Sunday, January 10, 2010

Yuna bawa pulang trofi Juara Lagu?


YUNA


KEMUNCAK Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL-24) pada malam ini akan merungkai teka-teki apabila komposer-komposer yang berentap akan mengetahui nasib masing-masing.

Pelbagai ramalan dibuat siapakah yang bakal membawa pulang trofi AJL-24 malam ini selepas 13 artis akan mempersembahkan 14 buah lagu mereka.

Umum sudah mengetahui AJL-24 buat pertama kalinya membawa kelainan apabila tiga katogeri iaitu Balada, Pop Rock dan Pop Etnik telah dimansuhkan dan kemenangan malam ini tidak lagi bersandarkan kepada spesifikasi tersebut.

Kehebatan karya pada malam ini ditafsirkan menerusi kedudukan tempat iaitu Juara Lagu yang akan membawa pulang RM35,000, Naib Juara (RM15,000), tempat Ketiga (RM12,000), Persembahan Terbaik (RM10,000) dan Vokal Terbaik (10,000).

Seperti biasa pelbagai persepsi dan spekulasi mula diperkatakan menjelang AJL-24 ini.

Ketika ramai yang menjangkakan lagu Audio Mok yang dinyanyikan Faizal Tahir akan membawa pulang wang kejuaraan, Pancaindera pula meramalkan Yuna akan menjadi artis yang bernasib baik.

Lagu Dan Sebenarnya hasil ciptaan dan lirik oleh Yuna sendiri itu mempunyai kekuatan untuk diangkat sebagai Juara Lagu.

Lirik yang dihasilkan berdasarkan kepada pengalaman penyanyi itu ditulis dalam bahasa yang mudah dan bersahaja.

Kekuatan Dan Sebenarnya terletak kepada melodi lagu yang menjadi trend muzik hari ini selain amat popular di kalangan masyarakat.

Apatah lagi sebelum ini sudah terbukti muzik indie menakluk pandangan ramai untuk diangkat sebagai pemenang apabila Estrange (Itu Kamu) bergelar juara dalam AJL-22 dan Meet Uncle Hussain (Lagu Ku Untuk Mu) menerusi AJL-23. Kali ini giliran wanita pula mengunggulinya.

Melodi yang dihasilkan Yuna adalah satu perubahan dunia muzik ketika lagu-lagu dari Indonesia semakin mengganas untuk menakluk dunia muzik tempatan.

Melodi lagu Dan Sebenarnya boleh dilihat sebagai penyelamat terhadap perubahan muzik yang diinginkan pendengar.

Maka penyanyi itu wajar diramalkan untuk membawa pulang hadiah kejuaraan tersebut malam ini.

Selain Yuna, Pancaindera turut meramalkan Misha Omar akan memberi saingan untuk merebut gelaran itu menerusi lagu ciptaan Azmeer yang liriknya ditulis Loloq iaitu Cinta Adam Dan Hawa.

Misha akan mengulangi kemenangannya pada AJL 2003 yang ketika itu menyampaikan lagu Bunga-Bunga Cinta.

Cinta Adam Dan Hawa bukan sahaja mempamerkan lirik yang puitis dan makna tersirat sebaliknya turut memberi impak dengan melodinya yang kuat.

Maka, kehebatan vokal Misha tentunya akan turut diuji apabila mendendangkan lagu itu.

Mengiyakan spekulasi kemenangan Faizal Tahir, Pancaindera tetap yakin penyanyi itu tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Ini kerana lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu hanya mampu menguji kekuatan vokalnya sahaja.

Keupayaan Faizal mendendangkan lagu itu dan kehebatan suaranya memang tidak dapat dinafikan untuk dia meraih katogeri berkenaan.

Bagaimanapun ini semua hanyalah satu ramalan dan tentunya setiap individu yang membuat tekaan mempunyai jawapan tersendiri kenapa sesebuah karya itu dipilih.

Yang pasti, hanya juri sahaja yang mengetahui siapakah yang layak untuk diberi pengiktirafan dalam setiap pertandingan.

Bagaimanapun adakah keputusan pada malam ini boleh diterima dan tidak berat sebelah?

Sama-samalah kita menilainya dalam acara yang akan disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, menerusi TV3 malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: