kecederaan,” katanya.


Menceritakan semula kejadian itu, Khairun Husna berkata, Zaimah yang menunggang motosikal pada mulanya sudah mengesyaki mereka diekori dua penjenayah terbabit.


“Zaimah beritahu dia berasa pelik melihat dua lelaki terbabit mengekori motosikal ditunggangi kami.


“Saya terus memegang erat beg tangan yang dibawa sebaik kami berhenti di lampu isyarat,” katanya.

Menurutnya, sejurus kemudian seorang daripada peragut terbabit berhenti bersebelahan motosikal mangsa dan memandang sambil memberikan senyuman manakala seorang lagi berhenti di belakang.


“Sebaik lampu bertukar hijau, kami meneruskan perjalanan dan tidak lama selepas itu, lelaki yang berhenti bersebelahan motosikal kami tadi terus menghampiri saya.


“Secara tiba-tiba, dia menarik beg tangan yang saya pegang dan ketika itu saya cuba melawan dan tidak melepaskan beg itu membuatkan motosikal ditunggangi kami gagal dikawal dan terjatuh,” katanya.


Menurut Khairun Husna, melihat mereka terjatuh peragut terbabit terus memecut motosikal manakala rakan peragut yang masih mengekori terlanggar kepalanya dengan motosikal.“Ketika itu, Zaimah dihempap motosikal dan topi keledarnya tercabut manakala saya pula tercampak sebelum kepala digilis tayar motosikal yang ditunggangi seorang lagi penjenayah.


“Saya hanya mampu menjerit serta menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan hanya menahan kesakitan selain rasa seperti hendak pitam akibat kepala digilis,” katanya.


Menurutnya, dia bernasib baik kerana secara kebetulan abangnya melalui jalan berkenaan sebelum membantu membawa mereka berdua mendapatkan rawatan di hospital.


“Ketika di hospital, doktor memberikan dua suntikan antibiotik selain ubat menahan sakit akibat kecederaan yang dialami.


“Saya kini hanya mampu berehat di rumah kerana belum pulih sepenuhnya untuk bekerja dan kejadian ini memang membuatkan saya trauma memandangkan ia kali pertama dialami,” katanya.


Berikutan kejadian itu, Khairun Husna masih mengalami kesakitan di kepala dan lututnya bengkak teruk selain beberapa kecederaan di siku dan buku lali manakala Zaimah mengalami kecederaan di kaki dan tangan.

Bayi maut jatuh buaian

GOMBAK: Takut dengan bayang-bayang dosa menyebabkan seorang pengasuh cabut lari meninggalkan rumah selepas bayi lelaki berusia 18 bulan yang dijaganya tidak sedarkan diri sebelum mati akibat terjatuh dari buaian di kediamannya.

KONG SUN...mati terjatuh buaian   di rumah pengasuh.
KONG SUN...mati terjatuh buaian di rumah pengasuh.
Suspek wanita berusia 30-an berkenaan dipercayai cuai ketika menjaga bayi lelaki itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala hingga membawa kepada kematian.


Lebih mengecewakan keluarga mangsa apabila bayi lelaki terbabit diserahkan untuk dijaga pengasuh berkenaan tidak sampai lima hari sebelum dilaporkan mati.


Datuk bayi berkenaan, Seng Cheng Lock, 60, berkata cucu lelakinya, Seng Kong Sun, sebelum ini dipelihara anak lelaki serta menantunya sejak dilahirkan.


Menurutnya, pasangan terbabit mengambil keputusan menyerahkan bayi terbabit di bawah jagaan pengasuh selepas menantu perempuannya mengambil keputusan untuk bekerja.


“Bayi terbabit kemudian dihantar kepada pengasuh berkenaan di rumahnya di sebuah pangsapuri di Batu Caves.


“Sepanjang lebih empat hari dijaga pengasuh terbabit, tiada sesuatu yang pelik berlaku kerana kami menyangka bayi berkenaan dijaga dengan penuh perhatian dan selamat di bawah jagaan wanita yang mempunyai pengalaman sama menjaga bayi sebelum ini,” katanya.


Bagaimanapun, dia mula tidak sedap hati apabila wanita terbabit tiba-tiba menghubunginya dan meminta salinan sijil kelahiran bayi terbabit tanpa menyatakan alasan konkrit.


“Berikutan itu, saya menghantar salinan fotostat sijil kelahiran itu ke rumah pengasuh berkenaan sebelum pulang. Namun, tak sampai setengah jam kemudian, wanita terbabit menghubungi saya dan memberitahu cucu saya terjatuh dari buaian.

“Apa yang saya tahu, cucu saya yang tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke sebuah klinik swasta sebelum doktor mengesahkan dia sudah meninggal,” katanya.


Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.


“Namun, agak mengejutkan apabila pengasuh wanita terbabit menghilangkan diri sejurus kejadian seolah-olah enggan bertanggungjawab selain menyembunyikan sesuatu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, yang dihubungi berkata, bedah siasat mengesahkan bayi berkenaan mati akibat kecederaan di bahagian kepala dan bukan berpunca daripada didera.Menurutnya, walaupun kematian bayi terbabit tidak membabitkan unsur jenayah, namun siasatan akan diteruskan bagi memastikan bagaimana kejadian terbabit boleh berlaku.

Cuma dua penghalang

KETUA jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengecilkan lagi bilangan pencabar utama yang dijangka mampu menggugat peluang negara untuk menjuarai Piala Thomas kali ini kepada dua - China dan Indonesia.

PUPUK SETIAKAWAN... Ahmad Shabery bersama timbalannya Datuk Razali  Ibrahim meraikan pemain Piala Thomas dan Piala Uber negara pada jamuan  tengah hari, semalam.
PUPUK SETIAKAWAN... Ahmad Shabery bersama timbalannya Datuk Razali Ibrahim meraikan pemain Piala Thomas dan Piala Uber negara pada jamuan tengah hari, semalam.
Beliau menyifatkan dua pasukan terbabit mempunyai kekuatan seimbang dengan skuad negara dan mana-mana pasukan yang mempunyai ketahanan mental, mereka akan bergelar juara edisi ke-26 ini.


“Kalau kita lihat senarai pemain setiap pasukan, hanya China dan Indonesia yang kuat, tapi bagi saya peluang mereka dan kita seimbang, masing-masing dengan peluang 50 peratus,” kata Rashid, ditemui selepas Majlis Makan Tengah Hari skuad Piala Thomas/Uber 2010 bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di KLGCC, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.


Telahan Rashid itu turut bersandarkan rekod pertemuan dan prestasi semasa pemain negara, di samping faktor pasukan lain seperti Denmark dan Korea Selatan yang terpaksa memanggil semula pemain yang sudah bersara iaitu Kenneth Jonassen dan Lee Hyun Il.


“Jika kita membuat analisa terperinci, peluang kita lebih baik untuk bergelar juara kerana beraksi di tempat sendiri selain setiap pemain kita pernah menewaskan pemain lawan, begitu juga sebaliknya,” kata Rashid lagi.


Pada saingan 2008 di Jakarta, Indonesia, Malaysia tewas 2-3 kepada China di separuh akhir yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menewaskan Lin Dan manakala Fairuzizuan Tazari- Mohd Zakry Latif menewaskan Guo Zhendong-Xie Zhongbo.


“Sebenarnya peluang kita kali ini lebih baik berbanding 2008. Apa yang penting sekarang adalah peranan pemain, mereka perlu beraksi sepenuh hati memberikan persembahan sepenuh keringat setiap kali turun beraksi,” kata Rashid mahu pemain memberi komitmen sepanjang kejohanan.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery gembira semangat sepasukan yang disifatkan semakin jitu di kalangan pemain.


“Saya adakan majlis makan tengah hari ini untuk mengukuhkan lagi jalinan semangat sepasukan di kalangan pemain dan saya amat gembira melihat kemesraan antara mereka. Malah saya lihat pemain lebih bersemangat selepas menjalani Kem Bina Semangat dan perlawanan simulasi,” katanya yang menganggap pemain sudah bersedia merangkul Piala Thomas kali ini.

Komited capai 10%

GCH Retail (M) Sdn Bhd, pemilik rangkaian pasar raya besar Giant di negara ini, komited untuk menambah jumlah jualan disumbangkan segmen pengusaha kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera sehingga 10 peratus menjelang akhir tahun ini berbanding hanya lapan peratus ketika ini.

SOKONG...Ismail Sabri (tiga dari kiri) ketika merasmikan kempen  penurunan harga barang di pasar raya Giant Kinrara, semalam.
SOKONG...Ismail Sabri (tiga dari kiri) ketika merasmikan kempen penurunan harga barang di pasar raya Giant Kinrara, semalam.
Ketua Pegawai Operasinya, Tom Herriott, berkata pihaknya percaya dengan ruang diberikan Giant akan membantu bukan hanya PKS Bumiputera, malah semua pengusaha di negara ini dalam memberi lebih banyak pilihan produk kepada pelanggan.


Beliau berkata, sempena program Produk Malaysia, Cita Rasa Kita (PMCK) dan Kempen Penurunan Harga Giant (KPHG), ia turut memberi ruang kepada usahawan PKS memasarkan dan mempromosi produk mereka terus kepada pengunjung.


“Program PMCK berlangsung selama 14 hari mulai semalam hingga 12 Mei ini dan kami sudah menambah 30 PKS Bumiputera baru yang akan mempromosikan produk mereka.


“Kami komited memberi lebih banyak peluang kepada PKS, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor peruncitan di negara ini,” katanya pada majlis perasmian program PMCK dan kempen KPHG di Bandar Kinrara, Puchong, semalam yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama Pengarah Rantau Asa Timur Dairy Farm International, Datuk John Coyle.


Herriott berkata, sehingga kini, Giant sudah mempunyai lebih 285 PKS Bumiputera membabitkan 3,850 produk dan sepanjang PMCK, lebih 300 produk baru diperkenalkan.


Menurutnya, bagi KPHG, tahun lalu Giant berjaya memberi penjimatan lebih RM8 juta dan kali ini kempen yang bermula semalam hingga 31 Disember depan akan memberi potongan harga sehingga 80 peratus bagi lebih 1,000 produk.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKS perlu memenuhi keperluan asas sebelum cuba memasuki mana-mana pasar raya besar sama ada dari segi kualiti produk, pembungkusan mahupun kapasiti edaran.

Cheryl kekal paling seksi

LONDON: Hidupnya mungkin merana tapi penyanyi Cheryl Cole, 26, kekal sebagai Wanita Paling Seksi Dunia majalah FHM untuk tahun kedua berturut-turut.

CHERYL...tumpuan media.
CHERYL...tumpuan media.
Hakim rancangan X Factor itu mengungguli senarai 100 wanita terseksi FHM, mengatasi aktres Hollywood, Megan Fox dan model bikini, Marissa Miller.

Nasib Cheryl pada tahun lalu umpama roller coaster apabila dia berjaya sebagai artis solo tapi kemudian berpisah dengan suaminya, Ashley Cole.

Bintang filem Transformers, Megan, 23, gagal merampas gelaran itu daripada Cheryl untuk tahun kedua berturut-turut meskipun mendedahkan sebahagian besar tubuhnya dalam iklan pakaian dalam Armani.

Aktres filem Twilight, Kristen Stewart menjadi pendatang baru menduduki antara tempat teratas apabila tersenarai di tangga keenam.

Frankie Sandford pula berada di tempat keempat manakala dua model, Kelly Brook dan Keeley Hazell turut berada di 10 tempat teratas.

Satu-satunya isteri bintang bola sepak yang tersenarai dalam 10 tempat teratas ialah tunang Peter Crouch, Abbey Clancy yang berada di tempat ke-10.Ketua Pengarang FHM, Colin Kennedy berkata, Cheryl menjadi pilihan utama sejuta peminat yang terbabit dalam pengundian itu.


“Dia menjadi tumpuan media sejak 12 bulan lalu. Tidak hairanlah jika Cheryl menjadi pilihan ramai peminat dan meninggalkan pencabar lain jauh di belakang,” katanya.

Wayang RM5

KUALA LUMPUR: Dengan bayaran serendah RM5, sebuah pusat Internet di Danau Kota, Setapak, dekat sini, menawarkan ratusan filem tidak ditapis bagi tontonan kaki wayang yang tidak mahu berbelanja lebih.

PILIH...pelanggan boleh memilih bukan saja filem, malah  lagu MP3,  klip video lagu dan permainan komputer.
PILIH...pelanggan boleh memilih bukan saja filem, malah lagu MP3, klip video lagu dan permainan komputer.

PELBAGAI...pelanggan disajikan filem dan drama bersiri tv terbaru. TONTON...pengunjung pusat Internet terbabit menonton filem.


PELBAGAI...pelanggan disajikan filem dan drama bersiri tv terbaru.
Pelanggan hanya perlu membayar nilai serendah itu bagi menggunakan komputer selama tiga jam yang boleh dihabiskan bagi menonton dua filem.


Bagi yang tidak puas, mereka boleh mengeluarkan RM12 bagi bayaran untuk setengah hari.


Metroplus yang melakukan tinjauan di premis terbabit baru-baru ini, mendapati hampir ratusan filem baru dan lama disediakan bagi tontonan pelanggan.


Lebih mengejutkan, filem berkenaan dipercayai filem cetak rompak berdasarkan kualiti gambar serta suaranya yang teruk.


Filem berkenaan juga difahamkan dimasukkan ke dalam pelayan komputer yang boleh diakses semua komputer di premis itu.


Ia dipercayai taktik bagi memudahkan pemilik atau pekerja mematikan sistem berkenaan jika serbuan mengejut pihak berkuasa.


Pelanggan akan teruja apabila mendapati filem ‘box office’ terbaru seperti Avatar dan Legion dimasukkan dalam senarai pilihan. Selain itu, pengusaha terbabit menawarkan pelbagai genre pilihan filem dari Hong Kong sehingga drama bersiri tv.


Keadaannya sama seperti pusat Internet lain, malah terkenal sebagai lokasi pilihan penggemar permainan online dan filem murah ini.

Metroplus difahamkan, kegiatan itu sudah lama dilakukan pemilik premis terbabit.


Kelicikan pemilik pusat Internet itu yang boleh mematikan sistem pelayan komputer dengan pantas menyebabkan mereka mudah mengelak dikesan pihak pemegang hak cipta filem mahupun pihak berkuasa terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).


Pelanggan bukan saja disajikan ratusan filem, malah boleh memilih dari puluhan servis hiburan media yang disediakan, termasuk lagu MP3, klip video lagu sehingga permainan komputer yang diragui ketulenannya.


Sementara itu, Pengarah Unit Hak Cipta KPDNKK, Mohd Ismail Md Yunus, ketika dihubungi memberitahu mereka sentiasa membanteras aktiviti lanun cetak rompak, namun kerjasama pengedar atau syarikat filem berkenaan amat diperlukan.“Kami tidak dapat mengambil tindakan selagi tidak menerima aduan pengedar filem dan jika ada, kami sentiasa bertindak malahan selama ini kami tidak memandang mudah perkara sebegini.


“Operasi ke premis juga perlu disertai pihak pengedar serta syarikat filem bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka,” katanya. Ismail berkata, mereka boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Hak Cipta kerana memiliki dan menyiarkan filem cetak rompak.

Kamus al-Quran pertama dalam Bahasa Melayu


Dr. zulkifli mohd. Yusof pada sesi bersama penulis di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PELBAGAI usaha dilakukan sarjana Islam bagi mengupas, dan mengkaji segala kandungan yang wujud di dalam al-Quran. Ia bertujuan supaya manusia selalu di bawah naungannya dan mendapat hidayah yang menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Antara usaha-usaha suci ini adalah melalui pentafsiran dan pentakwilan al-Quran. Ini kerana, tidak semua individu memahami dan mengetahui makna kitab suci itu.

Penerbitan Kamus al-Quran dalam bahasa Melayu adalah antara yang pertama dilakukan bagi memahami isi al-Quran.

Kamus al-Quran itu diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. dan mendapat sambutan ramai.

"Kami melakukan kajian selama tiga tahun untuk menyempurnakan kamus ini. Kami berjaya menggabungkan pelbagai tafsir al-Quran untuk mendapatkan makna paling tepat bagi setiap perkataan.

"Kedudukan dan jumlah perkataan dalam al-Quran juga dianalisis dengan teliti hingga membolehkan pembaca yang buta bahasa Arab memahami perbezaan ataupun persamaan pada lafaz dan ayat yang berbeza," ujar ketua panel penerbitan kamus itu, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dibantu 18 ahli panel dan penyelidik.

Memandangkan ia disusun berdasarkan entri mengikut abjad, pembaca boleh menentukan entri yang ingin dikaji tanpa perlu terikat pada turutan surah atau ayat.

Pembaca hanya perlu mencari perkataan berdasarkan ejaan dalam bahasa arab.

Sebagai contoh untuk mencari makna adiyat pembaca perlu mencari di huruf ('ain) bukan (alif). Ini kerana indeks kamus ini mengikut huruf arab.

"Kamus al-Quran ini bukan sekadar kamus untuk menterjemah dan menerangkan maksud perkataan penting dalam al-Quran, ia sebenarnya adalah tafsir kepada perkataan itu.

"Dalam erti kata lain, ia adalah tafsir perkataan dalam al-Quran atau disebut tafsir al-Quran bertema iaitu berasaskan perkataan," kata Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Faris Hasbullah.

Kamus ini disyorkan untuk menambah perbendaharaan kata dan seterusnya memahami perkataan dalam al-Quran.

Juga sesuai untuk aktiviti berkumpulan bagi memahami dan mengkaji setiap perkataan dan berkongsi untuk pemahaman semua.

Lebih menarik, Kamus al-Quran ini juga boleh menjadi rujukan bagi ibu bapa untuk mencari nama kepada anak mereka.

Al-Quran adalah kalam Allah yang penuh dengan 1,001 mukjizat yang tidak dapat ditandingi. Ia adalah sumber ilmu pertama dan utama bagi umat manusia.

Kitab itu mencakupi segala apa yang diinginkan, menjelaskan segala yang samar, menyentuh semua aspek kehidupan, lengkap dan tiada satu perkara pun tertinggal daripada huraiannya.

Allah menegaskan: Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab (al-Quran) ini. (al-An'am: 38)

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Kamus al-Quran ini membuka lembaran baru kepada umat Islam di Malaysia untuk memahami kalam Allah itu dengan lebih berkesan.

Belian secara langsung boleh dibuat di www.bookcafe.com.my.

Mediu tawar program bahasa Arab


Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi (tengah) semasa mengumumkan program Bahasa Arab Mediu di Shah Alam, Selangor.


KINI anda bukan sahaja berpeluang mempelajari Bahasa Arab tetapi dijamin dapat mempelajari bahasa itu dengan mudah.

Demikian ikrar Universiti Antarabangsa al Madinah (Mediu) Cawangan Malaysia di Shah Alam, Selangor.

Sebagai universiti yang berorientasi pembelajaran dan pengajaran melalui dunia siber, ini menjadikan bahasa Arab semakin mudah dipelajari oleh para pelajar tanpa mengira latar belakang.

Justeru, Mediu baru-baru ini melancarkan program atau sistem pengajian bahasa Arab, 1 Malaysia Speak Arabic.

Sistem ini membolehkan setiap pelajar mempelajari dan menguasai bahasa Arab dengan kaedah-kaedah yang lebih mudah dan berkesan.

Ia dibangunkan melalui gabungan modul-modul bahasa Arab dari Madinah dan sistem teknologi maklumat daripada pakar-pakar tempatan.

Memperkenalkan sistem pengajian

Semasa melancarkan program itu, Rektor Mediu, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi berkata, 1Malaysia Speak Arabic bertujuan memperkenalkan sistem pengajian bahasa Arab khas untuk masyarakat yang bukan berbangsa Arab.

Ia supaya mereka juga dapat menimba banyak faedah dan manfaat daripada bahasa itu terutama dalam pelbagai urusan.

Lebih-lebih lagi dalam ibadah, ilmu pengetahuan dan pendidikan, perniagaan, pelancongan dan sebagainya.

Kata beliau, inisiatif ini diambil atas kesedaran bahawa Bahasa Arab mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu bahasa yang paling utama di dunia pada masa akan datang.

"Pelancaran program ini, memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan keturunan mempelajari Bahasa Arab sehingga mampu menguasai dalam tempoh yang singkat.

"Mereka yang mendaftar awal layak menikmati promosi diskaun yuran pengajian sehingga 60 peratus untuk tempoh selama enam bulan, iaitu RM600 berbanding yuran asal RM1,400," kata Dr. Muhammad Khalifa.

Sama ada mempelajarinya daripada peringkat asas, para pelajar bagi kursus jangka pendek ini juga akan mempelajari bahasa Bahasa Arab dari pelbagai aspek kemahiran yang merangkumi perniagaan, perubatan, kejuruteraan, penyiaran.

Muhammad Khalifa juga menjangka, para pelajar akan mempunyai persepsi yang lebih positif mengenai Bahasa Arab.

Sekaligus membetulkan persepsi selama ini bahawa bahasa Arab dikatakan sukar, perlu menghafal dan mengambil masa yang lama, bertahun-tahun untuk menguasainya.

"Ini kerana dengan menggunakan kaedah kemajuan teknologi maklumat, ia menjadikan pembelajaran bahasa Arab itu lebih menarik, interaktif dan boleh dipelajari di mana sahaja, selagi seseorang pelajar itu berada dalam talian.

"Seperti yang disaksikan sendiri, didapati tanpa mengunakan sebarang bahan cetak atau buku serta kitab mempelajari bahasa Arab melalui Internet ini adalah sangat menarik," tambahnya.

Di samping penguasaan sepenuhnya terhadap kaedah audio dan visual yang canggih, para pelajar dapat meneroka keindahan bahasa ini mengikut pelbagai bidang gunaannya.

Lebih menarik lagi, kursus bahasa Arab turut diajar dengan menggunakan dwi bahasa, iaitu bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program, hubungi Mediu di talian 03-5511 3939.

Jejak Prihatin buka mata, minda masyarakat


Fatimah Ahmad tidak pernah menyesal dengan nasib yang menimpanya.


Selesai sarapan pada pagi Jumaat lalu, rombongan Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama sekumpulan wartawan memulakan perjalanan bagi menjejaki golongan daif dan miskin di kawasan utara tanah air.

Golongan yang dijejaki menerusi program Jejak Prihatin IRM itu rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ada antaranya semakin dimamah usia dan tidak pernah tahu apa itu erti pembangunan dan kemajuan.

Dengan tinggal pula di rumah usang yang atapnya sudah tiris, dinding pula diperbuat daripada papan lapis yang hampir runtuh akibat dimakan anai-anai mereka hanya hidup kais pagi makan pagi.

Rumah serba daif yang menunggu hari untuk rebah menyembah bumi tidak ada bekalan air bersih dan elektrik.

Semuanya kerana tiada kemampuan. Gaji yang diperoleh hanya cukup untuk hari itu sahaja. Malah makan nasi berlaukkan garam perkara biasa. Jika ada ikan masin sudah dikira mewah.

Malah kedaifan mereka itu tambah membebankan dengan tanggungan yang ramai, masalah kesihatan yang memerlukan rawatan berkala dan kos perubatan yang semakin meningkat, kehilangan tempat bergantung serta kudrat tulang empat kerat yang semakin uzur.

Paling memilukan apabila melihat anak-anak kecil yang masih belum mengenal erti sebenar kehidupan, sudah bergelar yatim.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin itulah peribahasa paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan kehidupan 11 penerima manfaat menerusi program ziarah IRM, 'Jejak Prihatin' itu.

Misi kemanusiaan IRM itu disertai oleh beberapa pengamal media cetak dan elektronik dari Kuala Lumpur.

Skuad IRM diketuai oleh Pengurus Negaranya, Zawahir Abdullah yang turut dibantu oleh Farouq Zauji, Siti Mardiana Abdullah, Ahmad Safuan Mazalan serta tidak ketinggalan para sukarelawan IRM Bahagian Utara.

Rombongan dibawa bertandang dan beramah mesra dengan para penerima manfaat terpilih dari beberapa kampung yang terletak di sekitar Kedah dan Perlis.

Destinasi pertama pada pagi Jumaat lalu yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang 45 minit dari hotel ialah Kampung Sungai Dedap, Yan, Kedah.

Walaupun terpaksa meredah laluan sempit yang dipenuhi belukar kira-kira 10 kilometer dari jalan besar, ia tidak melemahkan anggota misi kemanusiaan IRM untuk bertemu dengan pasangan Abdullah Ishak dan Khadijah Yaakob yang tinggal bersama anak, menantu dan lima orang cucu mereka, termasuk seorang daripadanya kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Kudrat tua tidak lagi mengizinkan Abdullah turun ke laut. Pada usia pertengahan 70-an, Abdullah dan isteri, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada anak lelakinya yang sekadar bekerja mengambil upah di sawah dan membawa jentera membajak dengan bayaran RM13 sehari.

Destinasi diteruskan ke Kampung Permatang Bongor, Kota Sarang Semut, Kedah bertemu pula dengan ibu tunggal muda, Umai Zarikiah Abdul Hamid, 41, dan adik iparnya yang juga senasib, Atishah Mohd. Noor, 40.

"Sejak suami disahkan mengidap penyakit jantung kira-kira tiga tahun lalu, saya terpaksa melakukan pelbagai kerja demi menyara kami tujuh beranak serta kos rawatan suami yang kerap tinggal di hospital.

"Setelah kematian suami pada awal Disember 2009, saya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan anak-anak.

"Pendapatan hasil jualan nasi lemak tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan perbelanjaan empat anak yang masih bersekolah. Ada juga saya minta bantuan, tetapi belum ada khabar beritanya.

"Saya berharap sangat dengan bantuan, terutamanya untuk pendidikan dan perubatan anak-anak. Hendak harapkan bapa mertua, Mohd. Noor Mohd. Isa, 65, dia juga sudah semakin uzur, ditambah pula dengan penyakit asmanya yang semakin kerap menyerang," kata Umai Zarikiah.

Dia turut dibantu anak sulungnya, Mohd. Shafizi yang mengambil alih kerja datuknya di bendang yang disewa.

Hati bertambah pilu sebaik menjejakkan kaki di Kampung Masjid Lama, Teluk Chengai, Kuala Kedah. Che Rhani Puteh, 55, berstatus ibu tunggal lebih 20 tahun lalu. Dia kini tinggal dengan anak perempuannya, Azian Abdullah, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sudahlah dirinya tidak sihat kerana menderita barah usus sejak beberapa tahun lalu. Bebanannya bertambah kerana terpaksa meneruskan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Biar sehebat mana dugaan wanita ini, dia reda dengan takdir Ilahi. Hendak menangis pun sudah kering air matanya. Malah tanggungjawab memelihara ibu yang dipikul sejak bujang tetap diteruskan sampai sekarang. Kini, Som Man sudah mencecah usia 106 tahun, masih mampu berjalan walaupun sudah bongkok tiga.

Kami bertemu pula dengan tiga anak pasangan Fatimah Awang Ahmad, 40, dan Che Omar yang meninggal tujuh tahun lalu kerana penyakit kencing manis di Kampung Pulau Binjai, Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah.

Kasihan mendengar cerita anak sulung pasangan ini, Muhammad Syafiq, 17, yang disahkan mengidap kencing manis seawal usianya 12 tahun. Dia kini bukan sahaja terpaksa mendapatkan rawatan berkala daripada doktor pakar di HSB tetapi terpaksa melakukan suntikan insulin di rumah.

Menoreh getah

Katanya, pekerjaan ibu yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kurang RM450 memang membebankan mereka sekeluarga. Malah bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mampu menampung perbelanjaan persekolahan dua lagi adiknya, Nursyafinas, 13, dan Muhammad Syamir Azri, 7 tahun.

Di daerah yang sama, kami singgah pula ke Kampung Padang Kunyit bertemu dengan ibu tunggal kematian suami, Fatimah Ahmad, 42. Dia berseorangan memelihara tujuh anak-anaknya antara usia enam hingga 22 tahun sejak lima tahun lalu.

Pekerjaan anak sulungnya sebagai buruh kasar serta sumbangan RM450 dari JKM tidak mencukupi bagi mereka anak-beranak. Malah, Fatimah menggunakan sedikit kemahirannya menjahit untuk mengambil upah menjahit baju dengan harga tidak sampai RM25 sepasang. Itupun bukannya selalu menerima tempahan.

"Alhamdulillah, dengan adanya tanah pusaka daripada arwah suami, hidup kami ini tidaklah merempat. Saya juga menolong menjaga ibu yang tinggal di rumah berdekatan," katanya yang memerlukan bantuan berupa mesin jahitan.

'Jejak Prihatin' menutup tirainya dengan kunjungan ke rumah dua beranak, Robiah Samat, 67, dan ibunya, Embon Salih, 98.

Kata Robiah, sebelum ini dia melakukan kerja-kerja menoreh getah tetapi kerana keuzuran, dia kini mengambil upah mengopek ikan bilis dengan bayaran 80 sen sekilo.

Yang pastinya, penat hari itu tidak seberapa berbanding kisah keperitan dan penderitaan yang ditanggung penerima manfaat.

Erti kesusahan inilah yang perlu disebarkan kepada masyarakat kita, terutamanya generasi kini yang realitinya tidak pernah susah. Mereka perlu dididik supaya dapat menyelami jerit perih, sekali gus belajar memberi daripada meminta semata-mata.

IRM rancang lebih banyak program


IRM bersama rakan-rakan sukarelawan yang berbilang bangsa berkunjung ke rumah kebajikan yang majoritinya berbangsa Cina.


PROGRAM 'Jejak Prihatin' merupakan antara program tempatan terbaru yang direncanakan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) tahun ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Malah untuk program sulung ini, kita telah memfokuskan masyarakat di sekitar Perlis dan Kedah dahulu.

"Insya-Allah, kita akan menjelajahi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dalam menghulurkan bantuan. Selain mensasarkan sekitar Lembah Klang sebagai destinasi terakhir program.

"Sebenarnya, ini merupakan program berterusan pihak kami dalam membantu golongan sasaran. Pada masa sama, kami juga akan turut mengusahakan penaja sama ada daripada individu, korporat ataupun organisasi yang prihatin untuk turut serta berganding bahu dalam menjayakan program ini."

Demikian kata Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah mengulas mengenai program tiga hari dua malam itu yang berakhir di Kampung Tebing Tinggi, Bintong, Kangar, Perlis, sekali gus penamat program bantuan kemanusiaan kepada 11 keluarga di sekitar utara Semenanjung Malaysia itu.

Uniknya, program Jejak Prihatin ini kata Zawahir, konsep perlaksanaan bantuan yang diketengahkan adalah agak berbeza. Di mana IRM mempraktikkan pendekatan menerusi ziarah atau kunjungan ke rumah penerima manfaat itu sendiri.

"Kami lakukan sebegini kerana menerusi kunjungan itulah, kita dapat menilai, seterusnya dapat merasai kesusahan yang mereka hadapi selama ini.

"Daripada data yang diperoleh itu nanti, berkemungkinan para penerima ini turut layak menerima bantuan-bantuan lain yang sudah sedia ada dilaksanakan oleh IRM.

"Dalam kunjungan itu juga, pihak IRM akan menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan bagi meringankan beban kesusahan penerima manfaat yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang dikehendaki IRM," jelas beliau.

Di samping itu, untuk tahun ini juga IRM memperkenalkan konsep Penajaan Anak Yatim. Kata Zawahir, menyedari hakikat dan berpegang kepada misi kemanusiaan, konsep penajaan One to One ini bagi membantu anak-anak yatim dengan memfokuskan kepada pendidikan dan juga kesihatan.

"Projek unik ini membolehkan orang ramai terutama masyarakat dunia sama-sama menghulurkan bantuan dalam memberi kehidupan kepada anak-anak yatim," katanya.

Melalui program berbentuk pakej penajaan, ia memberi peluang kepada orang ramai yang prihatin membuat penajaan sehingga anak-anak yatim itu berumur 18 tahun.

"Anak-anak yatim itu berpeluang menikmati kehidupan seperti insan biasa tanpa perlu meninggalkan rumah mereka.

"Setiap penaja atau keluarga angkat tersebut akan berpeluang untuk mendapat laporan secara eksklusif mengenai perkembangan anak-anak yatim tersebut," ujarnya.

Sumbangan ini akan membolehkan anak-anak yatim ini memperoleh makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan juga sokongan moral.

Manakala menerusi menerusi Underprivileged Children Edutainment Programme atau Program Pendidikan Melalui Hiburan tambah Zawahir, ia merupakan salah satu program kebajikan anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Melalui program itu katanya lagi, para sukarelawan akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah kebajikan dan mengadakan berbagai aktiviti bersama kanak-kanak di rumah tersebut.

Objektif utama program ini adalah memberi pendedahan, membina kemahiran berkomunikasi, bekerjasama dan bersosial di dalam suasana santai dan penuh keceriaan.

"Program sebegini juga sering menjadi platform bagi para sukarelawan IRM meluangkan masa sambil berkongsi juadah dan cenderahati bersama kanak-kanak tersebut," katanya.

Menurut Zawahir, tahun ini adalah tahun kelima IRM beroperasi di Asia dalam memberi perkhidmatan kemanusiaan sejagat.

Lanjutan itu, pelbagai program kemanusiaan telah dirancang untuk tahun 2010 sama ada peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa.

Program yang dirancang ini meliputi program bantuan kemanusiaan yang melibatkan golongan fakir miskin, golongan OKU, anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan.

Saran Zawahir lagi, IRM amat menggalakkan aktiviti sukarelawan di kalangan masyarakat Malaysia untuk membantu usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan, sama ada di peringkat tempatan mahupun di luar negara.

Setakat ini, IRM mempunyai seramai 750 sukarelawan yang telah berdaftar dalam memberi sokongan dan bantuan kepada aktiviti-aktiviti kami.

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan pelajar sekolah, siswazah, pegawai kerajaan, suri rumah dan juga golongan profesional.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha IRM atau menghulurkan bantuan, anda boleh layari laman web kami di www.irm.org.my atau hubungi Farouq Zauji di talian 03-8948 6334.

Anda juga boleh berkunjung ke pejabat IRM di Taman Sri Serdang, Selangor.

Bengkel buat roti dapat sambutan


Chef Peter Lim Fong Mun tekun memberi penerangan kepada para peserta bengkel.


KARAKTERNYA nampak kasar dan garang tetapi semakin lama mengenali lelaki ini, dia sebenarnya mudah mesra malah pandai buat lawak.

Lebih penting dia tidak lokek ilmu untuk dikongsi bersama para peserta yang mengikuti bengkel membuat roti pada petang itu.

"Kalau saya lokek ilmu macam mana mahu ajar orang. Lagi pun lebih ramai orang pandai lebih bagus," katanya dalam pelat Cinanya.

Kemas dengan 'uniform' putih rasminya, Chef Peter Lim Fong Mun atau lebih mesra dengan panggilan Chef Peter, nampak cukup profesional dan tahu apa yang dilakukan.

Dapur Lam Soon yang terletak di Kompleks Lam Soon, Senai, Johor, umpama gelanggang tempat dia menampilkan kemahiran dan kebolehan.

Sesekali dapur yang lengkap dengan segala peralatan moden itu bergema dengan derai ketawa para peserta bengkel gara-gara lawak selamba Chef Peter.

"Yis dia tak kawan dengan garam. Kalau awak campur nanti yis merajuk tak mahu naik," selorohnya.

Nyata dia punya cara tersendiri untuk menyampaikan petua-petua masakan yang dikutip hasil pengamatannya selama 25 tahun dalam bidang masakan khususnya pembuatan roti dan produk bakeri

Menurut Peter, sebenarnya banyak petua memasak yang tidak boleh diperoleh dalam buku sebaliknya sekadar menggunakan logik akal yang terbit ketika sedang memasak.

Sebab itu katanya, dia lebih gemar mengendalikan kelas masakan yang disertakan dengan praktikal (hands on) dan bukannya sekadar teori.

"Macam hari ini para peserta bukan saja diberi nota tetapi bahan masakan yang lengkap untuk mereka buat sendiri," katanya sambil jari menuding seorang peserta agar menambah kelajuan pada mesin penguli doh.

Menurutnya, membuat roti sebenarnya mudah kalau doh asasnya dibuat dengan betul dan mengikut peraturan yang tepat.

"Daripada satu doh asas ini boleh dibuat macam-macam jenis roti. Hari ini saja dengan satu doh ini kita dapat buat tiga atau empat roti termasuk roti krim, cheese stick, roti sosej dan roti kacang walnut.

"Apa yang penting ikut sukatan dan peraturan yang betul supaya roti betul-betul lembut dan teksturnya halus," katanya.

Sebagai Eksekutif Kanan Institusi & Perkhidmatan Makanan di Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Chef Peter berperanan mempromosikan penggunaan produk jenama Diasy seperti marjerin, lelemak dan produk barkeri lain.

Dia juga bertanggungjawab mengendalikan pelbagai bengkel memasak untuk pengusaha-pengusaha barkeri dari di dalam mahu pun luar negara.

Bagi memenuhi tugas itu, dia mengakui, perlu sentiasa peka dengan trend dan teknik terkini dalam industri yang diceburi.

Selain itu dari semasa ke semasa dia turut membangunkan resipi-resipi baru untuk diterbitkan dalam risalah-risalah resipi yang dihasilkan Lam Soon untuk pengguna.

Dalam pada itu, bagi yang ketinggalan mengikuti tunjuk ajar dan celoteh Chef Peter, tidak perlu berasa terkilan kerana Bengkel Eksklusif Mega Bersama Daisy akan diteruskan dengan beberapa siri berikutnya.

Paling hampir pada 19 Jun ini iaitu untuk Bengkel Kek Cawan dan Donut di mana peserta berpeluang untuk belajar menyediakan sendiri donat kegemaran mereka mengikut dekorasi masing-masing.

Ini akan diikuti dengan Bengkel Roti dan Pasta Berkhasiat (10 Julai); Biskut Hari Raya (31 Julai); Kek Dan Biskut Hari Raya (7 Ogos) dan Pai dan Tat Manis (9 Oktober).

Kesemua bengkel diadakan di Kompleks Lam Soon, di Senai, Johor. Yuran sebanyak RM125 hingga RM200 dikenakan mengikut siri-siri tertentu.

Peserta yang berminat boleh membuat pembayaran tunai semasa pendaftaran atau dengan menghantar borang yang tertera di bawah ke pejabat Utusan Malaysia dengan menandakan siri bengkel yang ingin disertai.

Penyertaan adalah terhad kepada 50 peserta terawal. Keterangan lanjut hubungi Jabatan Pengurusan jenama di talian 03- 92877777 atau email kepada lieya@utusan.com.my/dino@utusan.my.

Keenakan sos Tera-Thai


Azilah Khalid bersama set BBQ yang menyelerakan di Tera-Thai Fine Dine.


JIKA anda penggemar set BBQ di bandar raya Johor Bahru, kunjungan ke sebuah restoran eksklusif, Tera-Thai Fine Dine pasti

berbaloi.

Dengan bayaran hanya RM38.80, muncul sepinggan besar makanan laut seperti kupang, udang, ikan dan sotong selain ayam dan daging yang panas dalam aroma cukup menyelerakan.

Seandainya ingin menambah menu sampingan, usah gundah di hati. Nasi goreng Thai, kerabu mangga dan Tom Yam Nam Sai sedia menanti untuk ditempah pada harga yang berpatutan.

Pemilik restoran berkenaan, Azilah Khalid berkata, keistimewaan set BBQ itu terletak pada tiga sos asli dari Thailand yang disediakan oleh tiga chef negara berkenaan diketuai Chef Suparat.

Menurutnya, setiap sos tersebut iaitu sos daging, sos makanan laut dan sos ayam mempunyai ramuan tersendiri dan sukar untuk ditemui di tempat lain.

"Kami menjanjikan kualiti makanan dan perkhidmatan yang terbaik di Tera-Thai bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

"Mereka pasti terkejut kerana set BBQ yang dicicah dengan kesemua sos itu mampu membangkitkan selera menerusi campuran rasa pedas, masam dan manis," katanya.

Wanita yang fasih bertutur bahasa Thai itu berkata, Tera-Thai menyediakan set makanan itu selepas pukul 6 petang namun pengunjung yang ingin menikmatinya pada waktu tengah hari perlu menempah terlebih awal.

Ia bagi membolehkan pengunjung tidak menunggu lama hidangan tersebut untuk disiapkan selain memboleh set BBQ itu dipanggang dengan garing dan masak sepenuhnya.

"Pengenalan menu ini sejak awal bulan lalu merupakan komitmen kami untuk memberi kepelbagaian menu kepada pengunjung.

"Saya pasti ramai yang akan menggemarinya dan mahu datang kembali ke sini untuk menikmatinya lagi selain turut terpikat dengan menu-menu yang lain," katanya.

Azilah yang merupakan anak jati Johor dan pernah menetap di Bangkok selama tujuh tahun berkata, pengunjung boleh memilih untuk menjamu selera di dalam restoran atau di gazebo.

Katanya, Tera-Thai ingin memberi pengunjung kebebasan memilih sama ada mereka menggemari suasana berhawa dingin atau hembusan angin luar menyamankan.

"Justeru, keunikan Tera-Thai ini yang memberi peluang sama ada pengunjung duduk di atas kerusi dalam restoran atau bersila di gazebo mampu memenuhi kehendak pengunjung yang pelbagai," katanya.

Azilah berkata, pihaknya kini sedang menjalankan pelbagai promosi antaranya Kad Ahli Tera-Thai dengan bayaran serendah RM30.

Setiap ahli akan menikmati diskaun 10 peratus bagi setiap pesanan ala-carte, diskaun 20 peratus setiap hari dari pukul 3 hingga 6 petang dan percuma minuman istimewa bagi ahli wanita pada setiap Rabu.

"Kami turut menyediakan pakej berjumlah RM3,000 bagi majlis seramai 40 hingga 50 pengunjung dengan hidangan menu pelbagai makanan laut menarik.

Restoran yang dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga hingga 11 malam terletak sebaris dengan banglo-banglo mewah di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 07-2226300.

Kerongsang jurai penyeri tudung


Cara pemakaian boleh dipelbagaikan seperti di atas tudung.


MINAT wanita terhadap perhiasan atau aksesori diri daripada kristal masih hangat dan disukai ramai. Walaupun beberapa tahun telah berlalu sejak mula aksesori kristal diperkenalkan namun ia masih mendapat tempat di hati wanita.

Daripada kristal, pelbagai jenis perhiasan dapat direka. Contohnya rantai leher, rantai tangan, kerongsang, cincin, anting-anting, pin tudung dan sebagainya.

Kini, dengan ilham kreatif seorang pereka aksesori wanita, iaitu Aida Mohd. Noor, terhasil pula kerongsang jurai untuk dipin di bawah leher.

Kerongsang jurai ini mampu menyerikan lagi tudung yang dipakai. Tidak kiralah sama ada tudung tersebut bercorak atau polos, si pemakai akan nampak lebih berseri dengan kerongsang jurai ini.

Terdapat bermacam-macam rekaan kerongsang berjurai yang dihasilkan. Ada yang ringkas dan terdapat juga yang mempunyai juraian yang lebat dan panjang bergantung kepada permintaan pelanggan.

Menurut penulis buku Inspirasi Kristal ini, ada kerongsang jurai tear drop, kerongsang berangkai dua, berbentuk gugusan anggur dan banyak lagi. Bagi kerongsang yang mempunyai rekaan ringkas, boleh dipakai di bawah leher sementara yang berangkai dua boleh dipakai bersama di bawah leher dan dipinkan pula di atas kepala.

''Bagi wanita yang memang sukakan aksesori dan gemar bergaya pasti terpegun melihat pelbagai rekaan kerongsang jurai yang berwarna-warni dan berkilauan.

''Selain cantik untuk bawah leher, kerongsang ini juga boleh dipin pada bahu dan nampak elegan jika digayakan di majlis.

''Kerongsang jurai ini dibuat daripada dua jenis kristal, iaitu kristal swarovski dan kristal China. Kristal swarovski lebih berkilat, bermutu dan harganya lebih daripada kristal China yang boleh dibeli dengan harga yang rendah. Pelanggan boleh membeli pada harga RM10 ke atas,'' ujar Aida lagi.

Pelanggan boleh memilih kerongsang yang diikat dengan logam putih atau keemasan. Logam putih akan dihantar untuk rhodium plating, sementara yang keemasan akan dibuat gold plating bagi mengekalkan warnanya agar tidak luntur dan tetap cantik walaupun telah dipakai lama.

Selain boleh membeli kerongsang dan aksesori lain yang dibuat sendiri oleh Aida, pelanggan turut boleh menempah kerongsang jurai mengikut rekaan yang mereka ingini. Bagi yang inginkan satu set aksesori yang sama, anda boleh menempah kerongsang yang sama warna dengan gelang, rantai, cincin dan sebagainya.

Pelajar terbaik SPM terima biasiswa Kijang Emas untuk teruskan pelajaran


Dari kiri NUR Shuyada Muhamad Hu May Khei, Nilam Devi Nath, Gladys Tan Yee Kim dan Ameenah Azman gembira menerima Biasiswa Kijang Emas Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April - Lima penerima Biasiswa Kijang Emas Bank Negara menganggap biasiswa yang diterima telah membuka peluang kepada mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi biasiswa yang diperkenalkan sejak 2005 itu, pelajar terpilih berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Salah seorang penerima, Ameenah Azman, 18, berkata, beliau bersyukur dengan anugerah itu dan akan memanfaatkan biasiswa itu dengan sebaik mungkin demi mencapai cita-citanya untuk bergelar akauntan.

Selain Ameenah, empat lagi yang turut terpilih termasuklah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, Gladys Tan Yee Kim yang akan ke Amerika Syarikat untuk menuntut dalam bidang psikologi.

Tiga lagi penerima ialah Nur Syuhadah Muhamad, Hu May Khei dan Nilam Devi Nath yang akan ke Britain untuk mendalami bidang perubatan.

Ameenah, bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah, Seremban yang memperoleh 10 A+ berkata, beliau sangat menghargai biasiswa yang diterimanya itu kerana tidak mahu nasib malang ibu saudaranya berulang.

Kata gadis itu, ibu saudaranya adalah seorang pelajar cemerlang tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan dan gagal mendapat biasiswa.

"Walaupun pernah bergelar pelajar pintar, nasib tidak menyebelahi makcik saya kerana dia kini hanya bekerja di kantin sekolah.

"Jika dia berpeluang mendapat biasiswa dahulu, mungkin dia kini telah bergelar pegawai tinggi di mana-mana sektor,'' tegas gadis tersebut ketika menceritakan kisah hidup ibu saudaranya itu.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, sejak diperkenalkan, seramai 26 pelajar cemerlang telah berpeluang belajar di luar negara dalam pelbagai bidang.

"Pemberian biasiswa ini merupakan komitmen Bank Negara untuk mengasah bakat-bakat muda yang dimiliki oleh negara.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan yang penting untuk kemajuan negara pada masa depan," katanya.

Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras hasilkan kek terbesar


Sebahagian daripada pelajar Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras menunjukkan tiket jualan untuk kek amal (kanan) yang mereka cipta seberat 120kg selepas majlis pelancarannya di Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April - Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan Hotel Pearl International berjaya menyediakan sebiji kek berukuran 2.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, dipercayai kek terbesar pernah dihasilkan setakat ini, sempena ulang tahun ke-27 sekolah itu.

Kek dengan reka bentuk bangunan sekolah itu direka khas oleh Ketua Chef Hotel Pearl International, Alex Chin bagi memeriahkan sambutan ulang tahun sekolah itu selain mengumpul dana untuk membantu Majlis Kanser Negara (Makna).

Pengasas Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datin Freida Pilus berkata, idea untuk menghasilkan kek terbesar itu dicetuskan dua pelajar tahun akhir sekolah tersebut iaitu Gabriel Tan Lye Zhang dan Ben Chai Win Jing.

''Lye Zhang dan Win Jing mengutarakan idea tersebut baru-baru ini setelah mereka mengikuti kursus perantis membuat kek di Hotel Pearl International pada cuti sekolah yang lalu,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan kempen membantu Makna, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Hotel Pearl International, Datin Chiann Tan dan Koordinator Makna, Nisha Sanita Mohd. Norha.

Freida yang juga Exco Makna berkata, sepotong kek itu dijual pada harga RM10 kepada warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar.

''Diharapkan dengan langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan para pelajar untuk terus melakukan kerja-kerja amal,'' katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah mensasarkan mengutip RM10,000 hari ini hasil jualan kek itu untuk disalurkan kepada Makna.

Artis sasaran ilmu hitam?

Fezrul dapat gangguan di kepala.

Pelakon Fezrul Khan sudah lama tidak kelihatan dalam mana-mana majlis. Malah penggambaran drama baru juga tidak disertainya. nak kata tak popular, Fezrul antara pelakon baru yang sedang meningkat namanya.

Baru-baru ini Fezrul muncul dan menjelaskan punca dia tenggelam. Antaranya kerana mendapat rawatan penyakit misteri yang dialami. Penyakit yang tdak berjaya dikesan oleh doktor perubatan moden. Adakah Fezrul terkena buatan orang?

Alyah pernah dapat rawatan tradisional dulu.

Artis dan isu terkena buatan orang bukanlah perkara baru. Tapi perkara seumapa itu sukar dibuktikan dan ad ayang payah menpercayainya. Apatah lagi dalam suasana masyarakat yang hidup dalam dunia serba moden ini.

Dulu kalau zaman orang pasang susuk dengan memasukkan jarum emas dalam muka mungkin perkara terkena buatan orang sangat populat. Tapi zaman susuk yang dimodenkan dengan memasukkan silokon untuk kelihatan lebih cantik ini payahlah nak dipercayai. Tapi tidak dapat dinafikan ada yang masih suka berdampingan dengan ilmu syaitan itu.

Fezrul yang saya kenali seorang yang menghormati orang dan baik budaknya. Tak tahulah pasal apa pulak orang nak menganiaya dia. Adakah kerana cemburu melihat kejayaan Fezrul? Atau ada yang sakit hati dengan kata-katanya? Atau ada yang kecewa cinta ditolak?

Faizal Tahir (kanan) nafi kena buatan orang.

Penyakit misteri yang dilalui Fezrul dikaitkan sebagai terkena buatan orang. Tiga bulan lebih Fezrul menderita sakit misteri sehingga berat badannya susut 10 kilogram. Kini Fezrul hampir pulih sepenuhnya.

“Mula-mula saya rasa sesak nafas dan susah nak bernafas. Bila tengok sekeliling saya rasa macam nak pitam. Saya juga rasa macam ada benda berjalan-jalan di kepala dan bergerak-gerak di muka.

"Saya ke beberapa buah hospital dan menjalani beberapa ujian tapi doktor kata saya tak sakit. Saya kemudian berubat secara tradisional di beberapa tempat," kata Fezrul pasal penyakit yang dialaminya.

Ditanya angkara siapa, Fezrul berkata: “Tak berani nak cakap. Saya tak suka kacau orang. Saya tak pernah bermusuhan dengan orang. Tak tahulah jika ada orang yang bermusuh dengan saya."

Fezrul tidak mahu menuding jari kepada sesiapa sebaliknya berusaha berubat apabila ditimpa penyakit. Itu cerita Fezrul yang masih hangat dengan cerita terkena buatan orang. Adakah golongan artis mudah terdedah dengan angkara jahat sedemikian?

Sebelum ini ramai juga artis yang pernah dikatakan terkena ilmu sihir. Antaranya Datuk Chef Wan, Elyana, Alyah, Faizal Tahir, Amy (Grand) dan ramai lagi. Namun sakit misteri mereka sukar untuk dibuktikan kerana tidak mempunyai fakta saintifik.

Apa itu buatan orang?

Sikap terlalu percaya pada perkara mistik seperti amalan voodoo dan terkena buatan orang bukan saja memundurkan pemikiran manusia, malah ia juga mendedahkan seseorang itu kepada risiko maut. Itu pendapat pengamal perubatan moden.

Mentaliti kebanyakan masyarakat di Asia yang masih berpegang kuat pada kepercayaan mistik boleh membawa padah dari sudut perubatan. Siikap terlalu bergantung kepada bomoh dalam menyelesaikan masalah perubatan yang dianggap sebagai sumpahan atau buatan orang, boleh menyebabkan penyakit melarat hingga mereka tidak mampu lagi diselamatkan.

Dalam perubatan, doktor tidak terima jika seseorang mengatakan ia terkena buatan orang kerana tiada bukti secara saintifik yang boleh mengaitkannya. Bagi doktor perkara itu mungkin disebabkan masalah psikiatri yang dihadapi pesakit.

Kelengkapan canggih yang tidak dapat mengesan punca penyakit membuatkan pesakit lazimnya akan mendapatkan rawatan secara tradisional. Mengapa pula peralatan modentak dapat mengesan penyakit itu?

Mungkin juga kerana gangguan bukanlah ditujukan kepada fizikal pesakit tetapi ia lebih kepada perasaan, jiwa , emosi dan kadang kala menyakiti fizikal.

Terkena buatan orang adalah istilah umum yang di tujukan kepada seseorang kerana dendam, dengki atau iri hati dengan berbagai sebab. Paling menakutkan apabila ada yang mahu seseorang itu mati secara tidak dapat di buktikan secara perubatan. Ilmu tuju-tuju, santau dan beberapa kaedah lagi digunakan untuk tujuan itu.

Sakit tiada ubat

Isu Faizal Tahir terkena ilmu sihir juga pernah hangat. Faizal dikatakan mula mengalami gangguan sebelum bermulanya semi final Anugerah Juara Lagu tahun lalu. Kerana masalah kesihatan yang dialaminya, tempat Faizal digantikan oleh Shila.

Faizal pada mulanya mendiamkan diri apabila dia dikata terkena buatan orang. Apatah lagi dia mendapatkan rawatan di hospital.

"Ada gosip mengatakan saya terkena buatan orang. Saya akui kondisi kesihatan saya tidak begitu baik kebelakangan ini khususnya penghujung tahun lalu bukan disebabkan masalah buatan orang sebaliknya disebabkan salah saya sendiri yang tidak menjaga kesihatan.

"Makan dan tidur saya tidak menentu kerana terlalu taksub bekerja sampai mengabaikan kesihatan sendiri. Justeru, apa yang berlaku pada diri saya berpunca dari salah saya sendiri," jelas Faizal menafikan dia terkena buatan orang.

Penyanyi utama kumpulan Grand, Amy juga pernah mendedahkan yang dia menghidap penyakit misteri yang dikaitkan sebagai terkena ilmu hitam.

"Saya hanya mampu melakukan beberapa perkara iaitu menjamah makanan, pergi ke tandas dan baring semula kerana badan kepanasan dan sentiasa berpeluh seperti duduk atas bara api. Ia mengakibatkan saya berhenti kerja,” kata Amy atau nama sebenarnya Zuraimi Remeng kepada media tidak lama dulu.

Dia dikatakan terkena santau angin yang dikirim oleh bekas pembantu rumah warga Indonesia kerana disyaki tidak berpuas hati dengannya dan majikan. Kata Amy sebelum kejadian beberapa pakaiannya di rumah majikan hilang.

“Saya tidak menuduh, tapi ketika mendapatkan rawatan tradisional, pengamal perubatan itu kata saya mungkin menjadi mangsa santau angin dari seberang,” kata Amy yang juga menjelaskan doktor tidak dapat mengesan sakit yang dilaluinya ketika itu.

Ari Wibowo Pentingkan Kualiti

Kerjaya yang dibina sejak berumur 18 tahun membuatkannya tidak mempunyai masa membina kehidupan sendiri. Berkahwin setelah teman rapat yang lain mula sibuk dengan kehidupan berkeluarga dan mula tersedar hidupnya perlu dilengkapkan dengan kehadiran insan bernama wanita sebagai isteri.

"Waktu kahwin saya sudah 36 tahun. Boleh katakan juga sebagai bujang terlajak. Dulu hidup saya dipenuhi teman-teman untuk berhibur dan sehinggalah pada satu tahap, mereka mula sibuk untuk menumpukan perhatian kepada family.

"Pada waktu itu baru tersedar saya sebenarnya bersendirian tika teman yang lain bahagia bersama isteri dan anak. Lantas membuka hati saya untuk berkahwin," ujar Ari.

Masih dengan rutin harian yang semakin sibuk, namun bapa kepada dua anak lelaki, Marco, 9 bulan dan Kenzo, 2 tahun ini mengutamakan keluarganya daripada segala hal. Walaupun masa bersama keluarga terhad, namun Ari berusaha sebaik mungkin meluangkan detik berkualiti untuk kedua-dua puteranya.

"Setiap hujung minggu saya akan berada di rumah dan kami akan melakukan pelbagai aktiviti ketika itu. Walaupun singkat, namun amat bermakna. Tak guna jika saya banyak masa di rumah tetapi hal anak-anak tidak diambil peduli. Biarlah singkat namun yang penting kualiti.

Berganding Bersama Teman Baik

Bakal muncul dalam filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami!, Ari mencuri masa semata-mata untuk memenuhi permintaan teman baiknya, Haliza Misbun. Memegang watak sebagai Dr. Ryan Diprojo, salah seorang lelaki yang menjadi pujaan Nikki (Haliza Misbun).

Tidak sukar baginya melakonkan watak tersebut kerana bagi Ari, keseluruhan cerita tersebut boleh dikaitkan dengan dirinya sendiri yang juga lambat berkahwin kerana terlalu asyik dengan kerjaya dan takutkan komitmen.

"Untuk filem ini, saya terpaksa habiskan semua bahagian dalam satu hari dan terus pulang ke Indonesia kerana terlalu banyak komitmen yang harus dilaksanakan. Di sana setiap hari juga ada penggambaran dan saya harus bijak gunakan masa yang ada.

"Ini antara filem komedi pertama saya namun tak perlu banyak bicara kerana bahasa Melayu saya tidak berapa bagus," katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan Haliza Misbun suatu ketika dulu.

Krisdayanti Tak Pernah Menyesal

Sudah jatuh ditimpa tangga. Krisdayanti (KD) redha dengan episod hitam yang tertulis dalam perjalanan hidupnya. Melalui fasa perceraian selepas 13 tahun berkongsi hidup dengan Anang Hermansyah, diikuti perpisahan dengan teman lelakinya, Rahul Lemos, KD mengakui kecewa atas apa yang berlaku, namun percaya segalanya terkandung hikmah.


"Daripada wajah saya, mungkin nampak seperti saya sudah pulih. Saya mampu tersenyum berkat daripada sokongan teman-teman rapat. Memang sedih namun saya tak mahu berlarutan sangat sehingga mengganggu kehidupan.

"Saya hanya mampu memohon restu untuk peroleh kejayaan. Sudah tertulis saya akan melewati cabaran sebegini dan harus belajar daripada itu.

"Tak ada penyesalan kerana setiap jodoh sudah ditetapkan. Percintaan saya gagal sekarang, tapi siapa tahu mungkin ada 'hadiah' yang lebih besar dari Allah," uajrnya ketika ditemui sewaktu Showcase Datuk Siti Nuhaliza dan Krisdayanti di Shah Alam Convention Centre (SACC).


Terkilan Wartawan Indonesia

Wanita, makhluk tuhan yang cukup kaya dengan perasaan, walau seteguh mana benteng dibina, namun bisa runtuh dengan kata-kata nista. Mungkin itu yang dialami KD ketika ini. Perlukan ketenangan setelah penat berperang dengan hati dan perasaannya sendiri.

"Saat ini hanya Siti yang mengerti kepedihan saya. Dia banyak membantu menaikkan semula semangat yang telah hilang. Jujur saya sangat tertekan dengan publisiti sensasi yang sengaja digembar gemburkan media Indonesia. Bayangkan saya dikejar dan lebih 100 orang berkerumun di sekeliling kereta semata-mata untuk mendapatkan cerita perceraian dan perpisahan.

"Bagaimana saya harus menjawab soalan dari media jika terus ditekan sebegitu rupa. Oleh itu lebih elok saya berdiam diri," luah KD.

Masih mengikuti perkembangan bekas suaminya yang kini dikatakan sedang hangat bercinta, KD menjelaskan bukan haknya untuk masuk campur kehidupan Anang. Namun sering menasihati anak-anak agar menghormati pilihan Anang sekiranya ditakdirkan bertemu pengganti dirinya.

"Saya dapat tahu dari anak-anak apa yang berlaku dan mereka beri saya kekuatan untuk tidak menangis lagi. Saya sendiri tidak terdesak mencari cinta selepas bercerai. Jodohkan tak bisa dipaksa. Saya tak mahu terburu-buru mencari kebahagiaan kerana ia akan datang sendiri.

"Biarlah kehidupan berjalan seperti biasa dan saya tak mahu terlibat dengan masalah lagi," katanya optimis.

Ayu akui silap langkah


AYU diasak pelbagai pertanyaan tentang kehilangannya pada sidang akhbar yang berlangsung di pejabat 8TV di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara baru-baru ini.


BAKAT nyanyian yang ada pada penyanyi yang berasal dari Putatan, Sabah ini bukanlah kecil.

Malah, sejak memenangi pertandingan realiti nyanyian, One In A Million musim kedua (OIAM2), nama Ayu cukup dikenali di kalangan peminat seni hiburan tempatan.

Lagu nyanyiannya, Hanya Di Mercu juga cukup menguji kekuatan vokalnya. Di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, Ayu boleh dikatakan cukup bertuah kerana hampir setiap masa ada sahaja promosi yang dijalankan untuknya.

Namun dalam kerancakan membina empayar seninya, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 21, tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Di mana silapnya?.

Bukan sahaja di luar pengetahuan keluarga malah, syarikat pengurusannya juga gagal menjejaki Ayu.

Tiada langsung khabar berita tentang penyanyi genit ini yang didengari.

Namun begitu, tidak kurang juga timbulnya pelbagai kisah yang tidak sedap didengari tentang Ayu.

Ini termasuklah khabar angin yang mendakwa dirinya telah berkahwin, malah lebih teruk lagi telah hamil sebelum berkahwin.

Setelah lebih setahun menghilangkan diri, akhirnya Ayu muncul baru-baru ini dalam satu sidang akhbar yang diatur oleh 8TV, 8 Unit dan Monkey Bone di pejabat 8TV di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara.

Apa yang pasti kemunculan Ayu kali ini membawa berita dan pengakuan berani bahawa dia telah berkahwin dan kini berstatus ibu kepada seorang bayi lelaki seberat 3 kilogram (kg) ketika lahir dan di beri nama Syed Nashrul Haikal.

Ayu telah berkahwin dengan Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, seorang jurujual di sebuah kedai perabot pada Januari 2009. Syed Fauzi berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Pengakuan tersebut sekali gus menutup spekulasi yang melanda bintang OIAM itu yang dikatakan sebelum ini telah hamil sebelum berkahwin.

Mengulas tentang tanggapan negatif masyarakat tentang gosip hamil sebelum nikah, Ayu setenang mungkin menjelaskan bahawa masyarakat berhak bercakap apa sahaja kerana kebenaran hanya dia yang tahu.

"Saya berkahwin secara sederhana di Kuala Kangsar, Perak dan hadir sama pada majlis tersebut ialah keluarga terdekat termasuk bapa saya.

"Gosip yang mengatakan saya hamil sebelum nikah adalah tidak betul kerana kebenarannya saya telah bernikah dahulu dan kemudian baru hamil.

"Apa yang pasti, saya hanya ingin menjelaskan perkara sebenar kepada media bahawa saya sudah berkahwin dan kini bersedia untuk kembali menyanyi," kata Ayu.

Pada majlis yang sama, Ayu turut menjelaskan bahawa suaminya itu merupakan duda kepada sepasang anak yang berusia empat dan setahun lebih.

"Selama ini saya menghilang kerana menguruskan hal keluarga dan menjaga anak. Maaf kerana saya tidak dapat mengulas panjang dan berkongsi tentang perkahwinan.

"Kalau ikutkan hati, memang saya ingin berkongsi segalanya dengan peminat yang selama ini setia menyokong kerjaya saya namun, saya harus menghormati permintaan daripada keluarga," kata Ayu.

Menurut Ayu, suaminya itu merupakan rakan kepada seorang teman baiknya dan mereka berkenalan di sebuah kedai makan pada November 2008.

Selain merupakan seorang suami yang penyayang, sokongan yang sering diberikan oleh suami kepadanya membuatkan Ayu benar-benar tertarik kepadanya.

'Kategori simpanan' dalam FFM23


MOHD. Mahyidin Mustakim (lima dari kiri) bersama tenaga kerja FFM23 dan wakil-wakil penerbit pada sidang akhbar festival filem itu di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


SAMA seperti penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun lalu, edisi kali ke-23 atau FFM23 tahun ini tidak banyak menampilkan perubahan daripada segi kategori-kategori anugerah yang akan dipertandingkan kelak.

Festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu misalnya, akan mempertaruhkan 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta, empay Anugerah Khas dan lima Anugerah Khas Juri.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, daripada 34 anugerah yang dipertandingkan itu, satu daripadanya masih berada dalam kategori simpanan yang akan diputuskan oleh jawatankuasa festival itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana FFM23 menjelaskan, kategori simpanan itu akan menggantikan kategori Filem Komedi Terbaik yang sebelum ini diletakkan di bawah Anugerah Cipta.

"Anugerah Filem Komedi Terbaik kami tiadakan pada tahun ini kerana bagi memberi ruang kepada genre filem lain seperti seram dan aksi yang lebih banyak diterbitkan berbanding sebelumnya.

"Untuk kategori itu kami simpan dulu dan ia akan diputuskan oleh jawatankuasa FFM23 tidak lama lagi sama ada untuk mewujudkan kategori Filem Aksi Terbaik atau Filem Seram Terbaik," katanya pada sidang akhbar FFM23 di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

FFM23 yang akan diadakan mulai 12 hingga 18 Julai ini di Kuala Lumpur merupakan 'pengembalian semula' festival itu selepas ia diadakan di luar ibu negara iaitu di Pulau Pinang pada FFM20 (2007), FFM21 (Putrajaya - 2008) dan FFM22 (Kota Kinabalu, Sabah - 2009).

Selepas tiga tahun FFM diadakan di luar Kuala Lumpur, festival anjuran bersama Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia itu akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

Dengan tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, FFM23 akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel-bengkel perfileman dan tayangan filem-filem tempatan secara percuma kepada orang ramai.

Namun kata Mohd. Mahyidin, tayangan percuma filem-filem itu pada kali ini tidak diadakan di pawagam-pawagam kawasan bandar, sebaliknya ia akan diadakan di pinggir bandar bagi menarik lebih ramai penonton menyaksikannya.

"Tayangan percuma filem-filem yang akan bertanding pada FFM23 ini akan diadakan di sekitar Lembah Klang tetapi bukannya di 'pawagam-pawagam tradisional' di ibu negara iaitu di TGV KLCC dan GSC Mid Valley.

"Kami lebih utamakan penonton luar atau pinggir bandar seperti Cheras, Kepong dan Selayang kerana berdasarkan pengalaman kami mereka lebih memberikan sambutan menggalakkan.

"Biasanya, penonton yang berkunjung ke pawagam-pawagam tradisional itu hanya mahu menonton filem-filem baru sahaja," ujarnya.

Setakat ini sebanyak 23 filem tempatan yang sudah ditayangkan pada tahun lalu dan tahun ini atau yang sudah mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem Malaysia layak untuk bertanding pada FFM23 di mana tarikh tutup penyertaan pada 31 Mei ini.

Filem-filem yang layak bertanding pada FFM23 berjudul Jin Notti, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Pisau Cukur, Senario The Movie Episod 2: Beach Boys, My Spy, Santau, Pulau Asmara, Muallaf, Duhai Si Pari-Pari, Adnan Sempit, 2 Hati 1 Jiwa dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Selain itu, filem Niyang Rapik, V3: Samseng Jalanan, Evolusi KL Drift 2, Semerah Cinta Stilleto, Hooperz, Belukar, Andartu Terlampau: 21 Hari Mencari Cinta, Lagenda Budak Setan, Kecoh Betul, Kapoww dan Zoo juga layak bertanding pada FFM23.

Tambah Mohd. Mahyidin, selain kategori anugerah yang sama seperti tahun sebelumnya, FFM23 juga akan menyediakan hadiah wang tunai dan trofi untuk para pemenang.

"Hadiah wang tunai untuk para pemenang setiap kategori anugerah sama seperti tahun lepas. Kita akan umumkan tentang hadiah pada sidang akhbar FFM23 yang kedua nanti. Kita juga akan menggunakan khidmat RTM dan Astro sebagai penyiar rasmi festival ini," katanya.

Anugerah Perdana ialah Filem Digital Terbaik, Pendek Terbaik, Animasi Terbaik, Dokumentari Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Filem Terbaik dan Filem Terbaik.

Anugerah Cipta yang disediakan ialah Poster Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Harapan dan 'anugerah simpanan'.

Lima Anugerah Khas ialah Penggiat Belakang Tabir, Pelakon Veteran Wanita, Pelakon Veteran Lelaki dan Filem Box-Office, manakala lima lagi Anugerah Khas Juri akan diputuskan kemudian.

Mampukah Siti Nurhaliza pertahan gelaran?


UNTUK kali ke-13, Siti Nurhaliza menerima pencalonan untuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Ku Percaya Ada Cinta.


DEBARAN Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) semakin menghampiri kemuncaknya apabila tinggal dua hari sahaja lagi anugerah berprestij itu berlangsung.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menjadi saksi anak-anak seni bakal diberi pengiktirafan berdasarkan kecemerlangan dalam bidang muzik sepanjang tahun lalu.

Kalah atau menang bukanlah agenda utama kerana apa yang penting adalah kesatuan karyawan muzik tempatan untuk sama-sama menyokong industri seni yang semakin merudum.

Biarpun apa yang diperkatakan ramai tentang AIM yang dikatakan sudah semakin hilang serinya, hakikatnya penganjuran anugerah yang menjadi tumpuan setiap tahun itu tetap ada signifikannya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, harus diakui kategori yang satu ini memang antara yang mendapat perhatian meluas dan sering menjadi perdebatan antara peminat mahupun pengamal media sendiri.

Tidak lain adalah kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu yang saban tahun memperlihatkan saingan sengit yang sukar sekali diramalkan.

Seperti mana kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, kategori ini juga dahulunya dinilai berdasarkan keseluruhan album dalam menentukan pemenangnya.

Hanya bermula tahun lalu, pemenangnya dipilih berdasarkan penyampaian penyanyi dalam sesebuah lagu.

Kiranya ketika ini, pasti ramai yang sudah mula membuat teka-teki tentang penyanyi wanita manakah yang bakal menjulang trofi idaman ramai ini.

Melihat kepada lima calon yang bertanding, memang sukar sekali untuk meramalkan siapakah yang akan memenangi kategori ini.

Manakan tidak, kesemuanya memiliki keistimewaan vokal yang tersendiri baik dari kalangan penyanyi senior mahupun yang muda.

Mereka yang tercalon kali ini ialah Dayang Nurfaizah menerusi lagu Hilang, Jaclyn Victor (Bertamu Di Kalbu), Juwita Suwito (Sejak Hadirmu), Datuk Siti Nurhaliza (Ku Percaya Ada Cinta) dan Yuna (Dan Sebenarnya).

Untuk kali ke-13, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dicalonkan untuk kategori ini dan setiap tahun juga, namanya pasti diletakkan di tangga teratas sebagai calon kegemaran.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 buah trofi Vokal Wanita Terbaik sudah menjadi milik Siti sejak dia memenanginya pada tahun 1999.

Mempertaruhkan lagu ciptaan Audi Mok, Ku Percaya Ada Cinta, sekali lagi nama Siti Nurhaliza menjadi sebutan untuk mengungguli kategori ini.

Bukan bersikap bias tetapi jika diukur kepada penyampaian Siti dalam lagu ini, memang sukar sekali untuk menidakkan kehebatan dan kemantapan vokalnya.

Ku Percaya Ada Cinta memperlihatkan kemampuan Siti Nurhalizamengalunkan suara emasnya dalam pelbagai range menerusi lagu yang cukup kompleks ini.

Mungkin akan ada yang bertanya mampukah Siti Nurhaliza pertahan gelaran Vokal Wanita Terbaik yang sudah sinonim dengan dirinya, jawapannya hanya pada juri.

Kalau juri merasakan Siti Nurhaliza masih layak untuk menggenggam trofi buat kali ke-12, maka ia akan menjadi mutlaknya.

Seandainya tewas tahun ini, itu bukan satu masalah besar kerana rekod 11 kali yang dipegang penyanyi itu, hakikatnya merupakan kejayaan yang cukup luar biasa.

Sebelum ini pun dia pernah ditewaskan sebanyak dua kali oleh Camelia (1998) dan Jac (2007) yang sempat merasa kemanisan menggenggam trofi ini sebelum didominasi Siti Nurhaliza.

Siapa tahu, trofi Vokal Wanita Terbaik akan menjadi milik Dayang tahun ini apabila mempertaruhkan nyanyiannya secara live menerusi lagu Hilang.

Tiada siapa yang mampu menafikan kredibiliti Dayang sebagai penyanyi yang memiliki kehebatan setiap kali membuat persembahan.

Lalu, apabila lagu Hilang yang disampaikannya sewaktu persembahan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, tahun lalu dan dicalonkan tahun ini, tidak mustahil gelaran Vokal Wanita Terbaik mampu menjadi milik Dayang.

Sebelum ini pun, tiga penyanyi sudah diiktiraf dengan Vokal Terbaik (lelaki dan wanita) berdasarkan persembahan mereka secara langsung iaitu Awie, Zamani dan Siti Nurhaliza.

Menyebut tentang Jac pula, seorang lagi penyanyi yang memiliki kehebatan vokal yang hanya satu dalam sejuta.

Kelantangan dan kemampuannya menyanyikan lagu dalam nada tinggi memang tidak dapat dipertikaikan lagi dan mungkin juga gelaran Vokal Wanita Terbaik boleh menjadi milik Jac untuk kali kedua.

Dicalonkan berdasarkan lagu Bertamu Di Kalbu, lagu tersebut memang benar-benar mencabar vokalnya selain muzik serta melodinya yang menyerlahkan sisi lain Jac dalam menyampaikan lagu berentak pop Melayu.

Dilihat sebagai calon bukan kegemaran (underdog) setiap kali dicalonkan, memang tuah belum lagi berpihak kepada Juwita untuk membawa pulang trofi ini.

Pernah dicalonkan beberapa kali sebelum ini, hakikatnya Juwita memiliki kualiti vokal tersendiri dan jika dia tidak bagus, masakan dengan mudah dia tersenarai sebagai salah seorang calon.

Seandainya Juwita menang, diharapkan ia dapat membuka mata masyarakat sekali gus mempopularkan lagi namanya sebagai seorang penyanyi.

Bagaimana pula dengan Yuna? Anak gadis ini juga berpotensi besar untuk menang Vokal Wanita Terbaik.

Pasti akan ada yang berkata, apa hebatnya vokal Yuna sekadar menyanyikan lagu seperti Dan Sebenarnya.

Sayugia diingatkan, penilaian vokal begitu subjektif dan ia sebenarnya diukur daripada aspek teknikal serta penyampaian setiap penyanyi untuk setiap lagu.

Bukan sahaja di negara ini, tetapi ia juga berlaku di negara Barat seperti Amerika Syarikat setiap tahun dalam acara anugerah muzik seperti Grammy.

Kerana itu, kalau Yuna menang, ia bukan satu masalah kerana setidak-tidaknya dia membawa satu perubahan dan kelainan dalam mewarnakan industri muzik tempatan.

Hampir tersungkur kerana cinta


KENANGAN... Vince dan bekas teman wanitanya, Veronica sudah pun menoktahkan cinta mereka selepas hampir dua tahun menyemai cinta bersama.


DUA tahun kebelakangan ini, nama Vincent Chong Yin-Cern atau Vince sepi seketika sebelum kelahiran album studionya yang ketiga, Kronologi Cinta tahun lalu.

Selama tempoh kehilangannya itu, ramai juga yang bertanya ke mana menghilangnya juara Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu.

Adakah dia tidak berminat lagi meneruskan karier seninya atau merajuk dengan industri seni yang dilihat ada kala tidak berlaku adil kepada bakat besar sepertinya?

Jika berdasarkan bakatnya yang bukan sembarangan itu, ramai yang melihat Vince mampu bertahan lama dalam industri.

Seandainya dia tidak lagi meneruskan cita-cita dan minatnya ia memang satu kerugian besar buat industri.

Kehebatan bakat Vince bukan sahaja terletak kepada vokal tetapi bakat penciptaan lagu serta lirik.

Jejaka kacukan Cina-Inggeris itu juga sudah diakui memiliki kualiti vokal yang tersendiri dan dianggap sebagai juara AF paling berkualiti dari segi bakat.

Lalu, sewaktu berbicara dengan anak kelahiran London, England dalam satu pertemuan empat mata di ibu negara baru-baru ini, Vince membuka cerita tentang kehilangannya sebelum tampil dengan Kronologi Cinta.

Cerita Vince, harus diakui dalam tempoh dua tahun itu dia telah melalui perjalanan yang begitu sukar sehingga dia rebah dan hampir tersungkur.

Tanpa berselindung, kata Vince, semuanya adalah penangan hubungan cinta yang tidak kesampaian dan telah merubah hidupnya secara mutlak.

"Ia merupakan tempoh yang cukup sukar buat saya kerana baru saya sedar, cinta sememangnya boleh membunuh kita dalam diam.

"Kerana cinta jugalah, ia mampu menukar watak kita dalam sekelip mata dan saya bersyukur kerana saya tidak terus hanyut serta larut dalam emosi saya sendiri.

"Semuanya kerana bantuan serta sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapat yang menjadi kekuatan buat saya untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

"Sekarang, saya sudah berubah dan fokus utama saya kini adalah tentang kerja. Soal cinta? Bukan lagi agenda utama saya," luah Vince penuh jujur menceritakan pengalamannya.

Sambungnya, perhubungan yang dilaluinya bersama seorang wanita Mexico bernama Veronica sewaktu menuntut di Taipei, Taiwan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih dewasa dan matang.

Bangkit semula

Malah, jujur Vince mengakui, dia hampir membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya bagi hidup bersama dengan wanita itu.

Mungkin kerana Tuhan mahu menyedarkannya bahawa perhubungan itu tidak mampu bertahan lama, barulah Vince membuka matanya dan melihat warna sebenar dalam perhubungannya.

"Perkahwinan adalah untuk seumur hidup dan kalaulah sepanjang tempoh perkenalan itu banyak perkara yang membuatkan kita tidak boleh melakukannya bersama-sama, apakah yang akan jadi nanti?

"Kerana itu, saya cepat sedar dan memutuskan untuk tidak meneruskan perhubungan ini lagi kerana percaya ia tidak akan membawa sebarang kebaikan.

"Ketika itu jugalah, peluang tiba untuk saya bangkit semula dalam industri dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu hanya semata-mata mengorbankan perkara yang tidak dapat menjanjikan kebahagiaan," kata Vince panjang lebar dan mahu melupakan kisah pahit percintaannya itu.

Tidak mahu lagi memikirkan soal cinta buat masa ini, keutamaan dan fokus Vince kini adalah hanya pada kerjayanya.

Berdasarkan pengalamannya itu jugalah telah memberi inspirasi kepada anak seni yang berusia 30 tahun ini untuk menumpahkan ke dalam setiap lagu di dalam album Kronologi Cinta.

Bagi Vince, album ketiganya itu memiliki nilai sentimental yang tersendiri dan ia juga bersifat peribadi kerana kisah hidupnya semuanya terkandung dalam setiap lagu.

"Setiap lagu disusun secara kronologi dan saya juga melihat album ini sebagai sebuah novel yang menceritakan segala pengalaman saya.

"Tiada kata yang mampu saya lafazkan melainkan syukur, gembira dan teruja dengan penghasilan album Kronologi Cinta yang benar-benar memuaskan hati saya.

"Pengalaman lalu juga banyak mematangkan saya sebagai seorang pengkarya dan anak seni. Kematangan itu dapat dilihat dengan jelas dalam album Kronologi Cinta," jelasnya tentang album yang diterbitkan dan diedarkan oleh NSR sejak tahun lalu itu lagi.

Duduk berbual selama satu jam bersama Vince dan membincangkan tentang album Kronologi Cinta, terserlah kesungguhan Vince menceritakan satu per satu proses pembikinan albumnya.

Selama ini, kata pelantun lagu Janji-Janji dan Mengapa Harus Cinta? dia hanya disuap apabila pembikinan albumnya ditangani serta disiapkan oleh orang lain biarpun dia juga menyumbang dari segi lagu-lagunya.

Kali ini, semuanya berbeza apabila keseluruhan produksi album Kronologi Cinta melibatkan tenaga dan kreativitinya dari awal hinggalah akhir.

Juga, album ketiganya itu juga menyaksikan sentuhan yang jauh berbeza dengan apa dua buah album studionya sebelum ini iaitu Vince dan Janji Vince.

Tidak mahu lagi tampil dengan bunyi dan muzik yang sama, bagi Vince, sebagai karyawan dia mahu terus menghasilkan produk tanpa menggunakan formula yang sudah diguna pakai.

Menyuntik semangat

Kerana itu, dia cukup puas hati dengan album tersebut dan barulah kini dia tahu serta sedar bagaimana peritnya untuk menerbitkan sebuah album.

"Apabila NSR memberi peluang kepada saya untuk merakamkan album, saya berfikir ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.

"Mereka memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album saya dengan keinginan dan kehendak saya sendiri.

"Dalam masa yang sama, album ini juga saya lihat telah menepati kehendak pendengar masa kini menerusi variasi lagu yang ditampilkan.

"Kronologi Cinta juga saya sifatkan sebagai kepuasan untuk peminat dan diri saya sendiri," tuturnya bersemangat tentang album yang memuatkan 10 buah lagu ciptaannya.

Selebihnya adalah lagu ciptaan Sharon Paul dan Kronologi Cinta turut memuatkan tiga buah lagu Inggeris iaitu Getting Closer, Teach Me How To Love dan Dear Jean.

Lagu-lagu Melayu yang terkandung dalam album ini adalah Biarkan, Buah Hati, Layan Saja, Apa Jawapannya, Kan Temu Jua, Cerita Kita dan Akhirnya.

Salah sebuah lagu iaitu Ajarku Cinta menyaksikan gabungan Vince bersama naib juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Ternyata pengorbanan dan perit jerih Vince menerbitkan album Kronologi Cinta berbalas apabila menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang berlangsung Ahad ini (2 Mei).

Ia merangkumi Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu.

Bagi kategori Album Pop Terbaik, Vince disaingi oleh album Aku Stacy oleh Stacy, CTKD (Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti), Dayang Live (Dayang Nurfaizah) dan Tahajjud Cinta (Siti Nurhaliza).

Manakala untuk Vokal Lelaki Terbaik pula, saingan Vince bukan calang-calang iaitu Faizal Tahir, Hazami, Jamal Abdillah dan Riz.

Bagi Vince, tiga pencalonan itu sudah cukup membuktikan bahawa pihak juri masih lagi percaya dengan bakat serta pembaharuan yang dibawakannya menerusi albumnya itu.

"Bagi saya, menang merupakan satu bonus dan kalau tewas, saya tidak melihat ia satu kegagalan kerana setidak-tidaknya produk saya sebaris dengan calon hebat yang lain.

"Ia juga telah menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan produk yang lebih baik selepas ini," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik AIM pada tahun 2005.

Dalam perkembangan lain, Vince juga akan muncul dengan teater muzikal Taming of the Shrew: A Bollywood Cabaret yang akan dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Petaling Jaya, Selangor, pada bulan Jun ini.

Selain itu, Vince juga sibuk menyiapkan dua buah skrip filem masing-masing untuk filem Cina dan Melayu yang masih belum berjudul.