|
|
BIARPUN sudah 15 tahun menjadi anak seni, semua orang harus akur bahawa populariti Datuk Siti Nurhaliza masih belum mampu digugat oleh sesiapa pun.
Penyanyi akan sentiasa muncul dan kemudiannya pergi berlalu begitu sahaja, tetapi Siti masih lagi berada di takhta teratas sehingga menjadi bahan mulut orang.
Dengki, cemburu dan iri hati terhadap dirinya tidak pernah sudah tetapi sekelumit pun tuan punya badan tidak ambil pusing dan mengambil serius akan perkara tersebut.
Baginya, selama 15 tahun menghamba diri menjadi seorang penghibur, perkara yang paling penting baginya adalah sokongan serta semangat peminat-peminatnya yang tidak pernah berhenti menyokongnya.
Jika bukan kerana peminat, memang mustahil baginya untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Penyanyi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) sejak 12 tahun yang lalu.
Memang bukan kehendak Siti untuk membawa pulang anugerah tersebut setiap tahun tetapi semuanya adalah kerana peminat yang tidak pernah lelah untuk memilihnya.
Namun, selepas berfikir semasak-masaknya, Siti akhirnya mengambil keputusan untuk berehat daripada menyertai ABP bermula tahun depan.
Pengunduran Siti itu bukanlah kerana merajuk atau berkecil hati dengan sesiapa tapi, kata Siti, sudah tiba masanya untuk dia pula menjadi penonton.
"Pertama sekali, saya memang bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang masih lagi sudi mengundi untuk saya sehingga terpilih sekali lagi sebagai salah seorang finalis.
"Saya sedar pengorbanan peminat-peminat saya cukup besar sehingga dapat meletakkan saya sebagai calon akhir.
"Semangat dan sokongan padu mereka terhadap saya sejak 15 tahun lalu merupakan kekuatan serta pendorong buat saya untuk berada di pentas seni.
"Maka dengan itu, apa yang saya harapkan mereka akan terus menyokong aktiviti seni saya biarpun saya akan berehat daripada bertanding di ABP. Saya juga mahu melihat mereka berehat," demikian luahan Siti sewaktu ditemui pada sidang media Konsert Satu Suara di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; Naib Presiden Yayasan AEON Malaysia, Nagasiha Oyama serta Aizat dan Faizal Tahir selaku artis yang akan beraksi dalam Konsert Satu Suara.
Untuk ABP2009, Siti yang bertanding dalam kategori Penyanyi Wanita Popular itu menerima saingan yang cukup sengit daripada artis muda dan junior iaitu Jaclyn Victor, Mila, Stacy dan Yuna.
Sekadar menyingkap sejarah, sepanjang bertanding dalam anugerah yang berlandaskan populariti itu, Siti telah memenangi 20 anugerah termasuklah enam kali menyandang gelaran Bintang Paling Popular.
Jika melihat kepada pencapaian cemerlang Siti itu, rasanya tidak akan ada penyanyi yang mampu memecah rekodnya untuk masa terdekat ini.
Menyambung bicara, dia sedikit pun tidak ralat atau kecewa seandainya rezeki tidak berpihak kepadanya tahun ini.
"Penglibatan saya di ABP selama ini merupakan antara pencapaian dan momen paling indah yang pernah saya kecapi sepanjang bergelar anak seni.
"Cuma, sekali lagi saya ingin maklumkan, pengunduran saya daripada menyertai ABP bukanlah pengakhiran buat segala-galanya.
Terus menyokong
Biarpun akan berehat daripada ABP, jelas Siti, dia akan tetap menyokong acara anugerah tersebut seandainya khidmatnya diperlukan kelak seperti menjadi penyampai anugerah serta membuat persembahan.
Kata Siti lagi, dia akan tetap terus bertanding untuk Anugerah Industeri Muzik (AIM) kerana baginya, AIM masih lagi relevan dan perlu bagi mengiktiraf album serta mereka yang bertungkus-lumus menyempurnakan albumnya.
Sementara itu, Siti turut disoal tentang peranannya sebagai salah seorang juri pada Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) yang mendapat reaksi pelbagai daripada segelintir pihak.
Manakan tidak, ada yang mempertikaikan kedudukan Siti yang bukan hanya sebagai juri tetapi juga bertindak sebagai artis pembukaan pada acara penuh gilang-gemilang itu yang berlangsung pada 10 Januari lalu.
Tidak cukup dengan itu, kedudukan Siti di kerusi juri juga telah mengundang kata-kata sinis bahawa kemenangan pada malam itu dilakukan atas alasan kronisme dan favouritism.
Mengenali Siti, dia tidak pernah melatah mahupun melenting dengan setiap isu yang membabitkan namanya dan untuk menjawab persoalan tersebut, dia masih lagi mampu tersenyum.
"Pada malam itu, saya hanya menilai untuk kategori persembahan dan vokal sahaja. Jadi, kenapa kemenangan lagu Pergi perlu melibatkan saya?
"Sebelum ini pun, saya pernah menjadi juri pada AJL20 (2006) dan tidak pula timbul pertikaian kedudukan saya sebagai salah seorang juri ketika itu.
"Sedangkan, tugas saya juga sama iaitu menilai persembahan dan vokal. Kalau tidak puas hati, mengapa tidak bertanya sahaja kepada ketua juri?" soalnya dalam nada yang cukup berhemah.
Tidak mahu memanjangkan lagi kisah tersebut, Siti menjelaskan dia kini mahu fokus kepada Konsert Satu Suara yang menggabungkan Aizat dan Faizal yang merupakan penyanyi muda yang semakin meningkat popular.
Apatah lagi, penerbitan Konsert Satu Suara merupakan projek pertama syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) untuk artis lain.
Dengan menggalas tanggungjawab penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini ternyata berbangga apabila dapat berkerjasama dengan dua artis baru yang cukup dikaguminya.
Jelas penyanyi yang menempa kemasyhuran menerusi lagu Jerat Percintaan ini lagi, dia berani mengambil risiko untuk menerbitkan konsert untuk kedua-dua penyanyi lelaki itu adalah kerana percaya pada bakat serta kredibiliti mereka.
Memang sudah terang lagi bersuluh bahawa Siti bukan sahaja seorang penghibur yang hebat tetapi juga ahli perniagaan yang bijak dalam mengatur strategi untuk mengumpan peminat khususnya generasi muda untuk ke IB.
"Aizat dan Faizal bukan sahaja memiliki vokal yang bagus tetapi mereka juga pandai mencipta lagu serta lirik sendiri lantas menjadikan mereka sebagai artis generasi baru yang wajar dijadikan contoh.
"Lagipun, sudah tiba masanya saya memberi peluang kepada artis seperti mereka untuk menonjolkan lagi bakat masing-masing kepada masyarakat," katanya yang menyifatkan cabaran menerbitkan konsert untuk diri sendiri dan artis lain tidak jauh bezanya.
Jelasnya lagi, penerbitan Konsert Satu Suara adalah permulaan dalam memberi ruang kepada artis-artis baru berbakat besar khususnya untuk mempamerkan bakat mereka.
"Siapa tahu, jika ada rezeki, peluang itu dibuka dan diberikan kepada artis baru yang lain pula serta artis senior," katanya optimis.
Untuk melancarkan lagi perjalanan konsert yang akan berlangsung selama tiga malam di IB bermula 12 Februari depan, Jennifer Thompson telah dilantik sebagai pengarah konsert.
Sementara itu, tugas sebagai pengarah muzik pula diserahkan kepada Sze Wan yang akan memimpin tujuh pemuzik profesional serta 20 orang pemain strings dari Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Siti turut menambah, idea untuk menerbitkan sebuah konsert yang menggabungkan orkestra dan band sudah lama berada dalam kotak fikirannya.
Malah, dia optimis dengan konsert tersebut yang mampu menarik perhatian peminat-peminat Aizat dan Faizal yang merupakan generasi baru sekali gus menyemarakkan lagi IB sebagai lokasi konsert.
Kemunculan istimewa
Dalam masa yang sama, Siti melahirkan rasa gembiranya apabila konsert tersebut turut mendapat kerjasama daripada Yayasan AEON Malaysia di mana Siti merupakan dutanya sejak tahun 2002.
Menerusi kerjasama itu, tarikh 12 Februari telah dipilih sebagai Malam Gala Satu Suara, Sepenuh Hati khusus untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung Yayasan AEON Malaysia .
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana untuk konsert ini saya mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Yayasan AEON Malaysia .
"Dalam berhibur, kita juga membuat amal dan dapat membantu mereka yang amat memerlukan.
"Dalam masa yang sama juga, saya masih lagi membuka pintu serta mencari peluang untuk penajaan konsert ini dan memang bukan mudah untuk mencari penaja dalam merealisasikan sebarang konsert," kata penyanyi yang diberi jolokan biduanita muda negara ini lagi,
Untuk itu, bayaran tiket khusus pada malam gala itu nanti akan berbeza dengan harga tiket normal untuk persembahan pada 13 dan 14 Februari iaitu RM108, RM161, RM241, RM335 dan RM402.
Lima peratus daripada setiap hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada tabung yayasan tersebut manakala bagi pemegang J Card pula, mereka berpeluang menikmati potongan diskaun sebanyak lima peratus apabila membeli tiket dengan J Card mereka.
Bagi mereka yang mahu menyaksikan Konsert Satu Suara pada 13 dan 14 Februari pula, tiket-tiket yang berharga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM350 sudah pun mula dijual.
Kesemua tiket-tiket boleh dibeli di kaunter box-office Istana Budaya, Jusco Bukit Tinggi, Jusco 1 Utama, Jusco Taman Maluri dan Jusco Alpha Angle.
Tempahan dan pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan melayari laman web, www.ticket2u.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: