Sunday, January 10, 2010

Usia 40, urtv kekal popular


ARTIS-artis popular turut meraikan hari istimewa URTV.


SELAMA 40 tahun menabur jasa dan bakti kepada industri hiburan tempatan, majalah URTV kekal sebagai majalah hiburan paling popular. Bukan mudah mengekalkan legasi kecemerlangan,

tetapi seiring usianya, majalah hiburan paling tua dalam negara itu mampu bersaing dan terus menguasai pasaran sehingga ke dekad terbaru ini.

Dalam kebanjiran majalah-majalah hiburan lain di pasaran, URTV yang diterbitkan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) terus berada di pasaran dan bertahan sebagai legasi majalah hiburan popular bagi Kumpulan Utusan (M) Berhad.

Mendapat perhatian peminat-peminat yang dahagakan pengetahuan tentang sebarang aktiviti seni, gosip serta cerita belakang tabir membabitkan artis kesayangan mereka, majalah berkenaan sentiasa hadir dengan cerita-cerita sensasi lagi menghiburkan, selain sentiasa terkehadapan dalam berita hiburan.

Tahun 2010 merupakan tahun sambutan ulang tahun majalah tersebut untuk kali ke-40, dan ia secara rasmi akan disambut pada Mac nanti.

Bagi sambutan awal, URTV telah mengadakan satu majlis pra ulangtahun ke-40 bertempat di pejabat UKSB di Bangi, Selangor.

Sambutan yang diadakan secara sederhana tetapi meriah dihadiri hampir 60 artis tanahair. Antara yang mereka ialah Mawi, Ekin, Zoey, Farah AF, Diddy, Emma Akma, Syazliana, Tisha, Rizal, Nassier Wahab, Nurul, Ramlah Ram, Nabil Mentor dan Jaclyn Victor.

Sementara itu, Tomok, Farhan, Shazrul, Oshin dan suami, Jaafar Onn, Pian Cecupak, Amanda, Syed Ali, Nazim Othman, Aliff Satar, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Kumpulan Radio Manual, Shila, Yazid AF dan Aril AF turut meluangkan masa meraikan hari istimewa majalah yang cukup berjasa kepada karyawan seni itu.

Tidak ketinggalan rakan-rakan juruhebah dari stesen Sinar FM, Era FM dan Suria FM serta pegawai-pegawai perhubungan awam dari beberapa syarikat rakaman dan hotel.

Majlis yang diacarakan Roslan Shah itu diserikan dengan majlis memotong kek ulang tahun oleh sidang redaksi URTV dan barisan artis yang hadir. Dalam majlis itu URTV telah berjaya mengumpulkan sebanyak 30 biji kek.

Majlis

Pengarang URTV, Huzzaini Kamaluddin memberitahu majlis ini bukanlah sekadar sambutan pra ulang tahun sahaja bagi memberi peluang kepada artis untuk bersama-sama menyambung episod yang cukup bermakna itu.

“Saya harap tidak ada pihak yang berkecil hati jika tidak menerima undangan pada majlis ini. Kami akan merangka sebuah majlis yang lebih besar lagi untuk sambutan ulang tahun URTV pertengahan tahun ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada mereka yang menghantar kek ulang tahun ke-40 URTV, selain kepada Pak Engku dari Kuzie Katering,”kata wartawan hiburan yang cukup popular dengan panggilan manja, Huzz ini.

Selain itu majlis sambutan pra-ulang tahun URTV diserikan lagi dengan persembahan artis seperti Imran Ajmain, Adilla, Nassier Wahab dan Shila.

Sesuai dengan usianya yang menjangkau 40 tahun, sambutan ulang tahun URTV akan diraikan sepanjang tahun 2010.

UKSB telah merangka beberapa siri promosi dan majlis untuk URTV antaranya, pertandingan futsal yang bakal diadakan pada Februari nanti.

“Pertandingan futsal ini akan diadakan di Subang Jaya dan tarikhnya masih belum ditetapkan. Dalam pertandingan itu nanti kami akan memilih 40 kumpulan futsal dan pertandingan itu akan diadakan sehari sahaja.

“Ini untuk mendekatkan lagi pembaca dengan tim majalah ini selain artis yang ikut serta dalam program yang kami sedang rancang,” ujar Huzz lagi.

Rangka promosi tersebut tidak terhad hanya di Kuala Lumpur saja, tetapi juga di luar bandar. Tahun 2010, URTV turut mengadakan program bersama-sama peminat melalui beberapa projek yang sedang diusahakan.

Sementara itu, pada 4 Februari, Bukit Kiara Golf & Country Club dengan kerjasama Jaafar Onn akan meraikan URTV dengan mengaturkan satu majlis khas melibatkan artis-artis tanah air.

Mengimbas semula tentang majalah legenda milik Utusan Karya Sdn Bhd ini, Majalah yang terkenal dengan motto ‘Majalah Hiburan Paling Popular’ diterajui oleh barisan pengarang yang berkaliber.

Mereka ialah S. Hashim (1970), Nor Shah Thamby (1980), Bahyah Mahmud (1990), Fatimah Hassan (1997), Rosli Manah (2003) dan Huzz (bermula tahun 2008 sehingga sekarang)

URTV telah diterbitkan pada 15 Januari 1970 dengan muka depannya, seniwati Datuk Sarimah Ahmad. Bermula dengan harga 30 sen ketika itu, kini seiring dengan penerbitan masa kini, dengan lebih menambahkan bilangan muka surat dengan semua halaman warna, dan kos percetakan, URTV dijual dengan harga RM3.50.

URTV terbaru di pasaran (edisi 15 Januari) merupakan bilangan keluaran ke 762. Sidang redaksi ketika ini dibarisi Norzeha Kasbi (Penolong Pengarang), Nurhafizah Ahmad (Shana), Che Mohd. Izwanuddin Che Deris, Mastura Burhanuddin dan Azman Taha (pelukis kreatif).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: