Sunday, January 10, 2010

Betty cinta terbaru...Nash


Betty tidak kisah sekiranya bertemu jodoh dengan seorang duda.


KETIKA bekas isteri, Datuk Sosilawati Lawiya, sedang berteka-teki dengan status perkahwinannya, penyanyi rock yang juga pelakon, Nash, pula mengakui hatinya kini juga sedang bahagia dengan kekasih barunya, penyanyi Betty Banafe.

Bekas penyanyi utama kumpulan Lefthanded itu juga mengakui hatinya kini sedang mekar berbunga seperti pasangan yang sedang dilamun cinta. Nash tanpa segan silu memberitahu pilihannya kali ini pasti memberi kebaikan buat dirinya.

Ini berdasarkan kepada pemerhatiannya kepada wanita itu sejak tahun 2004 lagi ketika mereka sama-sama berjuang dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), sikap Betty membuatkan dia yakin untuk menjalin hubungan lebih serius.

"Benar, bengkak yang terbuku dalam hati saya sudah beransur pulih. Saya sudah menemui seseorang yang memahami saya. Boleh menguraikan segala kekusutan, sekiranya diminta pendapat serta berkongsi rasa apabila diperlukan," kata Nash kepada Pancaindera dalam perbualan kami, petang Rabu lalu.

Nash menganggap Betty wanita luar biasa yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Memiliki keperibadian dan mempunyai kemuliaan hati budi tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Semua ini selepas mendapati sikap Betty tidak berubah sehingga ke hari ini. Betty yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi Karyawan juga dilihat mempunyai kualiti kepimpinan dan aspirasi perjuangan yang cukup jelas. Ia sudah cukup membuatkan Nash terpegun dan mengaguminya.

Bagaimanapun, ketika itu Nash tidak pernah sesekali terlintas untuk menjadikan Betty sebagai teman istimewanya. Tetapi seperti ditakdirkan ikatan persahabatan yang terjalin memberi kesedaran buat diri Nash betapa pentingnya Betty sebagai wanita yang layak dijadikan sebagai calon isteri.

"Sebagai lelaki dewasa yang kini berusia 50 tahun, kaedah percintaan kami sudah pasti berbeza dengan orang muda yang lain. Tidak pernah wujud istilah cemburu buta kerana semuanya berlangsung secara diplomasi dan perbincangan.

"Saya memberi kebebasan sepenuhnya kepada Betty untuk membuat apa sahaja yang diminatinya. Sekiranya dia mahu keluar dengan lelaki lain pun saya benarkan. Tetapi saya mengingatkan kepadanya batasan seorang gadis bila berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim. Apa dosa dan kesannya kerana itu adalah tanggungjawab saya.

"Perkara ini perlu diperjelaskan. Tidak kiralah nasihat itu datang daripada ibu bapa atau kekasihnya kerana apa yang dititikberatkan adalah soal agama," katanya.

Apa yang lebih membanggakannya apabila wanita berusia 29 tahun itu tidak pernah mempersoalkan kembali nasihat dan peringatannya. Buah hati Nash itu adalah seorang yang mudah mendengar dan mengikut kata. Sebab itu juga, lelaki yang berfikiran terbuka ini tidak pernah merahsiakan kisah percintaan mereka dengan keempat-empat anaknya.

Fareena Nasha, 22, Najeeha Nasha, 19, Mohd. Shameer Nasha, 15, dan Jasmin Hanis Nasha, 12, juga amat memahami keadaan bapa mereka selain pernah bertemu beberapa kali dengan Betty. Mereka tidak menentang sekiranya Nash menyatakan hasrat untuk berumah tangga buat kali ketiga.

Nash juga enggan membandingkan Betty dengan dua bekas isterinya yang lalu. Baginya tidak adil sekiranya perkara itu dipersoalkan kerana dia menganggap kisah perkahwinan yang lampau tidak wajar diungkitkan semula.

Bagi Nash biarlah cerita lampau itu disimpan dalam lipatan sejarahnya. Kini apa yang berlaku perlu dijadikan iktibar dan tidak ada yang perlu dibicarakan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: