Tuesday, January 26, 2010

Perginya seorang Johnny Bikin Filem


SATU babak dari filem johnny bikin filem.


DIA muncul ketika industri filem tempatan baru diterajui oleh generasi baru.Para pembikin filem generasi baru seperti Rahim Razali, Nasir Jani, Othman Hafsham, Adman Salleh, Mansor Putih dan Shuhaimi Baba sedang muncul dengan filem-filem tempatan yang membawa pendekatan yang berbeza dengan filem-filem pembikin daripada generasi pengarah Studio Merdeka Hulu Kelang dan Studio Filem Melayu Jalan Ampas, Singapura.

Mereka adalah generasi pembikin filem yang mempunyai latar pendidikan dan ilmu serta pengalaman yang berbeza daripada generasi terdahulu. Sudah semestinya untuk melengkapkan kemunculan para pembikin filem yang mempunyai latar pendidikan filem dan drama ini, maka industri filem tempatan memerlukan penganalisa dan pengkritik filem yang mempunyai latar ilmu dan pengetahuan yang hebat dan mendalam. Tepat pada ketika diperlukan, maka pada masa itulah munculnya Anuar Nor Arai.

Anuar (lahir pada 1943) kembali ke tanah air selepas memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Southern California pada tahun 1982. Gelanggang awal yang menyiarkan pandangan dan kritikan filem Anuar adalah Dewan Budaya dan akhbar Utusan Malaysia. Tulisan dan kritikan Anuar keras dan tanpa kompromi kerana keyakinannya terhadap seni filem dan landas ilmunya yang kuat yang menjadi asas dalam tulisannya.

Beberapa pembikin filem yang filem-filem mereka dikritik dengan keras ternyata sukar menerima kritikan tersebut lalu mereka membalas dengan pandangan yang sinis terhadap kritikan tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka tidak memahami hakikat perkembangan kesusasteraan dan karya seni moden ditandai oleh adanya kritikan. Dengan pengetahuan dan latar ilmu seninya, pengkritik akan membantu peminat dan khalayak seni menghayati dan menghargai karya seni dengan lebih mendalam dengan meneroka dan menyelongkar hakikat dan pemikiran yang tersirat dalam karya tersebut. Hal ini akan membantu dunia sastera dan seni berkembang sihat. Namun para pembikin filem yang sudah terdidik dengan latar ilmunya sememangnya sentiasa menanti kritikan dan pandangan tajam dari Anuar.

Saya mula mengenali Anuar lewat tulisannya dalam Dewan Budaya dan menjadi agak rapat selepas sama-sama terlibat dalam menggerakkan siri Dialog Cerdik, iaitu forum perfileman yang mengupas filem-filem generasi baru dan juga filem-filem klasik Melayu secara ilmiah. Antara penggerak awalnya adalah Johan Jaaffar (Datuk), Mansor Putih dan Nasir Jani. Penggunaan nama Dialog Cerdik itu sahaja sudah memberikan latarnya dan tidak hairan kalau forum tersebut juga mendapat perhatian dan sinisme daripada beberapa penggiat filem yang mendapat kritikan dan 'kutukan' dalam forum tersebut.

Sebelum terkenal sebagai pengkritik filem, Anuar lebih dikenali sebagai seorang penggiat drama. Malah dia adalah salah seorang dramatis teater kontemporari tanah air pada dekad 70-an. Kumpulan dramatis ini menggerakkan kemunculan teater absurd yang turut dipelopori oleh Dinsman, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan dan Mana Sikana.

Sebelum itu Anuar sebenarnya pernah menerbitkan kumpulan cerpennya Perempuan, Perempuan dan Perempuan pada 1976. Anuar menghasilkan drama Lorong (1976) yang mengangkat realiti sosial kehidupan kota dan kemudian menghasilkan drama Vakum dan Si Pemacak yang telah memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Menulis Drama Pentas anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (1978). Dua drama ini tebal dengan ungkapan falsafah dan adakalanya menonjolkan unsur-unsur eksistensialisme.

Anuar kemudian menghilang diri kerana melanjutkan pelajaran di Amerika dan pada tahun 1987 muncul dengan drama Tuk Selampit. Drama Tuk Selampit telah memenangi Hadiah Penghargaan Sayembara Drama ESSO-GAPENA (1987) dan drama ini kemudiannya dipentaskan Badan Budaya DBP pertama kalinya di First ASEAN Theatre, Manila pada 1-7 Ogos 1988 dan kemudian dipentaskan lagi di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 4 & 5 Oktober 1988.

Teater Tuk Selampit yang mengisahkan liku-liku pedih kehidupan seorang Selampit (dilakonkan oleh Sabri Yunus) dengan kehidupan yang surrealis. Mementaskan Tuk Selampit adalah pengalaman ngeri bukan sahaja kepada pengarahnya Zakaria tetapi juga saya sebagai pereka cahaya. Zakaria mengakui kesukaran mengarahkan teater ini dan takut "ditembak" oleh Anuar yang menjalin teater ini dengan falsafah, sufisme dan resah surrelis seorang Selampit.

Semasa pementasan berlangsung di Pusat Kebudayaan Filipna, Manila, saya pertama kali menyaksi betapa gelisahnya Anuar sambil menghisap rokok di luar panggung. Dia gelisah sebagai karyawan apabila teaternya berdepan dengan khalayak asing yang memenuhi auditorium dan cuba menjangka penerimaan mereka. Di situ juga saya mula mengenali realiti 'Seorang Anuar Nor Arai'. Hampir setiap malam di Manila kami bergebang panjang selepas pementasan.

Anuar meneruskan tugasannya di Universiti Malaya sebagai pensyarah perfileman dan terus mengkritik filem. Pada tahun 1992 Anuar mengarahkan filem Johnny Bikin Filem terbitan Univerisiti Malaya. Filem yang berkonsepkan noir ini mencipta sejarahnya sendiri dengan panjangnya lima jam setengah dan hingga kini belum ditayangkan kepada umum. Saya pernah mengulas filem tersebut dalam ruangan ini selepas berpeluang menontonnya di Filem Negara, Petaling Jaya.

Selepas menghasilkan filem, Anuar tidak lagi mahu menjadi juri di Festival Filem Malaysia, tetapi dia masih terus giat menganalisa, mengkritik dan menghasilkan drama walaupun tidak lagi berpeluang mengarahkan filem selepas Johnny Bikin Filem. Dia menghasilkan drama televisyen iaitu Lalang-Lalang Di Hujung Kaki, Di Satu Sudut Gelap, Seorang Tua Di Sungai Lembing dan Isteri Datuk Berkereta Merah. Dia turut menghasilkan banyak naskhah drama televisyen yang disiarkan oleh RTM, TV3 dan Astro.

Anuar kemudian mengarah teater Ronggeng Rokiah, sebuah teater yang mempunyai pendekatan noir di Istana Budaya pada 2003 dengan mendapat sambutan yang hebat. Kemudian pada tahun 2006 saya meminta Anuar mementaskan drama di Stor Teater DBP dan Anuar mementaskan teater Qasidah Gunung Semanggul. Teater ini mengangkat perjuangan politik orang Melayu dalam Hisbul Muslimin melalui watak Ustaz Abu Bakar Baqir dan Dr. Burhanuddin Helmi di Gunung Semanggul.

Drama Ronggeng Rokiah kemudian diterbitkan oleh DBP sebagai kumpulan drama yang turut memuatkan drama Tingkah Pak Itam dan Bisikan Malaya. Kemudian sebuah lagi kumpulan drama Anuar Dadameah Albab yang turut memuatkan drama Lung Hoi-Tai Opera dan Long Huan T.E.J.A diterbitkan oleh DBP pada 2009. Saya dan Anuar masih sering bertemu dan berbincang pasal filem dan teater apatah lagi kami sama-sama menjadi pensyarah sambilan di Aswara. Walaupun Anuar kemudian dilantik sebagai Timbalan Dekan di Aswara dan pada masa yang sama turut menjadi pensyarah sambilan di UITM, dia sebenarnya mahu bebas menjadi karyawan filem dan drama.

Dia menghasilkan banyak naskhah drama pentas yang tidak dapat dipentaskan. Buku Kumpulan Esei dan Kritikan Filem yang mengumpulkan analisis dan kritikannya yang mendalam diterbitkan oleh DBP pada 2007. Ketika di ASWARA dia merancang-rancang untuk menghasilkan filem berjudul Jimbo, tetapi sayang tidak terlaksana.

Anuar seperti watak-watak dramanya 'adalah manusia yang terasing dan terpinggir, dan kalau berada di tengah-tengah kesibukan manusia pun mereka tetap terpinggir. Seolah-olah manusia saya lari daripada kenyataan. Walaupun wataknya dalam angan-angan, tetapi Anuar memperoleh kebebasan dalam angan-angan itu.

Dalam bidang kritikan filem, kekuatan kritikannya terletak pada ketelitian meneroka dan mengupas sedalam mungkin teknik, pemikiran dan falsafah sesebuah filem. Pada 20 Januari lalu, pergi sudah seorang Johnny Bikin Filem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: